LARANGAN BERMUSAFIR BAGI WANITA TANPA MAHRAM ADALAH DEMI MENJAGA MARUAH DAN KEHORMATANNYA
Larangan Nabi SAW terhadap wanita bermusafir tanpa mahram bukanlah untuk menyusahkan mereka, tetapi sebagai langkah menjaga maruah, kehormatan dan keselamatan wanita itu sendiri. Prinsip ini selari dengan maqasid syariah yang utama iaitu menjaga agama, nyawa, maruah dan harta umat Islam.
Dalam konteks semasa, isu mahram ketika bermusafir, contohnya dalam misi ke kawasan bergolak/peperangan atau bukan untuk keperluan mendesak, ia bukanlah soal hak asasi atau kebebasan individu, tetapi soal perlindungan maruah wanita Islam.
Tambah sahaja seorang mahram dalam perjalanan bukanlah perkara sukar, bahkan itu bentuk pencegahan awal sebelum berlakunya mudarat yang lebih besar seperti gangguan seksual, mangsa rogol, pendedahan aurat, atau jenayah terhadap wanita termasuklah pembunuhan.
Sayangnya, apabila ada yang mempertahankan hadith Nabi SAW ini, mereka pula dilabel sebagai kolot, jumud, tidak bertamadun dan mengekang hak wanita. Inilah yang disebut oleh Nabi SAW bahawa Islam akan kembali asing seperti ia bermula dan beruntunglah orang-orang yang dianggap asing itu.
Sedangkan hakikatnya, ratusan tahun sebelum Imam al-Syatibi menulis tentang maqasid syariah, hadith Nabi SAW telah pun menjadi tunjang utama dalam menjaga kemaslahatan umat.
Maqasid yang benar tidak boleh bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah. Jika sesuatu hujah atas nama maqasid menolak dalil yang sahih, maka ia bukanlah maqasid yang sebenar.
Dakwah tidak semestinya disampaikan di atas permaidani yang mewah dan disambut dengan pujian manusia. Ia sering mengundang celaan, khususnya daripada mereka yang tidak memahami hakikat agama. Namun, tanggungjawab kita bukanlah untuk memuaskan hati manusia, tetapi menyampaikan kebenaran dengan sabar dan istiqamah.
“Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran.”
(Surah al-‘Asr, ayat 3)
Akhirnya, perlu difahami bahawa wanita tidak diwajibkan untuk pergi berperang atau bermusafir ke kawasan berisiko tinggi. Dalam keadaan itu, kemudaratan jauh lebih besar daripada manfaatnya. Syariat Islam sama sekali tidak pernah menzalimi wanita, bahkan meletakkan mereka dalam kedudukan yang dimuliakan dan dilindungi.
No comments:
Post a Comment