Thursday, 30 June 2022

Sejarah IPGKKB

SEJARAH PENUBUHAN MAKTAB PERGURUAN KOTA BHARU

Maktab Perguruan Kota Bharu (MPKB) yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) telah dibina di Pengkalan Chepa, Kota Bharu  bagi menggantikan dua buah maktab perguruan sementara di Kirby, Liverpool dan di Wovehampton, England. Kerja-kerja pembinaannya dimulakan pada tahun 1952 dan siap sepenuhnya pada tahun 1954.

Pada mulanya Institut tersebut bernama Malay Teacher Training College (MTTC) tetapi pada tahun 1957 ia ditukar kepada Kota Bharu Training College (KBTC). Seramai 12 orang pensyarah telah didatangkan dari Kirby kecuali pensyarah Bahasa Melayu. Mr. Robert Williams tiba di Maktab pada 29 Jun 1954 dan telah dilantik sebagai Pengetua pertama IPGKKB. Sebelum ini institut telah diuruskan oleh Mr. Cottier yang dilantik sebagai Pemangku Pengetua.

Pengambilan pertama guru pelatih seramai 150 orang (62 lelaki dan 90 perempuan) telah dibuat pada 24 Ogos 1954 dan IPGKKB telah dibuka dengan rasminya oleh Pesuruhjaya Tinggi Mr. Donald McGillivray pada 11 Oktober 1954. Upacara yang bersejarah itu telah dihadiri oleh Pembesar Negeri, di antaranya adalah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan, Penasihat British, Menteri Besar, Timbalan Pengarah Pelajaran Persekutuan, Jurutera Negeri, Pengarah Pelajaran Negeri dan Pegawai Daerah.

Dalam jangkamasa 56 tahun (1954-2010), IPGKKB telah dan melahirkan guru-guru bekas pelatih dari pelbagai program pengajian pendidikan:

Antara tahun 1954 hingga 1957, IPGKKB telah melatih guru sekolah menengah dengan menawarkan kursus Pendidikan, Kesihatan, Bahasa, Seni Lukis, Kerjatangan, Geografi, Sejarah, Ilmu Hisab, Sains, Muzik dan Sains Rumah Tangga.

Pada tahun 1957 hingga 1970, IPGKKB telah memulakan latihan guru sekolah rendah. Pada tahun 1963, IPGKKB telah menerima pelaja-pelajar dari Brunei dan Singapura.

Daripada tahun 1971 hingga 1975, Institut telah menawarkan kursus Bahasa Melayu kepada guru di Sekolah Inggeris dan pelatih tahun akhir dihantar ke Maktab Perguruan Sultan Idris/IPSI bagi lelaki dan Maktab Perguruan Melayu Melaka bagi perempuan. Pada masa yang sama KBTC telah melatih guru bukan Melayu yang mengajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan dan guru rakyat yang mengajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan dan di Sekolah Rakyat. Kursus guru rakyat ini tamat pada tahun 1975 dan sehingga tarikh itu Institut telah bejaya melatih lebih dari 1000 orang guru rakyat.

Antara tahun 1975 hingga 1986, IPGKKB telah melatih kedua-dua guru sekolah rendah dan sekolah menengah. Kursus ini mengambil masa selama 2 tahun. Pada 1979, Institut telah menawarkan kursus dalam cuti guru sementara selama 3 tahun dan berakhir pada Disember 1981.

Seterusnya pada tahun 1984 hingga 1990, Institut ini telah menandatangani Kursus Dalam Cuti (KDC) bagi guru sementara di sekolah rendah dari seluruh Negara. Pada 1990-1991, Institut menerima pelajar KDC Kemahiran Hidup.

Bermula tahun 1985 hingga 1991 IPGKKB mengendalikan KDC Pendidikn Pemulihan yang setiap program mengambil masa 7 minggu.

Mulai 1989 IPGKKB diberi peranan melatih guru dalam Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Agama, Bahasa Melayu, Geografi, Sejarah dan Ekonomi.

Daripada tahun 1989 hingga 1993 IPGKKB mengendalikan Kursus Peningkatan Keilmuan Profesionalisme (KPKP) kepada guru BI yang terkeluar dari perkhidmatan berikutan terlaksananya Sistem Saran Baru (SSB). Selama 3 bulan mereka akan dipertimbangkan ke gred C8.

Mulai tahun 1991 IPGKKB mengendalikan Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) Bahasa Melayu, Matematik dan Pemulihan kepada guru terlatih dalam 2 semester.

Pada tahun 1992 pula, Institut mengendalikan Kursus Perguruan Asas (KPA) pengambilan dua kali setahun lima semester di mana Pengkhususan Muzik, Matematik dan Sains diperkenalkan sebagai tambahan kepada kursus sedia ada. Pada 19 Jun 1994 kumpulan pertama seramai 318 orang pelatih ditempatkan ke seluruh negara kerana menjalani praktikum penempatan terus ke sekolah.

Mulai Julai 1996 IPGKKB mengendalikan KursusDiploma Perguruan Malaysia (KDPM), kursus dalam perkhidmatan satu tahun bagi guru-guru terlatih dengan Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Rendah, Pendidikan Pemulihan, Pendidikan Matematik Sekolah Rendah dan Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran.

Kursus Diploma Perguruan Khas (KDPK) Pendidikan Matematik Sekolah Rendah, Pengajian Bahasa Inggeris (TESL) dan Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran telah diperkenalkan mulai Julai 1996.

Kursus Dalam Cuti (KDP/KDC) Pendidikan Komputer diperkenalkan pada 1996. 

Menjelang tahun 2000 sehingga kini, IPGKKB mengendalikan kursus seperti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), KPLI, KDC, PLPS, j-QAF, KDP dan lain-lain disamping program berkala seperti Bina Insan Guru (BIG), Sekolah Angkat IPGKKB, Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI), Kelas Intervensi Awal (KIA) dan program Persiangan-Salinatan, Sekolah Rintis dan sebagainya.

Kini IPGKKB hampir ke penghujung usia dan dijangka akan ditukarkan fungsinya kepada KV/TVet pada tahun 2020 setelah tamatnya kursus PISMP Dis 2019, Maka berkuburlah MPKB-IPGKKB dan akan dikenang dalam lipatan sejarahnya yang banyak berjasa & menyumbangkan bakti kepada guru-guru di seluruh negara. 
#nostalgiampkbpgkkb
#hilangmutiadaganti

No comments:

Post a Comment

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...