MENJAGA POHON
kerana fitrahnya terpilih
apa dirisaukan akan ranum buahnya
asalkan wujudnya terpelihara rimbun
dan meriah berbunga pada musimnya
membuka pada pawana
memikat cinta serangga
maka bebaskan akarnya
mencengkam jangkar
pada lumpur dan batu
sambil menyerap titisan peluh
dan air mata
atau embun yang pulang bersama hujan
maka bebaskan pucuknya
menggapai awan
memberahikan cahaya dan udara
tetapi asuhi rendangnya
jangan sampai menutup jendela
supaya dapat dilihat siapa yang datang
berteduh di bawah redupnya
namun biarkan rendangnya berdendang
bersama angin
supaya dikenalinya rentak ribut
biarkan lencun ditimpa hujan
supaya difahaminya mersik kemarau
dan cantaslah ranting-rantingnya
sebelum runcing mencucuk mata
No comments:
Post a Comment