Thursday, 1 July 2021

Puisi cikgu Ramlan semangkuk Pindangan

SEMANGKUK PINDANG

Alhamdulillah, semangkuk pindang
semangkuk budaya di atas meja
Berkuahkan tradisi Chetti Melaka
enaknya dari kebun, lautan dan gunung
lemaknya dari persisiran
Di hujung tanjung

harumnya dicabut dari batas-batas
dikisar lumat oleh sabar dan ikhlas
hilanglah pedas halia dan serai desa
kecuali haruman dan godaan herba
dironai oleh kunyit dimaniskan oleh bawang
digiling halus oleh kasih sayang

lunaknya dalam campuran metafora
dari percintaan kelapa dan asam jawa
diperah ke dalam belanga
santan selemak cinta
masam manis kenangan di tunas rasa

rangsangannya berpusar pada pedas lada
ditimbuk berasingan dengan tangan doa
dalam lesung zaman turun ke zaman

lalu dengan panas haba
terpensarlah nikmatnya dari campuran semua
kepelbagaian yang bersatu digaul rata

terserap ke dalam khazanah samudera
yang dipukat dari gelombang
atau ombak pasang

dan makna apakah yang tersembunyi
kerana lazatnya lebih berseni
lepas sehari?

(terima kasih isteri kerana memasakkannya)

No comments:

Post a Comment

Kisah uwais

𝗞𝗜𝗦𝗔𝗛 𝗧𝗜𝗗𝗔𝗞 𝗦𝗔𝗛𝗜𝗛 | 𝗨𝗪𝗔𝗜𝗦 𝗔𝗟 - 𝗤𝗔𝗥𝗡𝗜 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗚𝗘𝗡𝗗𝗢𝗡𝗚 𝗜𝗕𝗨𝗡𝗬𝗔 𝗠𝗘𝗡𝗨𝗡𝗔𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗛𝗔𝗝𝗜 Kisah meng...