Friday, 9 July 2021

puisi cikgu ramlan patikan buku tentang hati

Beberapa tahun yang lalu saya ada menukilkan sebuah sajak bertajuk MENCARI EMOSI dan dimuatkan dalam Kumpulan Puisi saya TENTANG HATI yang diterbitkan oleh ITBM pada tahun 2017.

Di bawah ini saya salinkan sajak berkenaan:

MENCARI EMOSI

Aku mencari emosi dengan mata teori
bertemankan William James, Philip Bard,
Walter Cannon, James Papez, Paul Maclean,
Karl Lashley, Joseph LaDoux, Alan Baddeley
dan beribu yang lain di mana-mana 
serta setinggi-tinggi sanjungan untuk Ibnu Sina

Dengan rendah diri
kami telusuri setiap patah definisi
menterjemah tanda-tanda dan tindak jasmani
mentafsir fenomena dan rasionalisasi
menggali dan menganalisis segala bukti

Ternyata tiada yang benar-benar pasti
pelbagai peta kata sukat dibaca arahnya
ada lintasan-lintasan tak sampai ke destinasi
berbalik semula ke dalam gelita

Benar, ada yang ditemui dalam amygdala
suatu komponen sistem limbic di celah hemisfera
tetapi bukan semua di proses di sini
hanya satu daripada pelbagai fungsi

Sekali sekala terserempak di hipotalamus
dalam perjalanan ke talamus
atau ke cingulate gyrus
dan kadang kala dalam bentuk memori
di hippocampus

Apakah akan lebih kerap ditemui
di seluruh minda dalam kamus takdir?

Mungkin juga di dalam hati
dan jantung kami...

m.s. 49-50

Baru-baru ini ada seseorang bertanya saya, "Cikgu dah jumpa emosi?"

Saya senyum. Saya tahu dia sengaja nak menguji saya.

Berikut adalah jawapan saya:

SINULA

Bukan aku tetapi Johann Christian Reil menjumpainya
jauh tersorok dalam rekahan Sylvain
bagaikan pulau tersembunyi di laut terpencil
dinamakannya "Island of Reil"

Alhamdulillah, telah berkali-kali ku kunjungi
berpandukan maklumat Antonio Damasio
dan peta pencarian Arthur D. Craig
merentasi denai neuron dan lebuhraya deria
mengelilingi minda

Hooray, akhirnya ku temui semua
segala emosi yang pernah dideritai
yang pernah dinikmati berkali-kali
bahagia di jiwa pedih di hati
benci, iri, suka, dukacita
terlimpah marah dan gundah
dan yang sepertinya mengiringi langkah
di dunia fana

rupa-rupanya di sinilah semuanya terjana
di alur-alur sulkus dan beting-beting gyrus
dari bahagian hadapan yang berbendul
dari bahagian belakang yang bergranul

ku temui juga perasaan
kesyukuran, keinsafan, kekesalan
kegigihan, keyakinan, keghairahan
dan yang selainnya daripada persenyawaan
emosi, pengalaman dan hakikat insan

ku temui pelbagai gerak balas sosial
mengasaskan interaksi dan amal
menjelmakan empati, kecintaan dan kebahagiaan
segala perikemanusiaan

ironisnya ku temui juga rangsang ketagihan
dan bibit-bibit gangguan jiwa
tekanan, cemas, trauma, schizophrenia

semuanya meriah dalam INSULA
dalam kurungan jemala

(Saya berharap semoga yang bertanya itu akan bertanya lagi)

No comments:

Post a Comment

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...