Perangkap Riba
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang pun kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia tidak memakannya secara langsung, dia akan terkena debunya” (HR Ibnu Majah)
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
(Al-Baqarah 2:275)
______________________________
4 Jenis Riba&Contoh Situasi
Bagi Orang Islam Elakkan,Dan Wajib Ketahui
____________________________
Tahukah anda, sebagai orang Islam, kita kena jauhi beberapa jenis riba supaya tidak terjerumus ke lembah dosa.
Oleh itu, amat penting untuk tahu berkenaan jenis riba yang ada supaya tidak terlibat dengannya, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Apabila bercerita berkenaan riba, jangan pula keliru antara rasuah dan riba, dan juga antara jual-beli dan riba.
Ramai mungkin dah tahu tentang rasuah, sebab selalu sahaja keluar berita tentang kes-kes rasuah yang banyak berlaku.
Tetapi, mungkin ada yang kurang tahu berkenaan riba.
Yang penting yang perlu tahu, rasuah dan riba adalah haram, manakala jual-beli adalah halal.
Terlibat dengan riba adalah satu dosa besar, malah dikatakan seolah-olah berperang dengan Allah.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah dalam ayat 278-279, “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.”
Pada masa sekarang, banyak produk-produk kewangan yang mempunyai elemen riba terdapat di pasaran, contohnya seperti insurans konvensional, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan kad kredit.
Malah, tanpa kita sedar, perbuatan kita sendiri pun boleh menjerumuskan diri ke dalam lembah riba jika tidak berjaga-jaga.
Jadi, untuk perkongsian kali ini, saya nak berkongsi serba sedikit berkenaan riba dan jenis riba yang ada, supaya kita semua dapat berhati-hati agar tidak terlibat dengan amalan haram ini.
Definisi riba
Sebelum kita pergi lebih lanjut tentang jenis riba, jom kita fahami dulu apakah maksud riba.
Dari segi bahasanya, riba bermaksud pertambahan dan peningkatan.
Manakala dari segi istilahnya pula, riba bermaksud sebarang tambahan ke atas hutang akibat tempoh dan tambahan dalam urusan melibatkan item-item tertentu (ribawi).
Item ribawi pula bermaksud item wang seperti matawang, emas dan perak dan juga makanan asasi seperti tamar, beras, garam, gandum dan barli.
Daripada definisi ini, dapat difahami bahawa riba boleh terhasil daripada hutang dan juga jual-beli item ribawi.
Bagaimana pula tu?
Kalau nak faham lagi, jom teruskan pembacaan.
Jenis riba & contoh situasi
Daripada definisi riba yang diberikan di atas, riba boleh dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu riba al-Duyun dan riba al-Buyu’
Riba al-Duyun melibatkan urusan pinjaman dan hutang, manakala riba al-Buyu’ melibatkan urusan jual-beli item ribawi.
Riba al-Duyun melibatkan kadar lebihan faedah yang terhasil disebabkan tempoh, sama ada tempoh pemberian pinjaman mata wang atau manfaat sesuatu aset.
Dalam erti kata lain, riba al-Duyun melibatkan sebarang jenis pinjaman yang membawa manfaat tambahan kepada pemberi pinjam, dan memenuhi tiga syarat yang berikut:
terhad kepada manfaat material, bukan spirutual seperti pahala
manfaat tambahan diterima pemberi pinjam, bukan peminjam
manfaat disyaratkan atau dipersetujui awal
Untuk memudahkan pemahaman, riba al-Duyun dibahagikan kepada dua iaitu riba al-Qardh dan riba Jahiliah.
Riba al-Buyu’ pula melibatkan urusan berkaitan item ribawi; sama ada berlaku ketidaksamaan pada berat atau kuantiti semasa pertukaran, atau pertukarannya dilakukan secara bertangguh.
Riba al-Buyu’ juga terbahagi kepada dua iaitu riba al-Nasak/al-Nasiah dan riba al-Fadhl.
Ringkasan pemudahan bagi jenis riba boleh dilihat di dalam gambar di bawah:(Nombor 1.)
jenis riba contoh situasi riba
Mari kita kenali dengan lebih jelas lagi setiap jenis riba ini berserta contoh situasi bagi setiap jenis tersebut.
Jenis riba al-Duyun #1 – Riba al-Qardh
Riba al-Qardh berlaku apabila sebarang kadar atau manfaat tambahan yang lebih daripada pinjaman pokok dikenakan ke atas pinjaman tersebut dan dipersetujui semasa pinjaman dibuat, sama ada dikenakan oleh pemberi pinjam atau ditawarkan sendiri oleh peminjam.
Dalam erti kata lain, riba al-Qardh melibatkan sebarang pinjaman yang perlu dibayar melebihi pinjaman pokok.
Riba jenis ini adalah yang paling popular dan banyak berlaku di kalangan masyarakat sekarang.
Riba ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan contoh situasi bagi riba ini adalah seperti yang berikut:
Contoh #1: Si A meminjamkan duit RM 1,000 kepada si B, dan meletakkan syarat si B mesti memulangkan balik sebanyak RM 1,200 nanti. Lebihan RM 200 tersebut adalah riba.
Contoh #2:
Si B nak meminjam duit si A sebanyak RM 1,000. Untuk memastikan si A memberi pinjam duit tersebut, si B menawarkan akan memulangkan sebanyak RM 1,200 nanti. Walaupun ditawarkan sendiri oleh si peminjam, riba tetap berlaku kerana berlaku persetujuan sebelum pinjaman dibuat. Jika si B sememangnya berhasrat nak membalas budi si A dengan memberi duit lebih, janganlah diberitahu atau ditawarkan sebelum pinjaman. Sebaliknya, berikan sahaja sebagai hadiah semasa membayar pinjaman itu semula tanpa memberitahu apa-apa kepada si A.
Contoh #3:
Si C meminjamkan duit kepada si D sebanyak RM 1,000 dan menetapkan syarat yang si D mesti memulangkan semula duit dengan jumlah yang sama dan mesti menyiapkan tugasan-tugasan si C selama seminggu. Walaupun tiada tambahan duit, namun manfaat tambahan (menyiapkan tugasan selama seminggu) juga adalah riba.
Contoh #4:
Si E meminjamkan keretanya kepada si F, dan menyatakan bahawa si F mesti memulangkan kereta tersebut dengan minyak penuh, walhal minyak kereta tersebut adalah tidak penuh semasa diberi pinjam.
Contoh #5:
Si G berkata kepada si H,”Lusa hari jadi kau, jadi aku akan belikan kau hadiah berharga RM 100, tetapi dengan syarat minggu depan semasa hari jadi aku, kau belikan hadiah berharga RM 150 kepada aku”. Walaupun niat asalnya adalah hadiah, tetapi oleh kerana wujud syarat meminta manfaat tambahan, maka riba berlaku.
Contoh #6:
Pihak pengantin perempuan bersetuju untuk memberikan 9 dulang hantaran dengan nilai RM 10,000 manakala pihak lelaki bersetuju membalas 7 dulang hantaran bernilai RM 13,000. Dalam situasi ini, riba berlaku kerana persetujuan berlaku untuk manfaat dibalas manfaat yang lebih. Tidak salah untuk menetapkan bilangan dulang sahaja, tetapi apabila menetapkan nilai yang berbeza seperti ini, riba boleh berlaku.
Nak elakkan riba al-Qardh?
___________________________
Pastikan sentiasa berhati-hati apabila memberi pinjam atau meminjam duit atau barang dengan pihak lain.
Kalau nak meminjam dengan bank atau institusi kewangan pula, pastikan pilih pembiayaan Islamik bukan pinjaman konvensional kerana pembiayaan Islamik menggunakan kontrak jual-beli, sewaan atau sebagainya yang berbeza dengan kontrak pinjaman konvensional.
No comments:
Post a Comment