Saturday, 7 September 2019

Penyatuan Ummah

PENYATUAN UMMAH YANG DIKEHENDAKI

Kemelut yang menimpa umat Islam di Malaysia hari ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia adalah pertembungan berzaman antara umat Islam dengan pakatan kuffar dan munafiqun. Antara Firaun dan tenteranya dengan rakyat Mesir yang lemah. Kafir Musyrikin Mekah dengan umat Muhammad saw. Begitulah seterusnya antara regim zionis Yahudi dengan rakyat Palestin, regim tentera Myanmar dengan umat Islam dari kalangan rakyat mereka sendiri dan regim hindu Modi dengan penduduk Islam Kashmir. Umat Islam disembelih sana sini dan diperlakukan dengan sesuka hati mereka.

Peringatan akan bencana yang kita hadapi hari ini telah disampaikan puluhan tahun dahulu. Mula-mula kita beritahu bahawa umat Islam sedang diserang dengan serangan minda (war of ideas). Segala kekuatan musuh dari dalam dan luar negara didapati terus digembling. Berbagai-bagai jenis bantuan dilihat turut disalurkan. Beberapa pertubuhan baharu wujud dengan tujuan menyebar kekeliruan dalam agama dan pegangan. Kecelaruan persepsi disebar seluas-luasnya agar Islam dilihat seperti sudah tidak lagi relevan. Segala usaha institusi Islam dihina. Serangan semakin rancak dengan disertai oleh ilmuan daripada pelbagai bidang. Tidak ketinggalan ulama yang gilakan keglamoran daripada pemegang ijazah doktor falsafah hinggalah kepada mufti. Mereka turut mengeruhkan keadaan. Namun orang politik yang berkuasa ketika itu masih terus sombong dengan amaran-amaran yang telah disampaikan.

Kita tidak taksub politik. Perbezaan antara Islam siyasi dan siyasah Islam amat jelas bagi kami. Kali ini kita tidak membuat teguran melulu kerana ada perbezaan kecil tetapi penting. Namun, setelah bergabungnya parti Islam dalam Pakatan Rakyat bersama Dap hati kami terguris. Bertambah luka apabila di negeri Perak, parti yang mendakwa “Islam memimpin” bergabung pula dengan Dap untuk membentuk kerajaan. Lantaran itu berlegarlah fatwa akan haramnya memberi sokongan kepada parti Islam ini dengan tetap menyokong parti kerajaan pusat ketika itu. Hukum “kelangsungan” atau (مآلات) yakni “keunjuran kepada yang haram” dipakai.

Islam tidak mengajar kita kecewa dengan mendiamkan diri. Kita kemukakan penyelesaian Islam dengan mencadangkan supaya kedua pemimpin parti orang Islam terbesar bertemu di satu tempat dan merangka satu penyatuan. Ketika itu tempatnya Jakarta. Tujuannya adalah agar disaksikan oleh pemimpin-pemimpin umat Islam di sana. Namun kita dapati pemimpin umat Islam Malaysia masih besar diri dan sombong untuk bersatu padu. Walaupun itu adalah perintah daripada Allah swt.

Seiring dengan cadangan penyatuan, kita keluarkan pula satu pandangan Fiqh al-Ummah demi menyusuli langkah-langkah untuk memperkasa umat Islam (فقه التعزيز). Dua kandungan penting Fiqh al-Ummah ialah [1] seruan agar umat Islam meleburi ketaksuban kepada kumpulan, jamaah, parti atau gabungan dengan kembali kepada kesatuan umat secara menyeluruh. [2] Semua orang Islam berhak terlibat dalam apa jua aktiviti demi membina kekuatan umat. Kita suarakan ini dari dahulu sebelum PRU13 lagi.

Hari ini suasana sudah berubah. Suara penyatuan sedang berkumandang. Kita harap kesilapan yang lalu tidak diulang lagi. Namun, bagi saya langkah-langkah ke hadapan demi keutuhan umat Islam perlu kepada perkara-perkara berikut;

Pertama: Melantik segera seorang pemimpin umat yang dipanggil Amirul Mukminin. Beliau mewakili umat Islam dalam apa jua keadaan. Keperluan ini membolehkan kita mengenal kawan dan lawan serta mengatur tindakan melalui syura di kalangan pemimpin-pemimpin daripada setiap kelompok umat Islam. Hal ini wajib dari segi syarak apabila umat sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan negara dalam menjamin kehidupan umat dan kemuliaan Islam.

Kedua: Melantik segera sekumpulan ulama dan ketuanya daripada pelbagai kelompok masyarakat Islam. Umat memerlukan suatu suara yang ijmak (konsensus) agar tidak dikelirukan oleh mereka yang hatinya busuk, jahil dan munafik. Kita sedang menyaksikan orang-orang politik merosakkan tafsiran Islam dari segi amalan yang songsang dan kenyataan yang mencerminkan keyakinan mereka yang nipis akan aqidah Islam. Ulama perlu memberi tafsiran Islam kepada apa saja isu yang berlaku dalam masyarakat kita sehari-hari. Ulama wajib mendepani apa saja usaha memecah-belah kesatuan melalui kecelaruan fahaman yang disebarkan oleh mereka yang juga keliru dan memusuhi Islam.

Ketiga: Mewujudkan kumpulan pakar serta seorang ketua. Mereka terdiri daripada pelbagai kumpulan pakar termasuk undang-undang, keselamatan, propaganda, media, strategi, kesihatan, dan lain-lain. Mereka dijemput untuk memberi pandangan demi kebaikan umat dalam hal-hal dan isu-isu yang mendesak.

Kita perlu menyatukan umat daripada segenap bidang kemahiran. Bukan orang politik semata-mata. Kita kena jauhkan diri dari kesombongan yang boleh menyebabkan cerdik-pandai lari dari kita. Kesilapan orang politik telah menyebabkan semua umat Islam susah. Kesilapan ini perlu dibaiki dengan keterbukaan dan belajarlah mendengar daripada pelbagai pihak. Kalimat yang penting di sini ialah “hikmah”. Allah berfirman:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ۞

“Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” [al-Baqarah: 269]

Kepada pemimpin negara yang zalim serta suka memaki hamun umat Islam dengan terus menerus menipu rakyatnya sendiri, saya ingatkan ancaman Allah kepada mereka:

وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ ۞

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). [Ibrāhīm: 42]

Rasulullah saw berpesan dalam sebuah hadith Muslim dari Ma’qil bin Yasar;

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ، إِلَّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّة.

"Tidaklah seorang hamba yang Allah beri dia kuasa untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, kecuali Allah akan mengharamkan baginya syurga.”

No comments:

Post a Comment

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...