Thursday, 25 July 2019

Mustafa ataturk

Mahathir Ziarah Pusara Mustafa Kamal Laknatullah : Siapakah Mustafa Kamal Laknatullah..??

Pasca Perang  Dunia  Pertama menyebabkan  Khilafah Uthmaniyyah telah kehilangan banyak wilayah kekuasaannya kepada Barat. Ironi, melalui perjanjian Sykes-Picot, wilayah Khilafah Uthmaniyyah telah dipecahkan mengikut garisan sempadan tertentu sebelum diagihkan berdasarkan penguasaan Pihak Bersekutu (Allied Forces) terutamanya British dan Perancis. British mendapat habuan terbesar iaitu penguasaan ‘jantung’  Khilafah Uthmaniyyah iaitu Turki.  Peluang terhidang ini membuka peluang seluas-luasnya kepada British untuk merealisasikan hajat terbesarnya menjatuhkan dan melenyapkan institusi Khilafah Islam yang selama ini menjadi pembela kemuliaan Islam dan umatnya. Strategi licik ini diteruskan dengan melantik ejen yang mampu membantu menunaikan  impian keji tersebut dan ternyata ciri-ciri yang mereka kehendaki wujud pada Mustafa Kamal Attaturk (Laknat Allah terhadapnya).

Mustafa Kamal merupakan  seorang pegawai muda tentera Khilafah Uthmaniyyah yang tidak begitu dikenali ketika Perang Dunia I meletus. Namun begitu, dia mula dikenali kerana kecintaan dan amat menghormati pemikiran Barat, sifat dendam yang ketara terhadap pemikiran Islam, sifat setia kepada British dan membenci Jerman. Kemuncaknya, melalui perang yang dirancang bersama British, pasukan pimpinannya berjaya ‘mengalahkan’ Tentera Bersekutu dalam pertempuran di Gallipoli. Kemenangan yang dirancang itu menyebabkan Mustafa Kamal mula dikenali, dijulang selain menerima  publisiti yang meluas.   Dalam pada itu, peranan pengkhianat umat Islam ini sebagai ejen British semakin aktif dan pada masa yang sama, Khilafah Uthmaniyyah sedang mengalami krisis politik yang kritikal. Ketidakstabilan politik ini dipacu kekuatan pemikiran umat terhadap Islam yang  semakin jumud.  Situasi menjadi semakin  parah apabila wujudnya pelbagai gerakan dan parti bersifat nasionalis yang  telah diasaskan di Turki  yang mengikut telunjuk  British dengan alasan memajukan Turki daripada terus ketinggalan berbanding negara-negara Barat seperti golongan Turki Muda, Parti Kesatuan dan Kemajuan dan Parti Kebebasan Arab.

Salah satu kegoncangan yang dahsyat melanda Khilafah adalah revolusi yang dirancang oleh golongan Turki Muda pada  1908. Hasil revolusi ini telah berjaya menyekat kuasa Khalifah pada ketika itu iaitu Sultan Abdul Hamid II. Usaha Sultan Abdul Hamid II yang mulia untuk mempertahankan Negara Khilafah dan Islam  menemui kegagalan sehingga dipaksa meletakkan  jawatannya dan lebih menyedihkan sifat peribadi baginda telah dihina dan permainkan oleh penulis-penulis Barat. Seterusnya, Khilafah Uthmaniyyah telah dipaksa menyebelahi Jerman dan Austria semasa Perang Dunia Pertama.

Dalam perkembangan yang sama, Mustafa Kamal telah terkenal pada mata sebahagian rakyat Turki selain mempunyai daya  pengaruhnya yang tersendiri. Berdasarkan beberapa percaturan politik yang dipimpin dan dibantu oleh British, pada tahun 1920, Mustafa Kamal akhirnya berjaya membentuk sebuah kerajaan di Ankara yang bebas daripada kekuasaan Khilafah. Hasilnya, terdapat dua kerajaan pada masa itu iaitu kerajaan Khilafah Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul dan Kerajaan Nasionalis di Ankara yang dipimpin oleh Mustafa Kamal. Penubuhan Kerajaan Nasionalis di Ankara ini tidak dihalang oleh British, malah British mengakui kesahihannya dan terus berhubungan dengan kedua-dua kerajaan tersebut. Pengaruh Kerajaan Nasionalis yang dipimpin oleh Mustafa Kamal semakin kukuh apabila imej Kerajaan Khilafah di Instanbul terus dipermainkan oleh media yang mendapatkan  dokongan Barat.

Kepimpinan Mustafa Kamal terus melonjak naik apabila dia menewaskan pasukan Greek di Izmir. Ke­jayaan ini di­capai melalui perjanjian Mustafa Kamal dengan Jeneral Harrington. Menerusi per­janjian ter­sebut, British bersetuju membantu Mustafa Kamal untuk menghalau tentera Greek dari Izmir. Pada bulan Ogos 1921, pasukan Mustafa Kamal telah melancarkan serangan terhadap kedudukan tentera Greek dan berjaya membebaskan Izmir. Setelah kejayaan Mustafa Kamal itu, British mula berundur dari Istanbul dan Turki. Kemenangan perang olok-olok ini merupakan satu  keputusan yang memeranjatkan namun, sekiranya diperhatikan secara mendalam, tidak mungkin British membuat keputusan mengejutkan itu melainkan mereka yakin bahawa ejen yang mereka sayangi, Mustafa Kamal mampu melunaskan cita-cita mereka untuk melenyapkan Negara Khilafah.

Selepas imejnya semakin melonjak dan popular,  Mustafa Kamal secara  agresif mempromosikan semangat Nasionalisme, secara berterusan menyindir dan memperkecilkan Negara Khilafah di Istanbul. Di dalam ucapannya di Parlimen Ankara, Mustafa Kamal pernah mengatakan, “Saya tidak percaya dengan kesatuan negara umat Islam ataupun di dalam kesatuan rakyat Uthmaniyyah. Setiap seorang dari kita bebas untuk menerima pakai pandangan masing-masing. Walaubagaimanapun, kerajaan yang memerintah haruslah diasaskan kepada polisi yang tetap yang dibentuk berdasarkan realiti. Polisi yang terfokus kepada satu objek iaitu untuk mempertahankan negara dan kemerdekaannya. Sentimen dan khayalan tidak boleh mempengaruhi polisi kita. Celaka bagi segala impian dan khayalan. Kita telah membayar harga yang tinggi untuknya di masa lalu”. Beliau secara jelas menyalahkan Khilafah Uthmaniyyah dan memanifestasikan kebenciannya terhadap Islam dan institusi politik Islam dalam ucapan tersebut.

Sementara itu, pada tahun 1922, Persidangan Lausanne telah diadakan dan Menteri Luar British, Lord Curzon merupakan jurucakap bagi Pihak Bersekutu. Persidangan ini bertujuan membincangkan ‘kemerdekaan’ Turki. Turki yang masih berada di bawah jajahan Pihak Bersekutu hanya diwakili oleh kerajaan nasionalis Ankara. Dalam persidangan tersebut, Lord Curzon menetapkan empat syarat sebelum mengakui kemerdekaan Turki. Syarat-syarat tersebut adalah:

(1) Penghapusan Khilafah sepenuhnya

(2) Pengusiran Khalifah ke luar sempadan negara

(3) Perampasan aset-aset Khilafah

(4) Pengumuman Turki adalah sebuah Negara Sekular

Syarat-syarat ini sama seperti perjanjian melibatkan Mustafa Kamal dan Jeneral Harringtoni sebelum itu. Hakikatnya, Persidangan Lausanne secara jelas menggambarkan  perancangan British dan ejennya Mustafa Kamal untuk menghapuskan institusi politik Islam. Namun, meskipun tekanan kuasa asing yang begitu hebat, majoriti kaum Muslimin di Turki masih setia kepada Khilafah dan mereka tidak pernah membayangkan bahawa Khilafah boleh terhapus. Persidangan ini telah menemui jalan buntu namun  Mustafa Kamal masih tidak berputus asa dan dengan sedaya upaya  meneruskan makar jahatnya untuk menjatuhkan Negara Khilafah Uthmaniyyah.

Rujukan: Ad-Daulah Al-Islamiyyah, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani.

No comments:

Post a Comment

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...