Monday, 22 July 2019

Keturunan keturah n Ibrahim

AL-MALHAMAH AL-KUBRO

"Bangsa dari Timur yang dinanti"

"Golongan akhir dari kalangan mereka, yang belum sampai kepada mereka...", (petikan ayat 3, surah Al-Jumu'ah).

JURAI KETURUNAN NABI IBRAHIM AS

Bangsa Melayu adalah dari jurai keturunan Nabi Ibrahim a.s. Menurut sebahagian cendikiawan Islam, Nabi Ibrahim a.s telah berkahwin dengan Keturah yang berasal dari Champa (kini Vietnam) selepas kematian Sarah iaitu isteri pertamanya yang juga menjadi 'rahim' bagi keturunan Bani Israel. Di dalam kitab Kejadian Bani Israel, ada diceritakan tentang perkahwinan Ibrahim a.s dengan Keturah selepas kematian Sarah. Perkahwinan Ibrahim+Keturah menghasilkan 6 orang anak. Sebahagian dari anak² Keturah+Ibrahim telah menetap di Timur untuk meneruskan Islamisasi di tanah air bonda mereka iaitu Keturah di Champa.

Banyak argumentasi tentang hal ini di masa lalu namun di era internet yang menyediakan perpustakaan maya terhebat, pengumpulan dan penyilangan data dapat dilakukan dengan lebih mudah.

DNA MANUSIA TERTUA

Sebenarnya kajian terhadap tamadun manusia sudah lama dibuat termasuklah satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia di Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis, diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin mendapati kajian ke atas 10 sub-etnik Melayu iaitu Kelantan, Bugis, Banjar, Jawa, Acheh, Minang, Mendeleng, Rawa, Champa dan Pattani menunjukkan sejumlah orang Melayu mempunyai DNA mitokondria yang berusia hampir 60,000 tahun dan berkongsi haplogroup (kumpulan DNA mitokondria) yang sama dengan Orang Asli. Data ini berpotensi untuk dijadikan perbandingan umur manusia dari Adam a.s sehingga sekarang.

https://m.utusan.com.my/berita/nasional/kajian-dna-bukti-orang-8232-melayu-penghuni-terawal-1.718824

TAMADUN DI TIMUR DUNIA

Sebelum kelahiran Rasulullah SAW iaitu pada tahun² sebelum 570 Masihi, Kepulauan Melayu sudahpun bermasyarakat dan bertamadun.  Masyarakat Melayu yang ketika itu dipengaruhi oleh agama Buddha (kerajaan Srivijaya) telahpun mempunyai struktur kerajaan yang diperintah oleh Raja dan para pembesar berstatus bangsawan. Keterangan ini boleh ditemui dalam catatan Ptolemy (90 Masihi-168 Masihi). Dalam tulisannya, Ptolemy menamakan Semenanjung Tanah Melayu sebagai The Golden Chersonese bermaksud Semenanjung Emas demikian juga menurut rekod² Dinasti Sui dan Tang (lewat kurun ke-7-9 Masihi) yang membuktikan wujud penghantaran ufti dari kerajaan² Melayu seperti Ch'ih Tu, Tan-Tan, Pan-Pan, Kedah Tua, Kalasapura, Melayu-Jambi dan Kan-To-Li yang menunjukkan kerajaan Melayu ketika itu telah memiliki unit-unit pentadbiran dan pemerintah tersendiri.

DUA KALI HIJRAH KE HABSYAH

Semasa berlaku konfrontasi ke atas kaum Muslimin yang terawal di Mekah (615 Masihi), sekumpulan 10 lelaki dan 5 wanita dari kalangan sahabat telah diperintahkan agar berhijrah ke Habsyah. Ianya disebut sebagai perintah Hijrah yang pertama dalam Islam. Termasuk dalam rombongan tersebut ialah Usman Affan. 3 bulan selepas itu rombongan tersebut kembali semula ke Mekah. Kemudian berlaku Hijrah kedua (617 Masihi), dimana satu rombongan seramai 101 orang lelaki dan wanita telah berhijrah buat kali kedua ke Habsyah. Rombongan ini diketuai oleh Ja'afar bin Abu Talib sepupu Rasulullah SAW. Turut  disertai oleh Saad bin Abi Waqqas dan Saad bin Lubaid yang kemudiannya meneruskan perjalanannya dari Habsyah ke Guang Zhao, China sekitar tahun 618 Masihi lalu Saad bin Lubaid menetap di Guang Zhao. Mengikut catatan rekod China, Sa'ad bin Abi Waqqas r.a telah sampai ke China sebanyak dua kali iaitu antara tahun 616- 618 Masihi & 651 Masihi. Kedatangan Saad pada kali kedua (651M) adalah sebagai Utusan Khalifah Usman bin Affan untuk Kaisar Dinasti Tang, Kao-Tsung (650-683M) disamping misinya untuk menyerahkan Al-Quran mushaf Usmani yang baru dibukukan di era khalifah Usman kepada komuniti islam yang dibawanya  bersama Saad bin Lubaid ketika berhijrah ke sana 33 tahun sebelum itu.

PERJALANAN LAUT KE GUANG ZHAO

Jika diteliti sejarah pelayaran bangsa Barat ke Nusantara seawal abad ke-2, SM, akan ditemui pelbagai fakta membuktikan Kepulauan Melayu telah lama dikenali dalam perdagangan dunia antarabangsa melibatkan Barat dan Timur. Orang-orang Parsi semasa kekuasaan Empayar Parsi (226SM-651SM) telah lama menjalin hubungan dagang dengan China. Wilayah² pesisir pantai Benua Kecil India seperti Kerala sehingga ke Coromandel (Chennai) di Teluk Bengal telah lama menjadi kota-kota pelabuhan yang menyambut kedatangan kapal² dari timur dan barat. Berseberangan dengan Coromandel adalah Pulau Sumatra yang menjadi pintu masuk Selat Melaka untuk ke Kepulauan Melayu. Di utara Selat Melaka, ada kota Pelabuhan Kalahar (Kedah Tua), diikuti Peurulak di Sumatra (Acheh).  Di era itu, para pedagang menggunakan Selat Melaka dengan berpandukan tiupan dua Angin Monsun. Maka pantai di sepanjang kiri dan kanan Selat Melaka membawa sehingga ke pesisir pantai Bandar Maharani (Muar) menjadi lokasi strategik persinggahan kapal² kecil pedagang untuk melakukan urus-niaga ataupun sebagai transit dari Selat Melaka ke Laut Champa (Laut China Selatan), melalui jalan sungai atau Highway Purba yang bernama Jalan Penarikan.

JALAN PENARIKAN

Jalan Penarikan adalah satu highway laluan sungai purba yang pernah wujud di Tanah Melayu. Ia dikatakan berusia lebih tua dari Kesultanan Melayu Melaka. Dikatakan melalui Jalan Penarikan, perjalanan dari Melaka ke Pahang hanya mengambil masa 6 hari.

Requote :
"Jalan Penarikan ialah jalan pengangkutan yang utama digunakan oleh orang pada zaman dahulu bagi menghubungkan Laut China Selatan ke Selat Melaka. Jalan ini bermula dari Negeri Pahang ikut (mudik) Sungai Pahang di Pekan; kemudian masuk ke sebuah anak Sungai Pahang yang bernama Sungai Bera, selepas itu ikut pula sebuah anak Sungai Bera bernama Sungai Serting. Pada suatu tempat di hulu Sungai Serting, naik ke darat sejauh tiga ratus ela, masuk pula Sungai Jempol yang terletak di dalam Negeri Sembilan, menghilir Sungai Jempol dan masuk ke Sungai Muar yang terletak di Negeri Johor sehingga ke Bandar Maharani. Dari Muar boleh ke Melaka dan tempat-tempat lain di barat Semenanjung Malaysia."

https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Jalan_Penarikan

DUA SAHABAT NABI SAW PERNAH MELEWATI JALAN PENARIKAN

Tercatat dalam rekod Dinasti Tang tentang kedatangan Sa'ad bin Abi Waqqas ke China pada tahun 651M sebagai Utusan Khalifah ke-3, iaitu Usman  bin Affan. Terdapat sebuah makam yang dikatakan sebagai makam Sa'ad bin Abi Waqqas di Guang Zhao selain Masjid Huaisheng yang berusia lebih 1400 tahun.

Jika benar sahabat Rasulullah SAW, Sa'ad bin Abi Waqqas dan Sa'ad bin Lubaid kali pertama menempuh perjalanan ke Guang Zhau adalah pada tahun 616M-618M, bermakna cahaya Rasulullah (sahabatnya) yang membawa Islam telah lalu di Tanah Melayu seawal tahun ke 5-8 kerasulan. Maka tidak hairanlah kenapa Batu Bersurat Terengganu menyebut tentang "Baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua … "'.

Ekspedisi 2 Sa'ad bermula dari Habsyah/Euthopia.

Dari Euthopia, ekspedisi dimulakan menuju ke Yaman. Dari Yaman menyeberang ke Kerala, India Barat kemudian ke Coromandel, Chennai di pesisir sebelah timur India menghadap Teluk Bengal. Teluk Bengal perlu diredah untuk sampai ke Peurulak (Acheh) lalu mudik melalui Selat Melaka hingga ke Muar masuk menyusur Sg. Muar hingga ke Jempol dan transit ke Sg. Serting lalu mudik melalui Sg. Serting di dalam Hutan Pahang menyeberang sehingga ke pantai timur Tanah Melayu lalu berlabuh di Pekan yang menghadap Laut Champa (Laut China Selatan). Perjalanan selepas itu melalui pesisir pantai sepanjang negara Melayu Champa (Vietnam) menuju ke Guang Zhau di Tenggara Tanah Besar China.

Peta Jalan Penarikan

https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/berita-malaysia/jalan-penarikan-warisan-negara-yang-diabaikan-124524%3famp=1?espv=1

RUMUSAN

Bangsa Melayu adalah kaum  yang dimaksudkan pada ayat 3, surah al-Jumu'ah. Jika diperhatikan ayat 2, surah al-Jumu'ah memperkatakan tentang kaum yang ummi. Ianya adalah merujuk kepada bangsa Quraisy yang nasabnya sampai kepada Nabi Ibrahim a.s melalui 'rahim' sebelah Hajar yang melahirkan Nabi Ismail a.s seterusnya membawa sehingga ke pengasas Quraisy  iaitu Qusai bin Kilab, Murrah, Kaab, Luay, Ghalib, Fahr, Malik, Nazar, Kinanah, Khuzamah, Mudrikah, Ilyas, Mazar, Nazar, Ma'ad bin Adnan bin Ismail a.s. Manakala ayat 3 adalah merujuk kepada bangsa Melayu dari isteri ketiga Nabi ibrahim iaitu Keturah. Tafsiran dari ayat 3 "lamma yalhaqqu bihim" bermaksud "belum sampai kepada kamu" ialah era persemendaan keturunan dari sebelah Hajar dan Keturah pada pertengahan abad ke-7 iaitu dari tahun 680 Masihi.

KETURUNAN ALI DI NUSANTARA

Persemendaan keturunan Saidina Ali kwh. (Quraisy) dengan keturunan anak Keturah (Melayu) boleh dikatakan berlaku selepas Peristiwa Karbala yang menyaksikan ada dari kalangan Shiah Ali yang lari ke Nusantara. Kekejaman dan penindasan berterusan terhadap golongan Shiah di era Hajjaj bin Yusof (685M) memaksa lebih ramai golongan berfahaman Syiah lari meninggalkan bumi Hijaz dan menuju ke India dan Nusantara. 

Pemberontakan Muhammad Al-Dibaj

Muhamad Al-Dibaj adalah ahli bayt yang nasabnya sampai kepada Saidina Ali menerusi bapanya Ja'far Al-Sadiq yang dianggap sebagai Imam ke-6, Syiah Imamah. Muhamad Al-Dibaj yang beraliran Zaidiyah telah muncul di Mekah pada tahun 815 Masihi dan mengaku dirinya adalah Imam Al-Mahdi yang ditunggu. Muhammad al-Dibaj dan anaknya Ali bin Muhammad telah ditangkap oleh Khalifah Al-Makmun lalu dijatuhkan hukuman diusir dari tanah Hijaz. Muhammad al-Dibaj telah menghabiskan usianya di Mesir sementara anaknya Ali bin Muhammad telah belayar bersama 100 orang pengikut Syiah yang diusir terdiri dari orang² keturunan Arab, Parsi dan India belayar ke Nusantara dengan menggunakan identiti baru iaitu Nakhoda Khalifah dan akhirnya berlabuh di Peurulak (Acheh). Kedatangan mereka diterima baik oleh pihak istana yang sememangnya telah lama menjalinkan hubungan dengan orang-orang Shi'ah Ali yang lari selepas peristiwa Karbala. Kedatangan Nakhoda Khalifah telah membawa kepada pengislaman kerajaan Peurulak. Akhirnya pada tahun 840 Masihi, Perlak mengisytiharkan negaranya sebagai negara Islam pertama di Nusantara dimana anak kepada Ali bin Muhammad al-Dibaj menjadi Sultan Peurulak/Perlak yang pertama dengan gelaran Sultan Maulana Sheikh Abdul Azis berketurunan Ahli Bayt beraliran Shi'ah Ali. Kemudian pada fasa kedua Empayar Islam Perlak yang bertahan selama 452 tahun itu telah dikuasai oleh sultan beraliran Sunni melalui perkahwinan Meurah Silu yang kemudian memakai gelaran Al-Malikus Saleh yang mengasaskan Kerajaan Samudera Pasai pada tahun 1265. Di garisan waktu yang sama seorang lagi puteri Perlak disemendakan dengan Parameswara yang telah memeluk Islam dengan memakai gelaran Megat Iskandar Syah.  Kesultanan Melayu Melaka bukan dibuka pada 1400 Masihi tetapi telag ditubuhkan pada tahun 1262 merupakan satu langkah strategik yang dilakukan oleh Sultan Perlak yang terakhir dengan mewariskan kekuatan kerajaan Islam kepada dua kerajaan di pesisir Selat Melaka bagi mengekang kemaraan mubaligh² Kristian yang datang bersama pedagang Barat yang semakin rancak menjalankan ekspedisi ke timur bermula dipertengahan kurun ke-13.

PENGISLAMAN KERAJAAN KEDAH

Satu penemuan batu nisan  yang berinkripsikan nama Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah di Langgar, Kedah bertarikh tahun 291H/903M yang dicatat dalam buku bertajuk Sejarah Kedah Sepintas Lalu terbitan Universiti Malaya (1980) mencatatkan bahawa pengislaman Kedah adalah lebih awal dari kisah Sheikh Abdulah Al-Qumairi yang ditulis dalam kitab Tarikh Al-Salasilah Negeri Kedah  yang mencatatkan bahawa Maharaja Kedah Phra Ong Mahawangsa telah diislamkan pada tahun 1136M, lalu memakai gelaran Sultan Muzaffar Syah 1. Jika diambil dari tarikh inskripsi tahun 903 Masihi pada batu nisan Sheikh Abdul Qadir ibn Hussein tersebut, ianya memberikan satu keterangan bahawa Kedah telah menerima Islam tidak sampai  60 tahun selepas Peurulak memeluk Islam pada tahun 840 Masihi.  Fakta pengislaman Kedah tersebut menjadi sebab kenapa tidak ditemukan prasasti² sejarah yang menunjukkan kehadiran pengaruh agama Buddha atau Hindu di Kedah. Ianya adalah kerana Kedah telah terlebih dahulu Islam sebelum kerajaan Buddha Srivijaya (655M - 1377M), bangun sebagai kerajaan besar yang mengembangkan jajahan takluknya di Sumatra dan Tanah Melayu sehingga sebelum dikalahkan oleh kerajaan Hindu Majapahit yang kemudian dikalahkan oleh kerajaan Islam yang diwariskan dari kerajaan Perlak, Samudera-Pasai dan Melaka. Islam menjadi kuasa besar di Nusantara pada pertengahan abad² ke-12 hingga awal abad ke-16 sehinggalah Portugis/Barat melakukan ekspansi penjajahan ke timur. Jelasnya gelombang Islam telahpun sampai ke Nusantara seawal period Nubuwwah atau sekurang-kurangnya ketika Nabi SAW masih hidup.

Ketika kerajaan Kesultanan Melayu Melaka berakhir pada 1511 akibat serangan Portugis, Kerajaan Samudera-Pasai masih lagi bertahan sehinggalah dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1521. Berakhirlah hayat kerajaan Islam yang merdeka di Kepulauan Melayu semenjak itu. Dan bermulalah pelan "Pecah Perintah" Salibi terhadap bumi Melayu yang menganut Islam di timur sehingga kini.

Kerajaan Melayu Islam pernah menjadi sebuah empayar yang besar selama 671 tahun di Kepulauan Melayu. Kehebatannya sehingga terangkatlah darjat bahasa Melayu menjadi Lingua-Franca yang digunakan sebagai bahasa perdagangan antarabangsa sejauh Tanah Besar China menganjur sehingga ke Madagascar. Untuk menjatuhkan pusat Empayar Islam yang berkuasa selama lebih 1,200 tahun, berpusat  di Timur Tengah, pihak Salib telah terlebih dahulu melemahkan penguasaan kerajaan Islam di Nusantara yang menjadi tulang belakang ekonomi Empayar Islam Pusat walaupun mengambil masa selama 300 tahun.

SEJARAH BERULANG JANJI TERPATRI

Kini, di penghujung fasa akhirzaman Islam di Timur Tengah sedang mengalami kekacauan yang sangat kronik. Manakala umat Islam di Timur Jauh pula sedang mengalami pertembungan fahaman mazhab dan aliran yang pelbagai disamping krisis akhlak orang-orang Islam yang terpedaya dengan doktrin yang dibawa oleh Barat lalu menjadi kuda tunggangan Dajjal. Islam akan bangkit dari timur kerana di sinilah berpindahnya keturunan Saidina Ali kwh. dan Fatimah yang asal iaitu anak² dari Saidina Hasan dan Husin. Dan di sini jugalah akan berhimpun anak-anak dari Nabi Ibrahim a.s dari 'rahim' Hajar dan Keturah bagi melengkapkan penceritaan kebangkitan Islam di akhirzaman.

FIKIRKAN

"Akan datang dua orang anak Yatim menuntut 'harta pusaka' ini. Bapa mereka adalah seorang yang soleh", ucapan Khidir a.s kepada Nabi Musa a.s dalam surah Al-Kahfi.

Nabi Ibrahim a.s adalah orang soleh berdasarkan Surah Al-Baqarah ayat 130:

Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang SOLEH yang (tertinggi martabatnya).

#bencanadatang

No comments:

Post a Comment

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...