Wednesday, 20 August 2025

Pcr, pesannya

 Pesannya...


kau adalah lebih daripada sekadar kau

adalah hati-hati yang kau sentuh

adalah udara yang kau sedut

kopi yang kau seduh

dunia yang kau fikir

cakerawala yang kau lihat

tapak-tapak yang kau tinggalkan


kau akan ditemui dalam yang kau cintai

dalam guruh yang bergempita di kepala

dalam semilir yang membelai pagi

dalam ciuman selamat malam

dalam dakapan persahabatan

dalam rama-rama dan kunang-kunang senja


kau lebih daripada yang dipandang

daripada senyuman yang kau beri

daripada airmata yang kau cucuri

di antara ketawa dan keluhan

kepada yang banyak dan kurang


kau tanyalah diri sendiri

adakah kau dalam memori


200825

Monday, 14 July 2025

OT: tugas tak berkaitan guru

Kalau tanya aku...
1. Tiada guru sepatutnya diwajibkan menyertai sebarang aktiviti luar sekolah yang tidak signifikan kepada kemenjadian murid. Samalah dgn mana2 kakitangan awam tidak boleh terlibat dgn mana2 aktiviti yg tiada kaitan dgn tugasnya yg ia digaji utk laksanakan. 

2. Penglibatan guru hanya wajar sebagai wakil sekolah dalam program luar yang secara langsung menyumbang kepada perkembangan kemahiran guru, menambah pengalaman pembelajaran murid, sama ada akademik, sahsiah atau bakat  dengan syarat PdP tidak terjejas.

3. Apabila aktiviti luar bertembung dengan jadual pengajaran, maka PdP mesti diutamakan tanpa kompromi. Kualiti pengajaran tidak boleh dikorbankan hanya kerana memenuhi jemputan luar atau murid dilibatkan bagi menyerikan aktiviti yg dibuat disekolah utk tujuan promosi pelbagai pihak.

4. Jika mahu melibatkan murid dalam aktiviti luar, perancangan mesti mengambil kira kelapangan dan kesediaan murid serta impak positif kepada mereka,  bukan semata-mata ikut kehendak penganjur atau kepentingan pentadbiran tertinggi.

5. Tapi ini tidak termasuk aktiviti eksplorasi, lawatan akademik atau pembelajaran luar bilik darjah yang memang sebahagian daripada PdP dan memperkasa pengalaman pembelajaran murid.ksplorasi dan lawatan akademik. Jgn pelek plak, sebab beginilah cara dan prinsip sekolah negara maju melindungi guru demi menjaga kesejahteraan dan kemenjadian murid wpun menteri sgt jarang buat program disekolah.. 

Dah lah.. bagi can lah aku tidor...

OT

Beban tugas guru OT

Apabila Menteri tidak berupaya menyelesaikan isu beban tugas guru, maka secara tidak langsung beliau turut menyumbang kepada berlarutannya isu ini. Ini isu mendasar yang memberi kesan langsung kepada murid, guru dan sistem pendidikan negara.

1. Beban tugas guru merangkumi PdP, pentaksiran, kokurikulum termasuk pengurusan data dan tugasan luar bilik darjah yang TERKAIT dgn kemenjadian murid.

2. Namun, guru kini semakin sibuk dengan kerja2 luar utk pelbagai persiapan, kerja2 perkeranian dgn pengisian data bertindih2 dari SPLKPM, e-Operasi dll serta  penyediaan pelbagai dokumentasi utk dihantar ke JPN / PPD. 

3. Bila PdP terganggu, masa berkualiti bersama murid berkurang, dan proses pembelajaran jadi tergesa-gesa leranan kurang persediaan, akhirnya murid yang menanggung kesannya

4. Beban kerja berlebihan menyebabkan keletihan, stres, kehilangan minat dan ramai guru ingin atau terfikir utk bersara awal.

5.  MPPK ? Badan ini boleh dianggap gagal berfungsi kerana isu beban guru makin meruncing hingga kini diserahkan kepada KPPM, menunjukkan kelemahan koordinasi dasar. 

6. Kenapa perlu dibentang “setiap 3 bulan” sedang ia isu yang  wajar diselesaikan secara one-for-all, malah boleh sahaja dengan SATU ARAHAN dari KPM. 

7. Umum tahu, YBM & PPD/JPN antara punca macam2 tugas luar hakiki yang guru perlu selesaikan, siap dgn date line. YB Menteri sendiri aktif mengatur pelbagai program pelancaran yang memerlukan guru bersiap siaga, dengan pendetailannya diarahkan melalui PPD/JPN, sehingga wujud program utk memperolehi MBOR dgn penyertaan mandatori guru. 

Jadi ?

8. Data empirikal lapangan perlu dikumpulkan segera untuk mengenal pasti tugasan paling membebankan serta kesannya terhadap keberkesanan guru dan hasil pembelajaran murid.

9. Jika YBM / KPM betul2 prihatin, tubuhkan kumpulan penyelidik utk menyiapkan laporan kajian beban tugas kerana KPM sendiri spt tidak berupaya utk menyelesaikannya, sdg Menteri boleh sahaja keluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dgn arahan yg tegas.

10. Buat masa ini, wujudkan badan profesional, bebas dan berkecuali tersebut, untuk menyiasat serta mencadangkan rombakan struktur tugasan guru secara menyeluruh, bukan bersandar mengikut mekanisme sedia ada yang terbukti sejak dulu tidak akan bawa ke mana-mana. 

OT

PCR: Seratus

SERATUS

sebagai peratus markah 
di atas kertas ujian
natijahnya tiada kesalahan
pada semua jawapan
namun bukan sesempurna
kecemerlangan

seratus betul
mungkin seratus tahu
tetapi belum sejati ilmunya
untuk dibawa meneroka
untuk diguna mencipta

sebagai jumlah tahun
daripada tarikh kelahiran
natijahnya rezeki bergugusan
seperti daun-daun dan musim
pada pohon-pohonan
namun bukan jaminan
keredhaan

seratus tahun
mungkin sepanjang-panjang pengalaman
tetapi sedetik di padang terik
menunggu timbangan

wallahuaklam

Desa Alam
140725

Monday, 30 June 2025

PCR: aku pernah lupa

AKU PERNAH LUPA
(bersempena ulangtahun kelahiran)

aku pernah marah
pada semua mawar
setelah sebatang duri
menusuk jari

aku pernah berputus asa
dengan semua cita-cita
kerana berkali-kali kecewa

aku pernah hilang percaya
pada doa-doa
kerana berkali-kali menunggu hampa

aku pernah mencemuh
semua rakan
setelah seorang menikam belakang

aku pernah tidak percaya
pada cinta
setelah seseorang tidak setia

aku pernah melepaskan peluang
selepas yang pertama kecundang

aku pernah lupa 
semuanya fana
ada takdir beroda
untuk setiap penamat
akan ada permulaan baru 
demi matahari di pagi hari
demi bulan mengiringi
demi siang menampakkan
demi malam menutupi

aku pernah lupa
yang tidak terlihat di mata
tertera di hati
dan diriku sempurna
di dalam raga...

Shah Alam
270625

Friday, 6 June 2025

PCR, secangkir kopi

SECANGKIR KOPI ADHA

secangkir kopi adha
istemewa untuk semua
jemputlah seberapa ramai
menghirupnya

itulah perkongsian
meriah pengorbanan
nikmat takwa di arafah

untukku cukuplah setitis
di atas lembaran ini
kuserahkan ke sinar fajar

semoga yang jernih
kembali ke awan
yang serdak hitam setitik
memeta kenangan

050625

Thursday, 5 June 2025

PCR: Gaza terkini

TERKINI DI GAZA

khabarnya, dua puluh sembilan kanak-kanak
dan warga emas palestine
maut kebuluran di gaza
sementara ribuan tan bantuan
mereput di jalanan dendam
penakluk kejam

maka berapa ramaikah lagi
akan dikebumikan
dengan bekas ikatan batu di badan?

bagaimanakah lagi perlu digambarkan
di hadapan mata dunia
betapa lebih dua purnama sudah
kebuluran dijadikan peluru
pada senjata genosida

kini mereka melepaskan tembakan
kepada yang meluru ke pusat kemanusiaan
mengemis makanan di selatan rafah
lebih tiga puluh kelaparan tergadai nyawa
hampir dua ratus menderita luka

apakah darah tidak lagi merah
di sekujur gaza
sampai para hipokrit menutup mata?

apakah maruah tidak lagi berharga
di sekujur gaza
sampai takbir retorika berjuta gema?

050625

Tuesday, 27 May 2025

PCR: tabah mengkafan

TABAH MENGKAFANKAN

khabarnya Dr. ALAA AL-NAJJAR
hanya menggeletar dan pengsan
namun tabah mengkafankan
anak-anak kesayangan

bukan seorang 
tetapi sembilan sekaligus
dihangusi api kesumat
gerombolan keparat
di bumi gaza

mereka yang hanya kuntum-kuntum
diembuni dengan air mata
disegari dengan darah cinta

mereka yang gembira
dalam kehilangan
kawan-kawan bergelimpangan
merindui sanak saudara 
yang tidak berpusara

mereka yang diharapkan
membela agama
memulihara aqsa

apakah akan ada
yang lebih memilukan?
ketika perpecahan berleluasa
yang kaya beraja di mata
yang berkuasa mencatur laba
yang dekat berkhianat
yang jauh memeluk tubuh

250525

Monday, 12 May 2025

PCR: lutut

LUTUT

aduhai, akhirnya kuinsafi
tuaku di sini

sebelumnya tidak dipeduli
segala yang bergeseran kehausan
segala yang anjal mengeras
segala yang terik tercarik
segala yang empuk meremuk

setelah berjuta kali berlipat
setelah berjuta kali termampat
setelah berjuta kali tersentap
setelah berjuta kali tergeliat
setelah berjuta kali memasak kudrat

berpuluh tahun menanggung berat 
berjuta tempat menghambat hajat
beraneka aksi dipersembahkan
berjuta jadi dipaksakan

kini di sini segala sakit menjerit
tiada upaya apatah lagi gaya
lutut lurus menjadi tongkat
menghela cerita renta

120525
Desa Alam.

Sunday, 11 May 2025

PCR: masihkah ada

MASIHKAH ADA?

pada tanda dan alamat hayat
benar, sudah amat hampir
tetapi berkali-kali digapai
tidak tercapai

meskipun terjuntai-juntai
bukan lagi melambai-lambai
di bawahnya gelora lautan

mungkin inilah hakikat
takdir bukan perasaan
atau kaumeramalkan

atau inikah adanya
kesempatan
masih ada perahu mukmin
yang perlu kupenuhi

110525
Desa Alam.

Friday, 9 May 2025

PCR: sementara

SEMENTARA

kerana semuanya sementara
kulepaskan kata-kata ke angkasa
tinggal padaku atmosfera terbuka
tanpa ghairah cakerawala

lepaslah yang lepas
tidak menjadi permata pada jiwa 
membeku sehampar batu di hela nafas
sampai meminta nyawa

kubebaskan yang berbekas
hanya mendarahi luka-luka
atau menebalkan sesal
sampai beberapa musim
cinta sakura berguguran

hanya yang dititipkan Tuhan
kusematkan pada fajar
menjadi sinar

090525
Dusun Lumut.

Monday, 5 May 2025

Pcr: Haiwan ternakan

HAIWAN TERNAK

aduhai, kutemui
haiwan-haiwan ternak
berselerak di dalam benak
bagaikan di padang lalang
meratah segala lapar

saban fajar menunggu dilepaskan
sebaik pintu di buka
melompati ketamakan

tergembala dengan jeritan
dengan suapan dan pukulan
dihidupan untuk makan
dan kesenangan

kerana seperti mereka
tidak kufikirkan ada dan fasa
kuabaikan tanda-tanda

hujan turun, pohon-pohon merimbun
kemudian kontang, kemudian gersang
sekalian pulang

050525
Dusun Lumut.

Thursday, 13 March 2025

PCR: gaut

GOUT
(versi subuh ini)

setelah dua hari
imflamasi di ibujari
seperti dibawa berlari
diburu api

seperti keting yang patah
dipaksa melangkah

alhamdulillah
peritnya tak merebak
sekadar membiak
seperti tisu terpanggang
di situ

dan sembilu mencucuk-cucuk
keperluan mengengsot mencari paut

pil sakit tinggal sedikit
tidak lebih baik daripada menggantungkan langkah
di sidai sejadah

Shah Alam
130325

Thursday, 6 March 2025

PCR: semakin sampai

semakin akan sampai
semakin banyak belum usai
terasa semakin banyak 
tidak akan langsai

seperti cinta pada-Nya
masih berbumbu retorika
sekitar hanya rasa-rasa

rasa-rasa memahami-Nya
di dada firman-Nya hanya aksara
rasa-rasa setia dengan-Nya
di usaha suruhan-Nya hanya petua

rasa-rasa mengagungkan-Nya
di minda larangan-Nya dipersia
rasa-rasa menyayangi-Nya
dijiwa kehendak-Nya dikecewa

maka kupohon ampun
izinkan pelitamu terus bernyala
biarpun mata kalbuku
semakin kelabu

060325

Friday, 10 January 2025

PCR: menunggu

menunggu persis membiarkan
peluang berlalu bersama debu
tinggal tunggul-tunggul harapan
arca-arca sumpahan

bukan tidak pernah azam memburu
yang terlepas berkali-kali pantas
sesal lebih cepat lemas
dalam arus deras

menunggu sememangnya berhantu
lepas sekejap datang sekejap memendap
muak meramal jadi sedap
yakin akan tiba masanya membawa senyuman
yakin akan terbuka pintu-pintu kayangan
gelombang akan tenang
baru akan menjelang
ranjang pun bertambah 
panjang
dari semalam

desir pasir tidak berhenti di ramping jam
pelita lama-lama padam

100125

Saturday, 4 January 2025

PCR, tuaku

TUAKU

selalu bergaduh dengan jam
tentang masuk waktu
cepatnya usia berlalu
lambatnya masa menunggu

selalu juga bergaduh dengan butang
tentang tersalah masuk lubang
baju pun tersenget pasang
seluar terlondeh ke kelangkang

dan marah-marah dengan cermin mata
tentang salah eja ba dan ya
nun, sa atau ta

tetapi tak termarah lagi
pada sepi...

050125

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...