Sunday, 14 December 2025

Pemudahkan, jgn liarkan orang

 [MOTIVASI] - Siri 1 -Perintah Supaya Mempermudahkan Perkara  Dan Tidak Meliarkan Orang  [HADITH TEMATIK]

Maulana Muhd Asri Yusoff


Video penuh asal -      https://youtu.be/Cy6s_Zxwd_E  [Sahih Muslim  (Kitab Jihad) ]

[KOLEKSI VIDEO TEMATIK HADITH -  https://syarahanhadits.school.blog/hadith-tematik-berdasarkan-tema/ ] 


                                   MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH

                                                      باب فِي الأَمْرِ بِالتَّيْسِيرِ وَتَرْكِ التَّنْفِيرِ

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، وَأَبُو كُرَيْبٍ - وَاللَّفْظُ لأَبِي بَكْرٍ - قَالاَ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِي بُرْدَةَ، عَنْ أَبِي مُوسَى، قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا بَعَثَ أَحَدًا مِنْ أَصْحَابِهِ فِي بَعْضِ أَمْرِهِ قَالَ ‏ "‏ بَشِّرُوا وَلاَ تُنَفِّرُوا وَيَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا ‏"‏                                                                      ‏

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، عَنْ شُعْبَةَ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي بُرْدَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم بَعَثَهُ وَمُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ فَقَالَ ‏ "‏ يَسِّرَا وَلاَ تُعَسِّرَا وَبَشِّرَا وَلاَ تُنَفِّرَا وَتَطَاوَعَا وَلاَ تَخْتَلِفَا ‏"‏ ‏.‏


        PERINTAH SUPAYA MEMPERMUDAHKAN PERKARA  DAN TIDAK MELIARKAN ORANG


Hadith Pertama - Riwayat dari Abu Musa, beliau berkata,  Nabi s.a.w. apabila mahu menghantar seseorang daripada Sahabatnya untuk mana-mana urusannya Baginda akan bersabda, "Berilah berita gembira, jangan kamu liarkan orang, permudahkan, jangan kamu payahkan".  

 

Hadith Kedua - Dengan sanadnya, Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Musa al-'Asyari bahawa  Nabi s.a.w. telah menghantarnya  dengan Muaz ke Yaman, ketika itu Nabi s.a.w. bersabda, "Kamu berdua permudahkan, jangan kamu payahkan, kamu senangkan hati orang, jangan kamu liarkan mereka dan hendaklah kamu bersepakat, jangan kamu berselisih".


[RINGKASAN] Perintah Supaya Mempermudahkan Perkara  Dan Tidak Meliarkan Orang                                                                                                      


1. Kita dikehendaki untuk mempermudahkan urusan  dalam semua  perkara,  tidak hanya dalam perkara yang berkaitan ibadat dan agama sahaja. 


2. Nabi s.a.w. memerintahkan supaya kita memberi berita gembira ketika membawa Islam kepada orang ramai dengan menyatakan kurniaan Allah yang banyak dan melimpah ruah. 


3. Rahmat Allah itu luas, jangan kecewakan orang yang banyak dosa sehingga dia berputus asa, berilah harapan kepadanya. Ingatlah, yang penting ialah dia telah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan. Ingatkan kepadanya bahawa amalan yang sedikit akan diganjari dengan banyak, hatta dengan niat sajapun kita diberi pahala. 


4. Terapkan konsep mempermudahkan ini dalam semua aspek kehidupan kita, dan berilah berita gembira. 


Untuk mereka yang berjihad, katakan kepadanya, orang yang mati syahid sebenarnya tidak mati, malah hidup. Kita boleh ambil pelajaran dari kisah seorang Sahabiah yang bertanyakan kepada Nabi s.a.w. tentang anaknya yang syahid adakah dia akan masuk syurga. Nabi menjawab, (untuk menggembirakannya) bahawa anaknya bukan sahaja masuk syurga malah mendapat syurga yang paling tinggi (syurga Firdaus). Di zaman Nabi, untuk menenangkan keluarga pejuang yang terkorban, Nabi s.a.w. memberi jaminan  bahawa mereka adalah di bawah tanggungan Baginda  (pemerintah).


Sentiasalah memberikan berita gembira dan elakkan dari menyusahkan hati orang lain. Untuk pelajar, katakan kepadanya, Allah akan mempermudahkan jalannya ke syurga. 


Untuk peniaga, berikan semangat kepadanya dengan memberitahu bahawa peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama Nabi, orang soleh dan syuhada'. 


Orang Islam akan sentiasa bersemangat kerana kita diberi kelebihan di dunia dan akhirat. 


5. Nabi s.a.w. melarang kita dari meliarkan orang. Usahakanlah supaya semua orang, termasuklah orang kafir supaya suka mendekati kita. Jika yang berlaku adalah sebaliknya, periksalah diri kita, kerana ada sesuatu yang tidak kena dengan kita. 


6. Jangan menakut-nakutkan orang seolah-olah rahmat Allah itu jauh dengan  menceritakan hanya perkara buruk tanpa disertakan janji-janji baik dan menggembirakan. 


7. Jinakkan hati orang-orang yang baru memeluk Islam. Gunakan bahasa yang lembut dan berhikmah dalam menerangkan hukum-hukum Islam terutama hal-hal sensitif seperti berkhatan. Kita boleh manfaatkan kepelbagaian pendapat dalam mazhab-mazhab muktabar. Contohnya, dalam hal berkhatan, kita boleh mengambil pendapat mazhab Hanafi yang menyatakan berkhatan hanyalah sunat dan tidak perlu diperbesarkan. 


Contoh lain, kita boleh ambil pendapat mazhab Maliki bahawa anjing tidak najis dalam Islam. Pendapat mazhab ini berguna bila kita berhadapan dengan mereka yang kehidupan mereka sentiasa berdamping dengan anjing seperti golongan orang asal dan pribumi. Di peringkat awal mereka memeluk Islam, kita perlu berikan perhatian kepada perkara-perkara berkaitan aqidah dan dekatkan mereka kepada perkara fikah secara beransur-ansur. Yang paling penting janganlah kita meliarkan orang dari Islam.


8. Begitu juga kita jangan menakut-nakutkan  remaja yang hampir baligh dengan ancaman  hukuman yang berat-berat. Berilah galakan kepada mereka dengan menceritakan balasan ganjaran yang besar untuk amal-amal ketaatan. Dedahkan mereka dengan ibadat seawal mungkin untuk membiasakan mereka sebelum memasuki usia baligh. Beritahu mereka bahawa solat sebenarnya adalah cara kita berterima kasih kepada Allah di atas nikmat-Nya yang amat banyak kepada kita sehingga tidak terhitung. 


9. Untuk orang yang baru bertaubat dan ingin pulang ke pangkal jalan, jangan memberat-beratkannya kerana dikhuatiri dia akan kembali kepada perangai lama. Gunakan pendekatan beransur-ansur dan jangan bebankan sesuatu yang melebihi kemampuannya. Kita perlu ingat, bab-bab "taklif" (beban syariat) dalam Islam diterapkan secara beransur-ansur di zaman Nabi.


10. Hadith ini juga memerintahkan pemimpin supaya berlembut. Pemimpin-pemimpin hendaklah bersatu padu dan bersepakat kerana bila berlaku perselisihan akan hilanglah keberkatan.


11.  Pemerintah atasan perlu sentiasa memberi nasihat, pesanan dan panduan kepada pemimpin bawahan walaupun pemimpin bawahan terdiri daripada orang yang baik-baik. Sesungguhnya, peringatan itu berguna kepada orang mukmin. 


12. Di samping "memudahkan", hadith ini juga menyarankan kita supaya "menenangkan" (jangan celarukan atau liarkan orang). Kita hendaklah berlembut dan bertolak ansur, perlu menenangkan di samping tegas, jika perlu. 


13. Saranan-saranan dalam hadith ini adalah untuk kita amalkan ke atas diri kita juga. Jangan bebankan diri kita dengan sesuatu yang di luar kemampuan kita sehingga kita sendiri tidak mampu memikulnya. Sesuatu amalan atau kerja yang terlalu berat dan membebankan akan menyebabkan kita akhirnya meninggalkannya. Buatlah sesuatu amalan atau kerja yang kita suka dan mudah untuk kita.                                                      


14. Kita patut tahu pilihan-pilihan yang ada dalam mazhab-mazhab dan menyesuaikan dengan keperluan dan masalah-masalah yang kita hadapi. Contohnya, untuk solat witir, walaupun yang afdhal ialah solat di akhir malam, kita boleh solat di awal malam, terutamanya  jika kita rasa sukar untuk bangun malam disebabkan kepenatan bertugas atau belajar dsb.


15. Antara contoh kemudahan yang diperolehi dari kepelbagaian pendapat dalam mazhab ialah bolehnya mengeluarkan zakat dengan mata wang. Ini dibenarkan dalam mazhab Hanafi, manakala mazhab Syafie menetapkan zakat perlu dikeluarkan dengan beras. DI zaman ini, menunaikan zakat dengan wang adalah lebih praktikal dan sesuai dengan keperluan semasa, dan inilah yang diamalkan di negara kita.

No comments:

Post a Comment

Tafsir surah Yusuf: 63-66

 💎𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠-𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐘𝐮𝐬𝐮𝐟 𝐂𝐞𝐫𝐢𝐭𝐚 𝐊𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐁𝐚𝐩𝐚 𝐌𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚, 𝐁𝐮𝐧𝐲𝐚𝐦𝐢𝐧 𝐃𝐢𝐛𝐞𝐧𝐚𝐫𝐤𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐠𝐢 & ...