Thursday, 22 June 2023

PCR: Ababil

ABABIL

Yang terbang berkumpulan
tiba-tiba turun meluncuri angkasa
menghunjamkan ketulan-ketulan hitam
seakan-akan tanah yang terbakar
sehingga tubuh-tubuh musuh menggelepar
hancur luluh
seperti daun-daun lumat dimakan ulat

Mungkin tiada siapa pun menduga
sedemikian mudah angkatan Abrahah akan musnah
setelah begitu megah mendabik gagah
menunggang gajah
untuk meruntuhkan Kaabah

Kini kau bertanya tentang yang hitam itu
apakah mengandungi hama
lalu menularkan cacar atau ebola
atau di dalamnya unsur-unsur radioaktif
lalu memencarkan gelombang-gelombang maut
sehingga otot dan tulang mereput

Apa-apa pun jawapan yang kau mahu
tiada yang lebih benar daripada keyakinan
bahawa ada yang maha bijaksana
daripada yang bijaksana
bahawa ada yang maha berkuasa daripada yang berkuasa

Seperti kau hanya baharu tahu
tentang dron dan peluru berpandu
tetapi di sisi Tuhan
telah ada Ababil itu

RAW220623.

No comments:

Post a Comment

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...