Wednesday, 13 November 2019

isu melantik orang kafir

Saya rasa terpanggil dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap kenyataan yang mengelirukan daripada beberapa orang mufti dan tokoh-tokoh agama dari kalangan ahli politik terhadap isu melantik orang kafir dalam kerajaan. Mereka seperti tidak ada panduan dalam mengeluarkan pandangan syarak, hanya sekadar menurut selera pemerintah atau kepada keadaan politik semasa. Ini boleh mendatangkan bahaya besar kepada Islam sekiranya dibiarkan terus berada di tangan ahli politik, tidak kira pemerintah mahupun pembangkang. 

Di bawah ini terdapat beberapa prinsip umum yang perlu difahami.

Prinsip 1: Para mufti dan tokoh-tokoh agama adalah ikutan orang awam. Jika menyeleweng akan rosaklah umat Islam di belakang mereka. Lantaran mereka adalah pengganti Rasulullah saw bagi menerang hukum-hukum Allah. Maka laksanakanlah tanggungjawab ini dengan sempurna. Jangan tunduk kepada penguasa, tekanan dan pengaruh politik. Dan jangan mengejar populariti sehingga mempengaruhi pandangan syarak yang akan dikeluarkan. Ingat! Besar dosanya bagi mereka yang merubah hukum Allah yang telah diamanahkan kepada kamu wahai para mufti dan tokoh-tokoh agama.

Prinsip 2: Hukum yang diperjelaskan selalunya terbahagi kepada dua. Satu, yang menyangkut soal-soal umum di mana hukumnya telah masyhur dan ijma. Yakni perkara yang telah dipersetujui dan sepakat akan hukumnya sepanjang zaman hinggalah ke hari ini. Jenis ini hanya perlu dipasti bahawa halnya menepati dengan perkara masyhur dan ijma tersebut. Kedua, perkara-perkara baru yang memerlukan pandangan yang lebih teliti. Bahagian ini amat memerlukan kepada kemahiran ijtihad dengan menitikberatkan akan perkara-perkara berikut: [1] mengenali illah (العلة) hukum, [2] mengenali maslahah yang hendak dicapai atau mafsadah yang hendak dielak melalui hukum tersebut dan [3] kebarangkalian dan keunjuran (مالآت) yang dijangkakan.

Prinsip 3: Hukum Allah yang akan disampaikan adalah petunjuk kepada kejayaan bagi mukmin melalui kehidupan di dunia ini. Jika apa yang diperintah oleh Allah swt maka baiklah kesannya di dunia dan akhirat dan apa yang dilarangNya maka buruklah ia baik di dunia dan akhirat. Tugas hamba hanya patuh kepada perintah Allah swt. Dikatakan petunjuk apabila kita mengikuti petunjuk Allah dengan mematuhi segala perintah dan larang sebelum kita melakukan sesuatu. Hukum haram atau halal yang diberi adalah petunjuk yang dimaksudkan bukan sudah engkar perintah Allah baru menyedari bahawa itu adalah petunjuk Allah.

Sekarang mari kita teliti secara terperinci beberapa pandangan yang ganjil (الفتاوى الشاذة) yang telah dikeluarkan oleh mufti dan tokoh agama kita:

Kes 1: Terdapat mufti dan tokoh agama mengeluarkan fatwa “Harus pilih calon bukan Islam selagi tak musuhi agama.” Sebelum ini mereka telah mengeluarkan hukum bahawa “Haram memilih calon bukan Islam sekiranya boleh mendatangkan bahaya kepada Islam.” Ada fatwa mereka harus dan adakala lainnya haram, diikuti frasa “selagi tak musuhi agama” atau “mendatangkan bahaya kepada Islam.” Saya percaya yang harus itu sebelum pilihanraya ke14 dan yang haram itu adalah selepas pilihanraya.

Kes 2: Pemimpin tertinggi sebuah parti telah mengeluarkan padangan bahawa tidak mengapa memilih calon kafir kerana parlimen telah dipenuhi dengan orang Melayu. Lantaran itu terus menggerakkan jentera yang terdiri daripada orang-orang Islam bagi menyokong calon kafir berkenaan. Terdapat juga pandangan yang mengaitkan qarar (keputusan) ini sesuai dengan seerah Rasulullah saw dengan peristiwa perjanjian Hudaibiah. Dalam diam-diam pengikut parti ini telah diarah menurut sahaja kehendak pemimpin tertinggi kerana keputusan menyokong calon kafir telah disyurakan (mensyuaratkan).

Taklik 1. Hukum haram memilih bukan Islam adalah perkara ijma (sepakati) ulama berkurun lamanya. Ini seperti difahami dalam tulisan terperinci beliau tetapi masih ingin memilih pandangan ulama moden yang tinggal di negara majoriti umat Islam. Pengecualian tersebut barangkali dilihat dari perspektif kuatnya kedudukan Islam di negara mereka dengan sistem presiden atau beraja. Fatwa hendaklah bersesuaian di tempat sendiri dan mesti ada hujah yang kukuh sekiranya memilih hendak keluar dari ijma. Zaman ulama terdahulu lagi kuat kedudukan Islam mereka dibandingkan dengan kita hari ini tetapi masih mengatakan haram melantik bukan Islam.

Taklik 2. Hukum hakam adalah berdasarkan illah (العلة). Illah di takrifkan seperti berikut:

وصف ظاهر منضبط دل الدليل على كونه مناطا للحكم.

“Sifat zahir yang kekal, yang menjadi dalil bahawa ianya penentu hukum.”

Hukum harus berbuka puasa dalam bulan Ramadan jika seseorang itu bermusafir. Perbuatan musafir itu acapkali dikaitkan dengan kepayahan. Namun hukum adalah berdasarkan illah iaitu musafir bukan kepayahan. Kerana kepayahan adalah sifat yang berubah dari seorang ke seorang yang lain. Pekerja kontrak barangkali lebih susah daripada musafir tetapi sifat itu berubah. Begitu juga babi adalah haram. Illahnya babi, tidak kiralah jika babi itu bersih atau kotor ianya tetap haram. 

Begitu juga kafir, haram melantik mereka kerana illahnya kafir. Kafir adalah mereka yang tidak percaya kepada Allah, hari akhirat, adanya balasan baik buruk atau ringkasnya mereka tidak percaya kepada Islam. Maka melantik mereka adalah haram. Tidak kiralah jika diletakkan frasa “selagi tak musuhi agama” atau sepertinya, kerana frasa tersebut sifat yang tidak kekal dan boleh berubah. Jika berada di parlimen nanti mungkin mereka memusuhi perkara berkaitan Islam kerana mereka kafir dan sifat kafir memang begitu. 

Terdapat mufti lain pula yang merasa hairan akan sebuah parti kafir yang beliau anggap tidak mengenang budi. Kita tahu yang mufti ini penyokong kuat pada parti kafir ini sebelum pilihanraya ke14 lagi. Selepas melihat keadaan sebenar mufti mengisytiharkan berubahnya perdiriannya dan mengecam orang lain yang tidak berubah bersama beliau. Saya hairan akan kejahilan mufti berkenaan dengan illah kafir yang ditetapkan oleh syarak dengan segala sifat-sifat jelik mereka, yang banyak disebut dalam al-quran. Sepatutnya dari awal lagi beliau tidak menyokong parti kafir berkenaan.

Terdapat pandangan yang masyhur bahawa Islam tertegak di atas syariah. Syariah tertegak di atas ahkam (hukum-hukum) dan ahkam tertegak di atas illah. Dan illah pula ialah “sifat zahir yang kekal, yang menjadi dalil bahawa ianya penentu hukum.” Ini adalah perkara asas kepada sesiapa yang belajar syariah walau di bumi mana mereka belajar bahawa hukum adalah berdasarkan illah. Tidak menjadi taliban pula dengan berpegang kepada prinsip syarak ini sepertimana didakwa oleh seorang pengkritik jahil. Inilah ilmunya dan inilah Islam yang diwarisi ulama dari dahulu sehinggalah kepada kita hari ini.

Taklik 3. Kenyataan “tidak mengapa memilih calon kafir kerana parlimen telah dipenuhi dengan orang Melayu” adalah pandangan politik keterlaluan yang melanggar hukum Allah secara terang-terangan. Politik dan syariat mana yang perlu diutamakan? Isu seperti ini telah dijawab oleh Said Ramadhan al-Buti dalam salah satu khutbahnya seperti berikut:

"دعوني أبدأ حديثي إليكم اليوم بتعريف لكلٍّ من الإسلام والسياسة وعلاقة ما بينهما. أما الإسلام فهو الدينونة الكاملة بالعبودية لله عز وجل مع الخضوع لسلطانه وتطبيق شرعه. وأما السياسة فهي إدارة الأمور أياً كانت بمنتهى ما يمكن تحقيقه من الحكمة. ذلكم هو الإسلام وهذه هي السياسة، فأيهما التابع وأيهما المتبوع؟ أيهما الخادم وأيهما السيد المطاع؟ ليس في المسلمين يا عباد الله - سواء كان فرداً في جماعة أو حاكماً في دولة - من يشك في أن الإسلام هو الحاكم المطاع وهو القائد المُتَّبَع، وأما السياسة التي هي إدارة الأمور بحكمة فقد كانت ولا تزال هي الخادم، كانت ولا تزال هي الجندي الذي يخضع لسلطان الله سبحانه وتعالى وحكمه ومن ثم يخضع لسلطان الإسلام وشرعه."
)الجمعة، 07 محرم، 1433 الموافق 02/ 12 /2011(

Sepertimana yang diterangkan sebelum ini hukum bukan ditentukan oleh orang politik. Islam dengan segala aturannya ialah agama yang datangnya dari Allah swt. Dialah penghukum dan bukan rahib-rahib dan ketua agama seperti kesilapan yang berlaku di zaman Yahudi dan Nasrani terdahulu.

Taklik 4. Terdapat kenyataan yang mengatakan “keputusan ini sesuai dengan peristiwa perjanjian Hudaibiah” adalah hujah yang meleset sekali. Ini ialah kerana peristiwa atau seerah bukan termasuk dalam dalil-dalil untuk istinbat hukum. Hujah al-Qardhawi boleh menjelaskan perkara ini seperti berikut:

"ومن أسباب الخطأ والاضطراب في الفقه السياسي: الخلط بين السنة والسيرة في الاحتجاج. السنة مصدر للتشريع والتوجيه في الإسلام بجوار القرآن الكريم. فالقرآن هو الأصل والأساس، والسنة هي البيان والتفسير والتطبيق. ولكن الخطأ الذي يقع فيه البعض هنا أنه يضع (السيرة) موضع (السنة) ويستدل بأحداث السيرة النبوية على الإلزام كما يستدل بالسنة والقرآن. والسيرة ليست مرادفة للسنة، فمن السيرة ما لا يدخل في التشريع ولا صلة له به. ولهذا لم يدخل الأصوليون السيرة في تعريف السنة، بل قالوا: السنة ما صدر عن النبي صلى الله عليه وسلم من قول أو فعل أو تقرير، ولم يجعلوا منها السيرة."
) أولويات الحركة الإسلامية فى المرحلة القادمة(127-126 – 

Taklik 5. Kenyataan “keputusan menyokong calon kafir telah disyurakan” tidak boleh membatalkan hukum ijma akan haramnya melantik orang kafir. Hukum bukan diistinbat dengan syura. Bolehkah kita kata kita telah syura untuk tidak sembahyang Jumaat minggu ini? Hukum tetap hukum. Bukan boleh dibatalkan dengan syura. Pejuang politik terdahulu amat tegas dengan hukum ini sehingga berbalah dengan parti kerajaan masa itu. Musibah kita pada hari ini ialah kerana berlonggar dengan hukum Allah sehingga orang kafir naik besar kepala. 

Semoga kita semua menegakkan Islam dan bukan menjadi hamba kepada politik demokrasi secara membuta tuli.
...

No comments:

Post a Comment

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...