Thursday, 13 March 2025

PCR: gaut

GOUT
(versi subuh ini)

setelah dua hari
imflamasi di ibujari
seperti dibawa berlari
diburu api

seperti keting yang patah
dipaksa melangkah

alhamdulillah
peritnya tak merebak
sekadar membiak
seperti tisu terpanggang
di situ

dan sembilu mencucuk-cucuk
keperluan mengengsot mencari paut

pil sakit tinggal sedikit
tidak lebih baik daripada menggantungkan langkah
di sidai sejadah

Shah Alam
130325

Thursday, 6 March 2025

PCR: semakin sampai

semakin akan sampai
semakin banyak belum usai
terasa semakin banyak 
tidak akan langsai

seperti cinta pada-Nya
masih berbumbu retorika
sekitar hanya rasa-rasa

rasa-rasa memahami-Nya
di dada firman-Nya hanya aksara
rasa-rasa setia dengan-Nya
di usaha suruhan-Nya hanya petua

rasa-rasa mengagungkan-Nya
di minda larangan-Nya dipersia
rasa-rasa menyayangi-Nya
dijiwa kehendak-Nya dikecewa

maka kupohon ampun
izinkan pelitamu terus bernyala
biarpun mata kalbuku
semakin kelabu

060325

Friday, 10 January 2025

PCR: menunggu

menunggu persis membiarkan
peluang berlalu bersama debu
tinggal tunggul-tunggul harapan
arca-arca sumpahan

bukan tidak pernah azam memburu
yang terlepas berkali-kali pantas
sesal lebih cepat lemas
dalam arus deras

menunggu sememangnya berhantu
lepas sekejap datang sekejap memendap
muak meramal jadi sedap
yakin akan tiba masanya membawa senyuman
yakin akan terbuka pintu-pintu kayangan
gelombang akan tenang
baru akan menjelang
ranjang pun bertambah 
panjang
dari semalam

desir pasir tidak berhenti di ramping jam
pelita lama-lama padam

100125

Saturday, 4 January 2025

PCR, tuaku

TUAKU

selalu bergaduh dengan jam
tentang masuk waktu
cepatnya usia berlalu
lambatnya masa menunggu

selalu juga bergaduh dengan butang
tentang tersalah masuk lubang
baju pun tersenget pasang
seluar terlondeh ke kelangkang

dan marah-marah dengan cermin mata
tentang salah eja ba dan ya
nun, sa atau ta

tetapi tak termarah lagi
pada sepi...

050125

Friday, 15 November 2024

PCR: Takziah

SELAMAT BERANGKAT SAHABAT
(mengenang Allahyarhamah Ustazah Nik Mahizan)

kalau selalunya mudah dilafazkan
dengan lidah dibasahi zikir dan firman
sekali ini begitu sukar
terkunci dalam debar dan ketar

debar kerana tiada ribut memupuh
saat daun gemilang itu jatuh
musim pula rendang
dusun terbentang

ketar kerana takdir
bukan sekadar air mengalir
tetapi janji
setepat pasti

maka berangkatlah dahulu sahabat
walaupun tidak terlafazkan selamat jalan

kugubah segala budi menjadi doa
segala kenangan menjadi matahari dan bulan
menerangi hari-hari kehilangan

Shah Alam
1501124

Monday, 4 November 2024

PCR: Dysautonomia

DYSAUTONOMIA

setelah kujawab tiga puluh soalan
sambil diperhati gerak dan geri
lalu diketuk refleks di setiap sendi
akhirnya ditetapkan temujanji

tidak boleh tidak
sebelum Dysautonomia ini merebak

tiada lagi tapi-tapi
Autonomic neuropathy itu pasti

sebelum tubuh lusuh dan luruh
tumbang dan melayang
pitam dan pengsan
lemas dan letih berpanjangan

sebelum denyutan jantung menjadi gelombang
atau terlalu perlahan
dan nafas tersumbat di kerongkongan
dyspnea menyongsong

sebelum migrain menjadi semalu
dan jemala dihempap batu
segala jadi kelabu dan kaku

sebelum tekanan memecah kaca
dan muntah berselerakan di meja
vertigo jadi gelora di samudera
dan yang tiada tiba-tiba ada

sebelum sistem demi sistem tidak terselenggara
bercucuran airmata...

Ya Allah
aku tak akan mungkir janji

041124

Sunday, 3 November 2024

PCR: lupa

LUPA

wajah-wajah dahulu
yang selalu kuingat
tidak lagi tersemat

seperti tangan-tangan
yang menziarahkan jabat
entah bila kami bersahabat

lalu berhiba
dalam riuh rendah ketawa
majlis pertemuan semula

apa yang sebelum semalam
pun tidak lagi bercerita
kenangan menjadi sehitam kopi
di dalam secawan senja

betapa telah kubakar diari
untuk memadamkan kekalahan
sedang di dalamnya ada piala dan anugerah juga
dan pohon-pohon ukhwah kita

031124

Saturday, 19 October 2024

Kereta barat down

*Kiamat bagi industri Kereta Di Barat* 

Rom Yunani Pagan telah jatuh, Centurion

Setelah kilang Volkswagon tutup di Jerman, terbaru pengeluar kereta China Chery membeli jenama kereta legenda Itali Maserati. Khabar angin telah tersebar sejak sekian lama bahawa model Maserati baharu akan dibina pada platform Chery E0X, tetapi kini dilaporkan bahawa syarikat China itu akan memperoleh jenama tersebut sepenuhnya.

Selain itu, terdapat laporan bahawa Jeep, Alfa Romeo, Fiat, dan jenama ikonik lain juga boleh dijual kepada orang Cina.

Sunday, 28 July 2024

PCR: tawaf

Apabila bilangannya tidak luak
malah semakin banyak
kau akan melihat lautan manusia
padat dengan gerak
tepu dan membuak-buak
persis arus tengkujuh sungai Pahang
terempang di Masjidil haram

dari menara jam
nampak seperti saiklon
matanya di pusat kiblat
sekelilingnya gelombang
bergelora kencang

kalau kebetulan di dalam lingkaran
langkah-langkah jadi berat
dekat tetapi penat
beratnya melekat-lekat

kau pun terhimpit
dalam gerombolan sengit
tidak sempat menentukan arah
dan menguak kehendak

ini baharu berjuta-juta
di akhirat berbilion-bilion
hidup semula

bagaimanakah agaknya
di atur Tuhan bergiliran
menerima catatan amalan
dari kiri atau kanan

Friday, 26 July 2024

CPR: Muzdalifah

Redha dan tawakal mengambil tempat
di atas permaidani berpasir
di bawah malam berhamparan

tak berbaring istiqamah
bibir digetar zikir dan tangan menadah
tetapi langit tak berbintang indah

Apakah sengaja Engkau sembunyikan
supaya aku tidak riak
kononnya berkerlipan pahalaku di cakerawala-Mu
menerangi Muzdalifah

Atau Engkau sengaja mahu aku bertanya
dengan berlinangan air mata
masih belum bergemerlapankah cintaku pada-Mu?

Atau iman dan tawajuhku
masih ditabiri hitam
dan Engkau belum sudi menyelaknya?

Ya Allah, batu yang kukutip tadi masih kugenggam
kepada siapakah patut kulontarkan di sini?

(Catatan di Muzdalifah)

Tuesday, 23 July 2024

PCR: lindungan kaabah

aku angkat tanganku
saat berlindung di Baitullah:

Ya Allah, apakah telah lama Engkau kesani
kepalsuan-kepalsuan dalam puji-pujianku
kalau ya, Engkau hapuskanlah dosa kerananya
itulah diriku yang ego dan sombong
jangan Engkau hukum aku
tetapi mohon curahkan hidayah-Mu
seperti hujan di gurun

Ya Allah, apakah telah lama Engkau kesani
kepura-puraan dalam sanjungan-sanjunganku
kalau ya, Engkau hapuskanlah dosa kerananya
itulah kecuranganku mengkhianati kesyukuran
dengan nafsu marga di rimba
jangan Engkau hukum aku
tetapi mohon sucikanku dengan fajar dan purnama

Ya Allah, apakah telah lama Engkau kesani
ketamakan dalam doa-doaku
kalau ya, Engkau hapuskanlah dosa kerananya
itulah gejala-gejala narsasisme
yang kian tular di hati
jangan Engkau hukum aku
tetapi mohon bimbingku 
ke madrasah mukmin

Ya Allah, apakah telah lama Engkau kesani
tiada kekhusyukkan dalam ibadah-ibadahku
kalau ya, Engkau hapuskanlah dosa kerananya
itulah sejuta cela akibat sejuta keraguan
di kalbu gelap tanpa keyakinan
janganlah Engkau hukum aku
tetapi mohonlah insafkanku
bahawa kehidupan ini rezeki dari-Mu
bahawa kelangsungan ini
takdir kekuasaan-Mu

(Catatan di lindungan Kaabah)

PCR: Tinggal usang

 TINGGAL USANG bukan tidak pernah digelar pegawai diraikan di gerbang ruai    kini segelung rawai di pantai landai tanpa Avecenia dan Rhizop...