Sunday, 1 October 2023

PCR: 150

SERATUS LIMA PULUH RINGGIT

yang dihebohkan
terkumpul dalam sampul marhaen
daripada lelah dan peluh tercurah
daripada luka-luka kian bernanah
daripada gundah berkumpul membarah

separuh untuk kelaparan
separuh daripada separuh untuk kemenjadian
separuh daripada separuh daripada separuh
untuk berbeza daripada yang merempat
separuh daripada separuh daripada separuh daripada separuh
untuk menghirup embun nikmat

hanya sampai bulan menyabit langit
tempayan bergaung kosong
sampul disambar angin
keperluan berduyun-duyun memaksa
kelangsungan menuntut haknya

kembali mencari dan berlumba
dengan azam bulan penuh
sedang semalam terlalu berat untuk hari ini
esok tiada lagi tanda tanya
dan dipujuk mengundi lagi

011023
Rinching.

PCR: Kopi kecewa

KOPI KECEWA

untuk meredakan kecewa ini
kutambahkan gula ke dalam kopi
begitu kata sangkaku
sesudu demi sesudu
sampai manisnya tepu

semoga tersira semua hampa
sehirup kutelan semua

tetapi di bibirku berasa medu
tidak langsung ke tekak
termuntah ke baju putihku

lalu kutambah lagi kopi
ke dalam kopi baru
begitu kata hatiku
sesudu demi sesudu

sampai pahitnya tepu menghitam
sampai pekatnya secawan jadam

lalu dengan sekali laju
kutelan ragu-ragu

malam pun pulang
kubawa siang ke gelanggang

011023
Ulu Beranang.

Saturday, 30 September 2023

Solawat versi melayu

SELAMAT TINGGAL RABIUL AWAL MENYAMBUTLAH PULA BULAN RABIUL Sani
SELAMAT BULAN DIPERANAKAN NABI 
SEKALIAN ISLAM SUDAH MEMBESARI

WAHAI SAUDARA HENDAKLAH INGATi
BULAN MULUD KITA MEMBERI
BULAN MULIA LAGI BERSERI
OLEH KEZAHIRAN NURUL MUHAMMADI

NABI MUHAMMAD SEORANG YANG MULIA 
RABIUL AWAL ZAHIR KE DUNIA
12 HARIBULAN KATA ULAMA 
SERTA BERTULIS HARI ISNIN

MUHAMMAD ITU UTUSAN RAHMAN
MENGKHABAR APA TUHAN BERFIRMAN
Ke ALAM DUNIA MEMPERMASUKAN IMAN 
UNTUK MENIMBUL HIDUP YANG AMAN

SUSAH DAN PAYAH IA LALUKAN 
SEDIKIT PUN IA TAK RASA SEGAN 
KERANA MENGHAMBUR ISI AL QURAN 
SUPAYA DAPAT KITA AMALKAN

PATUTLAH KITA MEMBESARKAN NABI 
SELAWAT DAN DOA SERTA KENDURI 
MALAM DAN SIANG JANGAN PEDULI 
TERIMALAH KITA HARI AKHIRI

BERILAH KAMI SIFAT KEMULIAAN 
DAPAT MENIRU MASA KEDATANGAN 
PIKUL DAN TANGGUNG KITA KEMUDIAN 
SUPAYA TERMASUK DIDALAM IKUTAN

YA ALLAH LANJUTKAN USIA KAMI
PETUA FADHILAT RUHUL MUHAMMADI
DI DALAM IBADAT YANG BERKEKALI 
ZAMAN DI HADAPAN HINGGA AKHIRI

IBADATLAH KITA SERTA PINTAKAN 
SAMPAIKAN MAULUD TAHUN HADAPAN DISITULAH PULA ISLAM BESARKAN 
BACA DAN DOA APA CERITAKAN

AKHIRNYA KITA DERITAKAN UCAPKAN MEMBANGKITKAN NABI AKHIRI ZAMANI 
UNTUK TERSEDAR MASAKAN DATANG 
TAMATLAH IA DENGAN WASSALAM




Friday, 29 September 2023

PCR: suatu titik

SUATU TITIK

kufokuskan suatu titik
di situ

aku tahu bukan di tempat sebenar
tetapi mataku tertumpu

dengan dahi cintaku menyentuh
seluruh wujudku luruh

sehingga setiap kali kuabai
dunia melambai

setiap kali itulah
raksasa diriku singgah

hanya doaku
meskipun di hujung sejadah
aku sujud di hadapan-Nya

280923
Desa Alam.

Thursday, 28 September 2023

Mesir, tempat menarik

📝Antara tempat2 lawatan untuk Trip Egypt
đź—“️15-25 Februari 2024 

📍MATROUH SIWA 

Marsa Matrouh adalah sebuah ibu kota yang terletak di kawasan pantai Mediteranean menuju ke barat Mesir. Manakala Siwa pula adalah kota yang bersempadan dengan Libya dan berdekatan dengan Matrouh. Di sini terdapat Pantai Agiba yang terkenal dengan pantai tujuh lapisan warna. Sesiapa yang melihat keindahannya pasti berasa takjub akan alam yang diciptakan Allah SWT seraya dapat menghampirkan diri kepada-Nya.

Siwa pula terkenal dengan tempat menarik seperti Tasik Garam, Kubu Iskandar, dan Kolam Cleopatra. Menurut catatan sejarah, Siwa dihuni oleh masyarakat Arab yang paling payah menerima Islam akan tetapi setelah memeluk agama Islam mereka menjadi golongan yang paling teguh mempertahankan ajaran.

Tempat yang dilawati:
• Pantai Agiba
• Pantai Cleopatra
• Suq Libya
• Jabal Mauta
• Kolam Cleopatra
• Tasik Garam
• Qaryah Qadimah
• Sahara 

* Available 4 seats! 

http://wasapp.me/60192633936/TripEgyptFebruary2024

Friday, 22 September 2023

PCR: Mereka membuktikan

MEREKA MEMBUKTIKANNYA

Aduhai, seorang demi seorang membuktikannya
seperti mendedahkan pekung di dada
membuka kantung pandora

bahawa mereka pendeta berhujah
mengabsahkan helah
biar terpandang cemerlang  dan ilmiah
sampai tiada yang peduli
rangka-rangka disimpan di dalam almari

bahawa mereka ternama
di kalangan yang berkuasa di dunia
semoga tersanjung negarawan ulung
sampai di tunggangi kawan
tergadai warisan

bahawa mereka pintar di jemala
merumus formula demi formula
sejuta kejayaan
di pentas seluruh tepukan
di medan seluruh keresahan
di gurun semua pegun

bahawa mereka bersetia beramanah
dalam ketidaktahuan dan kerasukan purba
merayau-rayau di dalam rimba
mencari-cari kambing hitam
menerkam bayang-bayang
diri yang menggonggong tulang

aduhai, bangau-bangau kempunan seluang
rumpai merenek belukar
keruh dari hulu sampai di kuala
katak-katak berlompatan
ular-ular merengkok kekenyangan

200923
Shah Alam.

Thursday, 7 September 2023

Pcr: Kehilangan 3

KEHILANGAN (3)

kesesakan melambatkan aku datang
sedang tepat pada detiknya kau pulang

begitulah Min, kita sering berselisih
oleh ketidaksempatan
kali ini aku benar-benar terhukum
betapa kita tidak akan bertemu lagi
di fana ini

aku tidak menyalahkan kenderaan di jalan
lebih daripada menyesali kelalaian
menangguhkan yang sepatutnya didahulukan
mengenepikan yang sepatutnya diutamakan
sehingga apalah maknanya airmata
yang bercucuran

memang aku bukan seperti mu Min
yang mahu seluruh lautan 
menjadi setitik ilmu mu
dan seluruh gelumbang di samudera
menjadi langkah mu menyerakkan jasa

dan tatkala aku sedih menjadi embun
kau berdoa semoga cepat tersejat di hujung daun
reda dikepal awan menjadi hujan
mencurahi gurun

kata mu kebahagiaan mu
adalah pohon-pohon yang tumbuh merimbun
di situ

maka hari ini kau tinggalkan dusun
dengan kanak-kanak cinta
menanam pandan di pusara mu

060923
Desa Alam.

Tuesday, 5 September 2023

PCR: kehilangan

KEHILANGAN (2)

yang selalunya dari jauh
peluru hiba itu meluru
menembusi kalbu

sekali ini di mata sendiri
sekujur ipar bagaikan mawar
di batas gersang
musim bunga telah lama
berlalu
rekah kemarau ke halaman

maka aku melihat 
seorang lelaki merayau ke langit
mencari awan cintanya
di tangannya galah sejengkal

maka aku mendengar
seorang putera dan dua puteri
menaburkan duka
di kubur kemudian di dapur
mudah-mudahan rindu akan tumbuh di situ

dan mudah-mudahan kami tidak sesat
kembali kepada hakikat
yang dia pasti di sana
menunggu

030923
Masjid Najihin
Seri Permaisuri

Monday, 4 September 2023

PCR: Hilang

KEHILANGAN

kalau bukan kehilangan
apakah lagi yang dapat dikatakan
tentang rasa kosong yang menghiba ke jantung
menularkan sepi berduri
tatkala apa-apa yang melengkapkan
tiba-tiba sirna
tatkala apa-apa yang di sisi tiba-tiba tiada lagi
tatkala apa-apa yang menambah kenang
tiba-tiba hilang
tatkala apa-apa yang selalu datang
tiba-tiba tidak menjelang
tatkala apa-apa yang menjalin karib
tiba-tiba ghaib

begitulah ain, pemergianmu 
sepatutnya bukan kehilangan buatku
kau hanya kembali kepada Dia yang meminjamkan
hanya setiap kali kucari pengganti
yang ikhlas melengkapkan
dengan kasih keakraban
dan benang-benang kenangan
yang kutemui hanya kamu 
di situ

Ogos 23
Shah Alam.

Thursday, 10 August 2023

Pilihanraya 2023 Ogos

Apabila aku menyeru rakyat Kelantan untuk mengundi selain PAS, ramai juga fanatik PAS menyerang. Ada yang mengatakan kalau undi PHBN, nanti ada konsert di Kelantan, lelaki sama lelaki bercium, kedai nombor ekor dibuka semula dan sebagainya.

Ada juga mengatakan aku walanon, jika tengok facebook aku, lagi banyak aku hentam PHBN. Aku siap suruh undi PN untuk Kedah, Terengganu dan Selangor. 

Aku membesar di DUN Cempaka, kubu kuat PAS, DUN arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz. Semua saudara mara penyokong kuat PAS. Memang tiada yang sokong UMNO, cari nahas.

Kampung aku ni kebanyakan minum air telaga, air paip kerajaan tak boleh harap. Air telaga yang payau la sumber minum, sumber mandi, sumber kehidupan.

Ramai fanatik politik komen macam-macam kat posting aku suruh tukar kerajaan negeri Kelantan, tetapi hujah fanatik politik mereka boleh dijawab sebenarnya.

Harga minyak RM1.50, tu janji Pakatan Rakyat (PR) 2008 - 2013. PAS sebahagian daripada PR,  kenapa PAS tidak turunkan harga minyak ketika menjadi kerajaan 2020-2022?

Janji nak hapus hutang PTPTN, sekali lagi, tu janji PR. Tapi yang menarik, PAS janji nak hapus PTPTN dalam manifesto mereka PRU14 - 2018, tapi PAS tidak laksanakan ketika menjadi kerajaan 2020-2022. Manifesto PH 2018 tiada pun janji nak hapus hutang PTPTN, hanya janji gaji RM4000 ke atas baru mula bayar. Boleh cari video ceramah Tuan Ibrahim Tuan Man yang kata hanya PAS janji hapus hutang PTPTN, dia kata PH pun tak janji.

Banyak lagi hujah-hujah fanatik politik boleh dibidas, cybertrooper PH tak reti jawab.

Terengganu tukar BN & PAS berulang kali. 4 kali sejak 1999.

Kedah tahun 2018 tukar ke PH, 2020 berubah ke PAS sebab Langkah Sheraton. Sebelum tu bertukar antara PAS dan BN sejak 2008.

Kelantan tukar ke PAS + S46 Tahun 1990, S46 blah masuk UMNO balik, Kelantan kekal PAS sampai sekarang.

Dah 33 tahun memerintah, dah tepu, Exco dok tahu gapo bendo buat. Timbalan Menteri Besar suruh minum air sungai. Stesen bas sementara pun lebih 10 tahun. Ubah la, Terengganu boleh, Kedah boleh, takkan Kelantan tak boleh?

Nok kato anok tiri, masa kerajaan PH 1.0, Nik Amar kata terima kasih sebab bagi kat Kelantan peruntukkan khas RM400 juta. Zaman PHBN, dah RM1 billion disalurkan untuk membantu masalah air di Kelantan. Nik Nazmi, menteri yang bertanggungjawab isu air kata akan selesaikan isu air Kelantan berperingkat.

Cukup-cukuplah hujah Kelantan rakyat kaya, rakyat Kelantan generasi lama memang la banyak tanah, generasi baru ni banyak tiada rumah, tiada tanah pun. Ada yang 5 beradik dah kahwin masih tinggal bersama mak ayah. Ramai yang miskin, kerja gaji hari. Cuba pergi belah-belah kampung, jangan tengok Kota Bharu sahaja.

Ramai anak Kelantan terutama bidang profesional berhijrah ke luar Kelantan kerana kerja bidang profesional kurang atau tiada di Kelantan. Golongan paling gembira di Kelantan ialah pekerja kerajaan, kerana gaji pekerja kerajaan sama walau di mana anda bekerja. Kalau gaji jurutera swasta? Tengok iklan, RM1200 sebulan pun ada. Selain pekerja kerajaan, mungkin tauke kosmetik timbang kilo la kot yang berpendapatan tinggi di Kelantan.

Buka laman web DOSM, tengok KDNK per kapita, Kelantan RM16K, Kedah RM26K, Terengganu RM32K, maknanya secara purata, rakyat Terengganu 2 kali ganda lebih kaya.

KDNK per kapita Kelantan terendah di Malaysia, lagi rendah daripada KDNK per kapita Indonesia, satu-satunya negeri di Malaysia yang KDNK per kapita lagi rendah daripada purata Indonesia.

Nampak banyak rumah besar baru dibina di Kelantan, sebab banyak yang kerja di luar Kelantan bina rumah di Kelantan, nak bersara di Kelantan, tapi ramai tak balik pun Kelantan. Bina rumah besar-besar, sistem perparitan, longkang bagaikan tiada, tiada orang datang ambil sampah, tiada sistem kumbahan. Akhirnya, sisa kumbahan buang dalam tanah, diserap masuk dalam air telaga, diminum semula. Sampah-sarap pula kebanyakan dibakar secara terbuka.

Cukup-cukuplah hujah ada pembangunan sebab ada Aeon mall, rumoh ambo di Setapak ni, Aeon mall ado tigo bulih jale kaki. Lepas tu hujah rakyat Kelantan kuasa beli tinggi, jualan tesco tertinggi, lapangan terbang paling pesat. Jualan Tesco tinggi sebab satu tu jah Tesco. Pesat la Airport sebab kijo luar belako, kelik kampung naik kapal terbang.

Hujah Kelantan harmoni walaupun ada patung Buddha besar? Patung buddha ni zaman BN 1977-1990 pun dok jadi isu di Kelantan, Peristiwa 13 Mei 1969 pun tak merebak ke Kelantan, masyarakat agama lain hidup aman sejak merdeka di Kelantan, tak kira Kelantan bawah BN ke, bawah PAS ke. Cuba Patung Buddha terbesar ni kat Pulau Pinang, mesti lain pula hujah fanatik politik.

Cukup-cukuplah hujah, cukup-cukuplah PAS di Kelate, undi lain la pulok. Ore ganu, ore kedoh pun tukar jugok sekali sekalo.

Populasi Kelantan 95% orang Melayu, Sultan Melayu, pengawai kerajaan negeri dan Persekutuan 99% Melayu, kalau PHBN memerintah, dok bodo sek dio nok munoh ore Melayu Isley. Di Pulau Pinang DAP memerintah,  molek-molek bulih semaye be.

Walaupun agak mustahil kerana penyokong tegar ramai. Ambo nok oyak, tukar-tukar la. Pereboh kerajaan PAS Kelate.

Tak mustahil untuk PHBN nak menang. Tahun 2004, zaman TG Nik Abdul Aziz, PAS hanya menang tipis DUN 24-21, Parlimen PAS kalah 6-8 kepada BN.

Angka DUN ini turun ke 23-22 tahun 2005 selepas PRK DUN Pengkalan Pasir. Hanya satu kerusi yang membezakan.

Rakyat Kelantan boleh membuat perubahan PRN 2023? Sukar tapi tidak mustahil.

Kalau nok pilih PAS jugok, ikut sek demo la, demokrasi. Cumo politiklah caro matang.

Thursday, 3 August 2023

PCR: di akhir ini

DI AKHIR-AKHIR INI

Sungai mengalir
menundaku ke hilir
bersama pasir

dari benua
camar pulang ke laut
di muara 
aku disalut selut

di ekor riak
buih bertabur
ombak akan membawaku
pulang ke terumbu

di situ
gelombang bersatu

030823
Ulu Beranang.

PCR: Tinggal usang

 TINGGAL USANG bukan tidak pernah digelar pegawai diraikan di gerbang ruai    kini segelung rawai di pantai landai tanpa Avecenia dan Rhizop...