Thursday, 10 August 2023

Pilihanraya 2023 Ogos

Apabila aku menyeru rakyat Kelantan untuk mengundi selain PAS, ramai juga fanatik PAS menyerang. Ada yang mengatakan kalau undi PHBN, nanti ada konsert di Kelantan, lelaki sama lelaki bercium, kedai nombor ekor dibuka semula dan sebagainya.

Ada juga mengatakan aku walanon, jika tengok facebook aku, lagi banyak aku hentam PHBN. Aku siap suruh undi PN untuk Kedah, Terengganu dan Selangor. 

Aku membesar di DUN Cempaka, kubu kuat PAS, DUN arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz. Semua saudara mara penyokong kuat PAS. Memang tiada yang sokong UMNO, cari nahas.

Kampung aku ni kebanyakan minum air telaga, air paip kerajaan tak boleh harap. Air telaga yang payau la sumber minum, sumber mandi, sumber kehidupan.

Ramai fanatik politik komen macam-macam kat posting aku suruh tukar kerajaan negeri Kelantan, tetapi hujah fanatik politik mereka boleh dijawab sebenarnya.

Harga minyak RM1.50, tu janji Pakatan Rakyat (PR) 2008 - 2013. PAS sebahagian daripada PR,  kenapa PAS tidak turunkan harga minyak ketika menjadi kerajaan 2020-2022?

Janji nak hapus hutang PTPTN, sekali lagi, tu janji PR. Tapi yang menarik, PAS janji nak hapus PTPTN dalam manifesto mereka PRU14 - 2018, tapi PAS tidak laksanakan ketika menjadi kerajaan 2020-2022. Manifesto PH 2018 tiada pun janji nak hapus hutang PTPTN, hanya janji gaji RM4000 ke atas baru mula bayar. Boleh cari video ceramah Tuan Ibrahim Tuan Man yang kata hanya PAS janji hapus hutang PTPTN, dia kata PH pun tak janji.

Banyak lagi hujah-hujah fanatik politik boleh dibidas, cybertrooper PH tak reti jawab.

Terengganu tukar BN & PAS berulang kali. 4 kali sejak 1999.

Kedah tahun 2018 tukar ke PH, 2020 berubah ke PAS sebab Langkah Sheraton. Sebelum tu bertukar antara PAS dan BN sejak 2008.

Kelantan tukar ke PAS + S46 Tahun 1990, S46 blah masuk UMNO balik, Kelantan kekal PAS sampai sekarang.

Dah 33 tahun memerintah, dah tepu, Exco dok tahu gapo bendo buat. Timbalan Menteri Besar suruh minum air sungai. Stesen bas sementara pun lebih 10 tahun. Ubah la, Terengganu boleh, Kedah boleh, takkan Kelantan tak boleh?

Nok kato anok tiri, masa kerajaan PH 1.0, Nik Amar kata terima kasih sebab bagi kat Kelantan peruntukkan khas RM400 juta. Zaman PHBN, dah RM1 billion disalurkan untuk membantu masalah air di Kelantan. Nik Nazmi, menteri yang bertanggungjawab isu air kata akan selesaikan isu air Kelantan berperingkat.

Cukup-cukuplah hujah Kelantan rakyat kaya, rakyat Kelantan generasi lama memang la banyak tanah, generasi baru ni banyak tiada rumah, tiada tanah pun. Ada yang 5 beradik dah kahwin masih tinggal bersama mak ayah. Ramai yang miskin, kerja gaji hari. Cuba pergi belah-belah kampung, jangan tengok Kota Bharu sahaja.

Ramai anak Kelantan terutama bidang profesional berhijrah ke luar Kelantan kerana kerja bidang profesional kurang atau tiada di Kelantan. Golongan paling gembira di Kelantan ialah pekerja kerajaan, kerana gaji pekerja kerajaan sama walau di mana anda bekerja. Kalau gaji jurutera swasta? Tengok iklan, RM1200 sebulan pun ada. Selain pekerja kerajaan, mungkin tauke kosmetik timbang kilo la kot yang berpendapatan tinggi di Kelantan.

Buka laman web DOSM, tengok KDNK per kapita, Kelantan RM16K, Kedah RM26K, Terengganu RM32K, maknanya secara purata, rakyat Terengganu 2 kali ganda lebih kaya.

KDNK per kapita Kelantan terendah di Malaysia, lagi rendah daripada KDNK per kapita Indonesia, satu-satunya negeri di Malaysia yang KDNK per kapita lagi rendah daripada purata Indonesia.

Nampak banyak rumah besar baru dibina di Kelantan, sebab banyak yang kerja di luar Kelantan bina rumah di Kelantan, nak bersara di Kelantan, tapi ramai tak balik pun Kelantan. Bina rumah besar-besar, sistem perparitan, longkang bagaikan tiada, tiada orang datang ambil sampah, tiada sistem kumbahan. Akhirnya, sisa kumbahan buang dalam tanah, diserap masuk dalam air telaga, diminum semula. Sampah-sarap pula kebanyakan dibakar secara terbuka.

Cukup-cukuplah hujah ada pembangunan sebab ada Aeon mall, rumoh ambo di Setapak ni, Aeon mall ado tigo bulih jale kaki. Lepas tu hujah rakyat Kelantan kuasa beli tinggi, jualan tesco tertinggi, lapangan terbang paling pesat. Jualan Tesco tinggi sebab satu tu jah Tesco. Pesat la Airport sebab kijo luar belako, kelik kampung naik kapal terbang.

Hujah Kelantan harmoni walaupun ada patung Buddha besar? Patung buddha ni zaman BN 1977-1990 pun dok jadi isu di Kelantan, Peristiwa 13 Mei 1969 pun tak merebak ke Kelantan, masyarakat agama lain hidup aman sejak merdeka di Kelantan, tak kira Kelantan bawah BN ke, bawah PAS ke. Cuba Patung Buddha terbesar ni kat Pulau Pinang, mesti lain pula hujah fanatik politik.

Cukup-cukuplah hujah, cukup-cukuplah PAS di Kelate, undi lain la pulok. Ore ganu, ore kedoh pun tukar jugok sekali sekalo.

Populasi Kelantan 95% orang Melayu, Sultan Melayu, pengawai kerajaan negeri dan Persekutuan 99% Melayu, kalau PHBN memerintah, dok bodo sek dio nok munoh ore Melayu Isley. Di Pulau Pinang DAP memerintah,  molek-molek bulih semaye be.

Walaupun agak mustahil kerana penyokong tegar ramai. Ambo nok oyak, tukar-tukar la. Pereboh kerajaan PAS Kelate.

Tak mustahil untuk PHBN nak menang. Tahun 2004, zaman TG Nik Abdul Aziz, PAS hanya menang tipis DUN 24-21, Parlimen PAS kalah 6-8 kepada BN.

Angka DUN ini turun ke 23-22 tahun 2005 selepas PRK DUN Pengkalan Pasir. Hanya satu kerusi yang membezakan.

Rakyat Kelantan boleh membuat perubahan PRN 2023? Sukar tapi tidak mustahil.

Kalau nok pilih PAS jugok, ikut sek demo la, demokrasi. Cumo politiklah caro matang.

Thursday, 3 August 2023

PCR: di akhir ini

DI AKHIR-AKHIR INI

Sungai mengalir
menundaku ke hilir
bersama pasir

dari benua
camar pulang ke laut
di muara 
aku disalut selut

di ekor riak
buih bertabur
ombak akan membawaku
pulang ke terumbu

di situ
gelombang bersatu

030823
Ulu Beranang.

Thursday, 27 July 2023

PCR: memeta fikira

FIKIRAN ORANG LAIN

memeta fikiran orang lain
menduga dasar samudera
di tangan hanya kail
panjang sejangkal

kau rasa runtunan
kau duga hanya ada gelama
menjelma paus raksasa

atau tiada sebarang henjutan
kau duga tiada fauna
hanya hamparan karun
jerung menunggu kau terjun

tetapi perlu difahami
di situ tersimpul bestari
terpendam dendam manusiawi
terserlah permata peribadi

kau pun perlu waspada
aurat mu terbuka
dalam menduga

270723
PPUM

Wednesday, 26 July 2023

PCR: seharian

SEHARIAN

malam tidak menjadikan
rumahku indah
tetapi berhantu

pagi tidak menjadikan
habitatku bercahaya
tetapi bercempera

tengahari membawa matahari
ke jemala
mengubankan upaya

petang datang
menunjukkan jalan pulang
dan senja
menamatkan acara

malam pun kembali
membawa ngeri

260723
Desa Alam.

Tuesday, 18 July 2023

ZJ2023JUL jalan berliku

Jln berliku

Jalan itu penuh liku

Harinya gelap tiada lampu

Masih jauh tempat dituju

Namun usaha perlu padu


Rintangan datang bertubi-tubi

Setiap masa silih berganti

Tugas yang banyak setia menanti

Kuatkan tekad di dalam hati


Muncul halangan pelbagai bentuk

Ada yang ringan ada yang teruk

Kerja dibuat jangan tercorok

Pikullah beban walaupun terduduk


Depan mata gunung terbentang

Kayu kayan menjadi penghalang

Hati gundah bukan kepalang

Mara ke depan pantang ke belakang


Sungai yang luas airnya dalam

Bahaya menunggu dalam kelam

Bila tekad sudah jazam

Terus mendayung agar tidak tenggelam


Samudera dipandang jauh saujana

Lautan bergelombang datang melanda

Perasaan berperang dalam dada

Namun ditenteram oleh nahkoda


Rentas pula sahara berpasir 

Ribut hadir kuat berdesir

Asa nan putus perlu diusir

BantuanNya ada jangan khuatir


Akhirnya

Gunung yang tinggi telah didaki

Laut berapi lepas ditembusi

Tanah rendah sudah diredah

Gurun jauh merangkak ditempuh


Kerana Kejayaan perlu pengorbanan

Masa dimanfatkan

Tenaga digandakan

Sahabat jadi sokongan

Tangan ditadahkan

KepadaNya mohon pertolongan.

Doa awal tahun dan akhir tahun


Insya Allah pada kali ini, kita akan membuat kesimpulan/ringkasan mengenai isu amalan awal muharam. Untuk memudahkan kita, Kami akan mengkhususkan kesimpulan kita ini berkisar mengenai amalan doa awal dan akhir tahun. 

 

Berikut adalah doa yang dimaksudkan:

 

Awal tahun

"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku melakukan larangan-Mu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan supaya aku bertaubat. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau, ya Allah yan Karim yan Zal Jalali Wal Ikram. Terimalah permohonanku ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku terhadap-Mu ya Karim. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda juga sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".

 

Akhir tahun

"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda dan sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam, pengikutnya, tenteranya dan penolongnya dan aku emohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda dan sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".

 

Manakala berikut ini adalah fadhilat serta kaedah pembacaan yang sering kelihatan:

 

Ibnu Abbas berkata: "Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu".

 

Selepas doa(awal tahun) dibaca, berkatalah syaitan, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun".


Selepas dibaca doa akhir tahun, syaitan berkata, "Telah amanahlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan".

 

Bacalah doa awal tahun berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijah.

 

Bacalah doa akhir tahun sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam.

 

Kami telah cuba untuk mencari serta menjejak kesemua fadhilat serta kaedah pembacaan di atas, namun sayangnya hasil pencarian kami tidak membuahkan sebarang hasil. Bukan hanya kitab-kitab hadis sittah, malahan kitab hadis dhaif dan palsu juga telah kami cuba mencarinya namun hasilnya serupa, hampa.

 

Bukan di situ sahaja usaha kami, bahkan fatwa-fatwa dan sumber dari ulama-ulama luar negara selain nusantara telah kami selongkar, tapi juga tidak membuahkan hasil. Maka kami telah membuat kata putus bahawa semua fadhilat serta kaedah pembacaan yang dinyatakan di atas adalah batil dan tidak sabit pada nas al-Quran dan hadis sahih.

 

Rasulullah saw telah bersabda dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari yang beerti:

Barangsiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak ada hubungan dengan urusan kita, maka ia tertolak.

 

Maka di sini telah jelas bahawa barangsiapa yang mengamalkan amalan awal Muharam(Doa Awal dan Akhir Tahun), beriqtikadkan bahawa ia mempunyai kelebihan sepertimana yang digambarkan, apatah lagi mengatakan amalan ini adalah sunnah Rasulullah saw, maka amalannya tertolak. Dan Allah Rasulullah saw juga telah memberi amaran kepada mereka yang berdusta terhadap baginda saw dalam hadis sahih yang bermaksud:

Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka. Hadis Mutawtir

 

Ibnu Masud pernah berkata yang bermaksud:

Hendaklah anda sekalian mengikuti apa saja yang dibawa oleh Rasulullah saw dan jangan anda mengada-adakan sesuatu yang baru. Sesungguhnya sudah cukup bagi anda sekalian(sunnah yang dibawa oleh Rasulullah saw).

 

Ibnu Abbas juga pernah berkata:

Hendaklah anda sentiasa bertaqwa kepada Allah dan beristiqamah. Ikutilah(apa saja yang disunnahkan oleh Rasullah saw) dan janganlah anda mengada-adakan sesuatu yang baru.

 

Kesimpulan

 

Doa pada asal memang terdapat dalam Islam. Dalilnya cukup banyak. Baik di dalam Al-Quran maupun hadis-hadis sahih. Namun begitu, terdapat juga sesetengah pihak yang menaylahgunakan konsep berdoa itu yang sebenar. Mereka menciptakan waktu-waktu khas yang kononnya mustajab yang tidak sabit dari al-Quran dan hadis, mereka menciptakan fadhilat-fadhilat yang kononnya memberi ganjaran apabila dilakukannya dan bermacam-macam lagi. Kesan dari itu wujudlah sepertimana yang sedang kita bincangkan ini iaitu doa awal dan akhir tahun. 

 

Kami berpendapat adalah tidak salah untuk dibacakan doa-doa tersebut. Kerana berdoa memanglah digalakkan. Tetapi doa tersebut tidaklah seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baru. Apatah lagi dikaitkan doa tersebut kononnya sabit dari Rasulullah saw. Juga mengatakan dengan membacanya maka akan diperolehlah fadhilat-fadhilat tertentu. Kerana kesemua riwayat yang berkaitan doa awal dan akhir tahun ini adalah batil. Ingatlah pada sebuah hadis yang masyhur yang bermaksud:

Sesungguhnya benar-benar hadith(percakapan) itu ialah kitab Allah. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad saw. Manakala sejahat-jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bidah manakala setiap bidah adalah sesat. Hadis riwayat Muslim

 

Dalam hadis riwayat An-Nasai pula terdapat tambahan:

.dan setiap kesesatan itu di dalam neraka.

 

Doa tersebut boleh saja dibaca pada lain-lain waktu. Bukan dikhaskan hanya ada awal dan akhir tahun sahaja.

 

Beginilah pendapat dan pegangan kami. Sekiranya terdapat sesiapa yang mungkin dapat mengutarakan dalil dari al-Quran dan hadis yang sahih berkaitan amalan ini haraplah berbuat demikian. Kerana sesungguhnya kami hanyalah hamba Allah yang lemah. 

 

Sekian. Wassalam

 

Rujukan

Fatwa Islamiyah

-Sheikh Abdul Aziz bin Baz

-Sheikh Muhammad bin Salih Al-Uthaimin

-Sheikh Abdullah bin Abdur-Rahman Al-Jibreen

-The Permanent Committee and the decisions of Fiqh Council

Disusun oleh Muhammad bin Abdul Aziz al-Musnad

 

Khilafiah, Bidah dan Maslahah Umum 

Oleh Ustaz Basri Ibrahim

 

Bidah Menurut Ahli Sunnah

Oleh Rasul Dahri

 

Dua The Weapon of the Believer

Oleh Abu Ammaar Yasir Qadhi

 

www.Islamonline.com

 

Islam Question and Answer website

http://63.175.194.25/index.php?ln=eng&ds=qa&lv=browse&CR=0&dgn=3

  

http://islam.tc/ask-imam/index.php

 

 

G@y@t

www.al-ahkam.com.my

Friday, 14 July 2023

OT: mitos kajian

MITOS PG dan KERJA GILER 
1. Aku mula menulis blog 'drotspss.blogspot.com' sekitar 2010 sehingga telah dibaca lebih 3 juta kali. Blog ini pernah memenangi anugerah suatu ketika dulu. Aku tengok blog ini telah dibaca sebanyak 3,594,202 !

2. Mulai status pertama, aku telah menggunakan nama singkatan OT. Aku tidak mahu menulis kerana aku ada ‘Dr’ dihadapan nama aku. Ini mengingatkan aku kepada satu notis sebuah masjid di sebuah daerah, yang ditulis ‘Muadzin – Prof. Madya. Dr. X’. Tak kena tempat, sampai  ke muadzin pun nak letak pangkat.

3. Aku banyak menulis tentang ‘Research Gap’. Gap yang dikenali sebagai kelompongan dipaparkan dgn perkataan spt ‘tidak banyak kajian lepas dilakukan / tidak ada kajian lepas mengkaji…. ‘ dan ayat2 yang sewaktu dgnnya, lalu ‘kelompongan’ ini TERTUMPU kepada mencari sesuatu ‘yang kurang’ supaya kajian kelihatan ada sumbangan / nobel dll. Ini adalah sesuatu yang pasif, kerana tidak semestinya ‘yang kurang’ itu satu keperluan untuk dikaji atau sesuatu yang baru utk dikaji. Membuat SLR misalnya bukan utk buktikan ‘kelompongan’ ini tetapi utk mulakan kajian ‘what else need to be done ?’.

4. Proposal mesti tebal juga satu mitos. Dah namanya proposal, ia mestilah nipis. Tujuan nya utk mengetahui perkara2 asas sahaja supaya proposal tersebut researchable, ada teori, ada isu dan ada contribution. Malah universiti ternamapun tidak menagih proposal dgn Chapter 1,2,3 ini dgn segala tok nenek pendetailan formatnya. Kadang2 sedih, PG yang full timer pun ada yang sampai 4, 5 semester dok betulkan proposal tak abis2.. satu penyeliaan yang LEMAH.

5. Juga tentang format tesis yang sangat rigid hingga ke titisan ukuran mm terakhir. Apa benda ni ? Kalau pengukuran dalam kajian yang dibuat pun ada ralat yang acceptable, takkan ukuran format tesis berbeza beberapa mm sampai nak kena print semua - satu pembaziran dan kerja giler.

6. Jika dahulu, kajian PG jer mesti kuantitif wpun kajian sosial sains. Kajian kualitatif dianggap ‘kelas kedua’, renyah, ‘sesiapapun boleh buat’ dan tak boleh digeneralisasikan. Semua ini mitos yang dah aku kupas panjang dan kini kajian kualitatif mendapat tempat yang wajar.. 

7. Satu lagi yang aku sering tulis adalah program PhD dan EdD. Ada yang kata EdD adalah ’coursework’ maka tak layak dapat HLP. Adoi… pilah tengok kursus kat US tu… berlambak coursework berbanding dgn research wpun PhD. Guru dalam banyak perkara perlukan EdD yang lebih praktikal, bukan PhD atas sebab2 yang aku juga dah kupas panjang. Alhamdulillah, bila dah bising2.. EdD telahpun ditawarkan HLP.

8. Begitu juga dgn aturan pengarang. Mana boleh SV jadi pengarang pertama kepada kajian PG. Malah ada universiti yang syaratkan PG tulis 2 artikel, satu mesti SV jadi pengarang pertama. Dalam aturan ini, prinsipnya mudah, kalau nak jadi pengarang pertama, tulislah sendiri artikel tersebut kerana itu lah contribution paling besar, bukan hanya selak sikit sana sini, minta nak jadi pengarang pertama !

9. Aku juga cadangkan  tesis lebih baik dijadikan buku dgn ISBN sebagamana di Eropah, banyak kelebihannya. Tesis / buku tersebut adalah hak milik PG dgn SV sebagai Co-Author (kecuali jika melibatkan geran penuh). Penyeliaan adalah tugas hakiki pensyarah, dan telah dibayar gaji utk tujuan tersebut. Yang penting buku tersebut ada salinan di librari soft dan hardcopy utk dirujuk. 

10. Banyak lagi isu spt ‘boncengan gratis’, mengambil data PG sebagai data sendiri, melantik PG sebagai RA tetapi semua kerja RA yang buat dll..

Nota: Dah byk air mata PG tertumpah dihadapan aku dgn isu-isu di atas..

OT, Rembau

PCR: Air mengalir

SEBAGAI AIR MENGALIR

Bukan tidak pernah menjadi gelombang
bersama mu melandai pantai
kini aku kembali
ke sungai

Sebagai air mengalir
semoga takdir
dan zikir ku cair

Kalau hujan-Nya lebat di hulu
aku akan laju meluru perahu
kalau kemarau-Nya merekahkan sawah
aku reda meresap ke bawah

Alir ku tidak berolak
tanpa pasang dan surut menolak

Apakah lebih baik menjadi ombak?

130723
Shah Alam.

Wednesday, 12 July 2023

PCR: kopi

METAFORA KOPI

bunganya kuntum-kuntum kapas
stigma-stigma di-rajanya menjuar

mudanya butir-butir akhdar
masaknya sfera-sfera kesumba
jadinya serbuk gelita

dibancuh dalam cawan warisan
di dapur tradisi
dihidangkan sebagai kopi
di takdir marhaen

hadirnya basah
di bibir dahaga
nikmatnya pada yang tahu
erti rindu

lalu habis secawan
secawan lagi menghirup metafora
akan kasih dan sayangnya
Tuhan

namun banyak lupa dihela
dari meja ke meja

090723
Shah Alam.

Tuesday, 11 July 2023

PCR: Insyirah

DARI AL-INSHIRAH

Lapangkanlah dada mu saudara
seperti kurniaan-Nya kepada Mustaffa
sampai hati mu bebas memuji dan memuja-Nya
iman dan hidayah meriah bersenyawa

Lupuskan beban manusiawi mu saudara
seperti kurniaan-Nya kepada Mustaffa
sampai kau selesa memikul amanah-Nya
bukan disesatkan fatamorgana
bukan sampai tempang mengejar bianglala
di lembah sejuta cela

Mulia dan hargai takdir diri mu saudara
seperti kurniaan-Nya kepada Mustaffa
kau bukan fakir kalau jiwa mu zikir
kau bukan hamba kalau tubuh mu takwa
kau bukan hina kalau lelah mu ibadah

Teruskan perjuangan mu saudara
seperti pesanan-Nya kepada Mustaffa
setiap kesukaran disertai kemudahan
setiap kesukaran disertai kemudahan
pada-Nya segala pertolongan
dan keampunan.

110723
Ulu Beranang.

Monday, 10 July 2023

PCR: marahen

PEMBELA MARHAEN?

(i)
Ikrarnya mahu membela
nasib marhaen kepupusan tawa

di tangannya segelas fermentasi
dari kayangan
dihirupnya sepenuh berahi

(ii)
Katanya dia tidak asing
dengan nasi bersayur bening
berlauk sepat kering

apabila disuakan secawan kopi
dia meminta ditambah krim
sampai sirna pekat hitamnya

(iii)
Pesannya sokonglah pencinta desa
sanggup bersama-sama 
memugar rawa

bila dilawa sama berbincang
dia tergesa-gesa
berkonvoi pulang

tidak sempat keluhan dihidang
yang lewat dari ladang
tidak sempat memandang.

100723
Ulu Beranang.

PCR: Tinggal usang

 TINGGAL USANG bukan tidak pernah digelar pegawai diraikan di gerbang ruai    kini segelung rawai di pantai landai tanpa Avecenia dan Rhizop...