MESYUARAT KHAS GURU-GURU PONDOK NEGERI KELANTAN TAHUN 1447H/2025M
1 NOVEMBER 2025M / 10 JAMADIL AWWAL 1447H
DI PEJABAT PONDOK PASIR TUMBOH
PERSATUAN GURU-GURU PONDOK NEGERI KELANTAN
<<<<< >>>>>>
LARANGAN ALIRAN DAN DAKYAH/GERAKAN SALAFIAH WAHABIAH DI NEGERI KELANTAN
Muzakarah Khas Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan pada 1 November 2025M / 10 Jamadilawal 1447H bertempat di Pejabat Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan.
Keputusan:
Muzakarah sebulat suara bersetuju dan memutuskan bahawa: –
1. ALIRAN DAN DAKYAH *SALAFIAH WAHABIAH* DIDAPATI *SESAT* DAN *BERCANGGAH DENGAN PEGANGAN DAN AMALAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH* YANG MENJADI TERAS PEGANGAN UMAT ISLAM DI NEGERI KELANTAN DAN MENYEBABKAN IMPLIKASI YANG NEGATIF TERHADAP UMAT ISLAM SEPERTI *KEKELIRUAN, PERPECAHAN UMAT ISLAM, ISU BIDAAH DAN ISU TAKFIRI.*
Percanggahan tersebut kerana sikap ekstrim mereka pada isu-isu akidah, feqah, tasawuf dan aliran fahaman seperti berikut:
i. Kefahaman konsep bidaah yang sempit dan jelas berbeza dengan majoriti para ulama muktabar sehingga mudah membidaahkan, menyesatkan dan mengkafirkan umat Islam yang tidak sependapat dengan mereka;
ii. Membidaahkan amalan-amalan sunat dan khilafiyyah khususnya yang telah menjadi amalan umat Islam tempatan seperti amalan berzikir selepas solat secara berjemaah, amalan berdoa secara berjamaah, amalan tahlil dan kenduri arwah, amalan talqin selepas pengebumian, bacaan surah Yaasin malam Jumaat, hadrah dalam majlis pembacaan Al-Quran di sisi kubur, membaca selawat, qasidah dan berzanji sempena Maulidur Rasul, amalan malam Nisfu Syaaban, amalan doa akhir dan awal tahun, dan sebagainya;
iii. Berpegang dengan makna zahir ayat-ayat al-Quran dan hadis Mutashabihat serta membawa kefahaman tasybih dan tajsim (menyamakan zat Allah dan sifat Allah dengan sifat makhluk) seperti Allah berjisism, beranggota, bertempat di Arasy/langit dan seumpamanya;
iv. Membawa fahaman tauhid tiga serangkai yang tidak pernah dikenali dan diajar oleh mana-mana para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang muktabar samada golongan ulama Salaf mahupun golongan ulama Khalaf;
v. Membawa sikap suka mengkafirkan (takfir) sesama umat Islam berdasarkan fahaman tauhid tiga serangkai seperti tuduhan syirik dan kufur akidah terhadap umat Islam yang memahami ayat-ayat Mutashabihat secara tafwidh, bertawassul dengan Rasulullah SAW, menziarahi kubur orang soleh dan lain-lain;
vi. Membuat tuduhan sesat ke atas nama tokoh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang muktabar seperti Imam Abu Hassan Asy’ari, Imam Al-Nawawi, Imam Al-Ghazali, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Imam Al-Sanusi, Imam Zakaria Al-Ansari, Imam Syihabuddin al-Ramli, dan lain-lain.
vii. Mendakwa bahawa para ulama dan umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah Al-Asyairah dan Al-Maturidiah tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah khususnya berkaitan dengan keimanan kepada zat dan sifat Allah SWT;
viii. Boleh membawa kepada ideologi mengkafirkan umat Islam (Takfiri) yang menjadi teras bagi gerakan-gerakan Salafi Jihadi seperti ISIS (DAESH), Jemaah Islamiah (JI) dan lain-lain yang terlibat dengan aktiviti terorisme dan keganasan. Hakikat ini telah dinyatakan oleh pihak berkuasa dan pusat penyelidikan, kajian penyelidikan di pelbagai negara seperti Darul Ifta’ Mesir.
2. AJARAN SALAFIAH WAHHABIAH JELAS BOLEH MENIMBULKAN KEKELIRUAN DAN PERPECAHAN DI KALANGAN UMAT ISLAM DI NEGERI KELANTAN KHUSUSNYA.
ADALAH DILARANG UNTUK MENIMBULKAN KEKELIRUAN DAN PERPECAHAN SEPERTI:
i. Mempertikaikan pengajian akidah sifat dua puluh (Sifat Allah yang wajib diketahui);
ii. Mempertikaikan keharusan beramalan dengan perkara-perkara sunat (fa‘da’il al-a‘mal) berdasarkan hadis dhaif yang diterima oleh kebanyakan para ulama muktabar;
iii. Mempertikaikan amalan masyarakat Islam yang bersumberkan daripada kitab-kitab karangan para asatizah seperti kitab jawi dan menggunakan istilah amnya kitab-kitab hadis pada dan umum;
iv. Mempertikaikan amalan para ulama tasawuf dan amalan tariqah yang muktabar;
v. Mempertikaikan Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, fatwa Jabatan Mufti Negeri Kelantan;
3. MUZAKARAH KHAS GURU-GURU PONDOK NEGERI KELANTAN JUGA BERSETUJU DAN MEMUTUSKAN BAHAWA MANA-MANA ORANG ISLAM (ORANG AWAM DAN PENCERAMAH AGAMA) ADALAH DILARANG DAN MESTILAH DIAMBIL TINDAKAN TEGAS OLEH PIHAK BERAUTORITI AGAMA ISLAM SEKIRANYA MEREKA DIDAPATI MENYEBAR AJARAN SALAFIAH WAHHABIAH DAN MENYIMPAN BAHAN BACAAN AJARAN SALAFIAH WAHHABIAH DAN SEUMPAMANYA.
[Selesai nukilan]
PENUNTUT ILMU
Credit to Dr. Abdullaah Jalil
No comments:
Post a Comment