Thursday, 25 August 2022

PCR al marhum

MENGENANG ALLAHYARHAM USTAZ MARZUKI YOB

Aku mengenali dan menghafal nama mu
tetapi jika bertemu empat mata di mana-mana
aku tidak akan yakin menyapa
empat puluh tahun terlalu lama
bagi seorang tua

Tetapi sapaan mu selalu datang
ke muka buku ku
memberi pujian dan doa-doa sejahtera
mengungkapkan kata-kata bangga
mengembalikan nostalgia
menukilkan harapan dan rangsangan

Betapa dari komen-komen mu ku nikmati kejujuran
dari doa-doa mu ku nikmati keikhlasan insan
dari puji-pujian mu ku nikmati rasa kesyukuran
dari kenang-kenangan yang kau terakan
sampai ku tatap senyuman

Dan setiap kali akan membalas hantaran mu
aku jadi keliru untuk memanggil mu
apakah dengan gelaran anakanda
kerana aku pernah mengajar mu sepatah dua perkara
apakah dengan gelaran ustaz
kerana kaulah yang lebih banyak mengajar
dan memimpin jemaah ke jalan yang benar
apakah dengan gelaran sahabat
kerana ingatan kepada mu seperti mengikat berkat

Tetapi kini kau hanya ada satu gelaran
ku lafazkan dengan penuh kesedihan
ku iringi dengan doa dan 
keinsafan yang tidak akan padam 
setiap kali ku panggil nama mu, Allahyarham.

Al-Fatihah....

250822

No comments:

Post a Comment

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...