IFTAR DI KUIL: DARI HUKUM AGAMA KEPADA HUKUM POLITIK
Ramai yang mendesak saya mengulas mengenai beberapa isu panas seperti berbuka puasa di rumah ibadah agama lain, bukan muslim sampaikan zakat dan seumpamanya. Semua ini asalnya isu fekah atau hukum telah bertukar menjadi isu politik kepartian. Untuk itu, saya ingin menarik perhatian kepada beberapa perkara berikut dalam memahami isu-isu ini;
1. Islam itu membimbing semua aspek kehidupan manusia termasuk politik. Islam itu bukan semuanya politik, namun politik mestilah tidak bercanggahan dengan Islam yang penuh maslahah untuk manusia. Parti politik mematuhi ajaran Islam, bukan parti politik menentukan hukum-hakam Islam sesuai dengan kepentingan parti. Banyak perbahasan isu-isu agama menjadi tidak rasional disebabkan berleluasanya penggunaan Islam sebagai alat politik kepartian. Hal ini bukan sahaja membabitkan satu atau dua parti politik, sebaliknya, hampir keseluruhan. Bahkan ada parti tertentu yang begitu memperalatkan Islam dalam politik kepartian mereka.
2. Hukum-hakam syarak jika dilihat dan dibahas secara objektif, sudah pasti pertimbangan kita lebih adil dan saksama. Umpamanya, pada asalnya iftar di rumah ibadah agama lain tidaklah membatalkan akidah ataupun puasa. Sedangkan solat yang merupakan ibadah utama yang membabitkan amalan khusus, ulama berbeza pendapat hukum menunaikannya di gereja ataupun rumah ibadat. Ini seperti yang disebut oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) dalam kitab fekahnya al-Mughni di bawah fasal [فَصْلٌ الصَّلَاةِ فِي الْكَنِيسَةِ النَّظِيفَة] iaitu “Pasal Mengenai Solat Solat Dalam Gereja Yang Bersih”. Ada yang membolehkan dan ada yang memakruhkan disebabkan patung dan gambar. Bahkan pendapat yang membolehkan itu diambil dari sahabat-sahabat Nabi s.a.w iaitu Umar bin al-Khattab dan Abu Musa al-‘Asha’ari. Juga daripada salaf seperti ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, Hasan al-Basri, al-Sya’bi, al-Auza’i dan Sa’id bin ‘Abd al-‘Aziz.
Majma’ al-Fiqh al-Islami (International Islamic Fiqh Academy) yang bersidang di Amman Jordan pada Oktober 1986 menjawab persoalan International Institute of Islamic Thought (IIIT) berkaitan hukum menyewa gereja untuk solat, menyatakan:
استئجار الكنائس للصلاة لا مانع منه شرعاً عند الحاجة، وتجتنب الصلاة إلى التماثيل والصور وتستر بحائل إذا كانت باتجاه القبلة
(Menyewa gereja untuk solat ketika perlu tiada larangan dari segi syarak. Hendaklah mengelakkan solat mengadap ke arah patung-patung dan gambar-gambar. Hendaklah ditutup dengan tutupan jika ia berada pada arah Kiblat).
3. Jika solat di gereja atau rumah ibadah yang lain dibolehkan jika ada keperluan untuk itu, maka sudah pasti berbuka puasa yang sekadar menjamah makanan pasti lebih dibolehkan. Bahkan berbuka puasa itu tidak memerlukan upacara khas selain sekadar makan sahaja. Ia boleh dilakukan di mana-mana. Solat tidak disertai oleh orang yang tidak berkaitan, sementara hidangan makanan iftar boleh disertai oleh sekalipun orang yang tidak berpuasa seperti wanita haid, bukan muslim dan seumpamanya. Iftar tidak perlu mengadap kiblat, berwuduk atau suci dari hadas besar. Apa yang perlu hanyalah makanan yang halal. Benar, ketika berbuka disunatkan berdoa. Ia boleh dilakukan secara sendirian. Maka, jika ada keperluan bukanlah sesuatu yang menjadi isu besar berbuka di tempat ibadah orang lain jika dilihat di sudut ilmiah. Namun ia satu masalah jika dilihat pada persepsi politik, atau majlis iftar itu sendiri bersifat politik.
4. Justeru, konteks kejadian itu hendaklah dikaji. Umpamanya, di zaman Islamophobia, jika ada kumpulan muslim di negara minoriti muslim berjaya menganjurkan majlis berbuka puasa di gereja atau tempat ibadat agama lain sebagai satu usaha memperkenalkan Islam atau memberikan persepsi yang baik berkaitan Islam, pastilah ia sesuatu yang baik. Demikian juga jika ada keperluan yang nyata untuk dilakukan di mana-mana dalam usaha mendekatkan kefahaman Islam kepada mereka yang jauh atau ada sangkaan yang salah.
5. Namun, dalam suasana tiada sebarang keperluan untuk melakukan demikian, dalam keadaan muslim menumpukan ibadah di masjid-masjid, maka sudah pasti majlis iftar di rumah ibadah agama lain menimbulkan banyak persoalan. Lebih menjadi persoalan JIKA anjuran itu bersifat politik kepartian yang seakan kelihatan menggunakan program agama untuk politik.
6. Hakikatnya, dalam negara kita, menggunakan jenama agama untuk kempen politik kepartian telah berlaku begitu berluluasa. Sejak sekian lama begitu banyak tokoh dan parti politik melakukannya. Bahkan ada yang menjadikan parti politik seakan agama itu sendiri. Diubah fatwa-fatwa agama berdasarkan kepada ‘angin’ dalam parti. Maka, apa yang dahulu haram, kini dihalalkan walaupun keadaan masih macam zaman ia diharamkan. Dahulu haram, kini halal walaupun hal itu masih yang dahulu. Demikianlah bahaya permainan politik kepartian menggunakan agama. Ia satu persendaan kepada agama sebenarnya.
7. Orang-orang politik itu tanpa mengira parti -walaupun bukan semua- seringkali tindakan mereka mempunyai rencana yang berbeza dengan apa yang kita lihat. Ada yang menghulurkan ‘sumbangan ikhlas’ untuk berbuka puasa, tetapi tujuannya undi. Jika kita beritahu namanya tidak disebutkan, tentu dia menarik diri. Demikan dalam banyak keadaan majlis-majlis yang bersifat keagamaan yang membabitkan orang-orang politik. Maka, jika mereka mendapat lesen besar untuk menggunakkan agama sebagai bahan kempen, kepercayaan manusia kepada Islam akan tergugat.
8. Sebab itu Saidina Ali apabila mendengar slogan agama yang dilaungkan oleh pihak pelampau politik dalam sejarah Umat Islam iaitu Khawarij, beliau berkata:
كَلِمَةُ حَقٍّ أُرِيدَ بِهَا بَاطِلٌ
“Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil". (Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim).
Selagi kita tidak berjaya menghentikan agama dijadikan alat atau hiasan politik kepartian, maka selagi itulah kita tidak akan berhenti membahaskan isu-isu yang seperti ini. Padahal, isu-isu itu jika dilihat pada segi ilmiah dan akademiknya, mempunyai perbincangan yang lain.
No comments:
Post a Comment