Monday, 11 May 2026

S Abu Bakar dan S Umar

 Sebagai tukang buku yang menjual kitab sirah para sahabat r.a, saya melihat tuduhan dan gelaran yang dilemparkan terhadap sahabat besar Saidina  Rasulullah ﷺ sebagai sesuatu yang sangat tidak wajar, biadab dan mencederakan adab terhadap generasi terbaik umat ini.


Lebih parah apabila Saidina Abu Bakr al-Siddiq r.a digambarkan seolah-olah seperti “ceti”, dan Saidina Umar al-Khattab r.a pula dikaitkan dengan tuduhan zina. Ini bukan sekadar bahasa politik yang kasar. Ini bukan sekadar sindiran kempen. Ini sudah menyentuh maruah para sahabat Saidina  Nabi ﷺ.


Kita boleh berbeza politik. Kita boleh kritik dasar cukai, kutipan, saman, pentadbiran, kelemahan kerajaan atau cara hasil negara diuruskan. Itu ruang perbahasan siyasah. Tetapi apabila nama sahabat Nabi ﷺ dibawa masuk, lidah wajib dijaga. Jangan kerana mahu mencari punchline politik, adab dengan sahabat Rasulullah ﷺ tergadai.


Saidina Abu Bakr r.a. Beliau ialah al-Siddiq, sahabat paling hampir dengan Saidina Rasulullah ﷺ, lelaki dewasa pertama yang beriman, khalifah pertama umat Islam, pembela agama ketika ramai manusia goyah, dan antara sahabat yang dijamin Syurga.


Menggambarkan beliau dengan istilah yang membawa konotasi buruk seperti “ceti” adalah satu  kecuaian besar terhadap kedudukan beliau. Saidina Abu Bakr r.a bukan simbol penindasan harta. Beliau adalah lambang pengorbanan harta.


Beliaulah yang membelanjakan hartanya demi Islam. Beliaulah yang membebaskan hamba yang diseksa kerana iman. Beliaulah yang menemani Saidina Rasulullah ﷺ dalam hijrah. Beliaulah yang tetap teguh ketika umat diuji selepas kewafatan Nabi ﷺ.


Beliaulah yang membelanjakan hartanya untuk Islam. Dalam riwayat al-Tirmizi, Saidina Umar r.a sendiri menceritakan bahawa apabila Saidina  Rasulullah ﷺ memerintahkan para sahabat bersedekah, Umar datang membawa separuh hartanya. Tetapi Saidina Abu Bakr r.a datang membawa seluruh hartanya. Lalu Saidina Rasulullah ﷺ bertanya:


مَا أَبْقَيْتَ لِأَهْلِكَ؟


“Apa yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?”


Saidina Abu Bakr r.a menjawab:


أَبْقَيْتُ لَهُمُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ


“Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.”


Mendengar hal itu, Saidina Umar r.a berkata bahawa beliau tidak akan mampu mendahului Abu Bakr dalam kebaikan. Riwayat ini disebutkan dalam Jami‘ al-Tirmizi, hadis 3675. 


Maka bagaimana mungkin insan yang menyerahkan hartanya untuk agama, membebaskan orang yang tertindas, dan hidup dengan amanah terhadap umat, digambarkan dengan istilah “ceti”?


Bahkan dalam Sahih al-Bukhari, Saidina Umar r.a sendiri pernah berkata:


أَبُو بَكْرٍ سَيِّدُنَا، وَأَعْتَقَ سَيِّدَنَا


“Abu Bakr ialah penghulu kami, dan beliau telah membebaskan penghulu kami.”


Yang dimaksudkan ialah Saidina Bilal r.a. Ini menunjukkan Saidina Abu Bakr r.a menggunakan hartanya bukan untuk menekan manusia, tetapi untuk membebaskan manusia daripada penindasan. 


Ketika beliau dilantik menjadi khalifah, ucapan awal beliau juga jelas menunjukkan dasar keadilan, bukan sikap menindas. Antara ucapan Saidina Abu Bakr r.a ialah:


فَإِنِّي قَدْ وُلِّيتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُونِي


“Sesungguhnya aku telah dilantik memimpin kamu, sedangkan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku berlaku baik, bantulah aku. Jika aku berlaku salah, luruskanlah aku.”


Beliau juga berkata:


الضَّعِيفُ فِيكُمْ قَوِيٌّ عِنْدِي حَتَّى أُرِيحَ عَلَيْهِ حَقَّهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ، وَالْقَوِيُّ فِيكُمْ ضَعِيفٌ عِنْدِي حَتَّى آخُذَ الْحَقَّ مِنْهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ


“Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku mengembalikan haknya, insya-Allah. Dan orang yang kuat dalam kalangan kamu adalah lemah di sisiku sehingga aku mengambil hak daripadanya, insya-Allah.”


Ini bukan ucapan seorang penindas. Ini ucapan seorang khalifah yang meletakkan keadilan di atas kekuatan, amanah di atas kedudukan, dan hak rakyat di atas kepentingan peribadi. Jahat lidah yang menggelarkan beliau "ceti". 


================================


Begitu juga Saidina Umar al-Khattab r.a. Menyandarkan atau mengaitkan beliau dengan tuduhan zina adalah sesuatu yang amat berat. Saidina Umar r.a bukan manusia biasa dalam sejarah. Beliau ialah al-Faruq, khalifah al-Rasyidin, sahabat besar Nabi ﷺ, pemimpin yang terkenal dengan keadilan, ketegasan dan ketakutan kepada Allah.


Saidina Umar r.a ialah insan yang dimuliakan oleh Islam, bukan bahan untuk dilanyak dalam retorik politik. Beliau antara sahabat yang Saiduna  Rasulullah ﷺ khabarkan dengan jaminan Syurga. Maka berhati-hatilah. Lidah yang digunakan untuk berpolitik jangan sampai menjadi sebab kita merendahkan orang yang dimuliakan oleh Allah dan Rasul-Nya.


Dalam sejarah pentadbiran Islam, Saidina Umar r.a dikenali sebagai pemimpin yang sangat tegas terhadap kezaliman. Pentadbiran beliau bukan dibina atas hawa nafsu, kroni atau kepentingan peribadi, tetapi atas amanah, keadilan dan maslahah umat.


Saidina Umar al-Khattab r.a  bukan manusia yang wajar dijadikan bahan tuduhan hina. Beliau ialah sahabat besar Saiduna  Rasulullah ﷺ yang sangat kuat agamanya, sangat tegas terhadap kebenaran, dan sangat takut kepada Allah.

Dalam hadis sahih, Saiduna  Rasulullah ﷺ pernah bersabda tentang Saidina Umar r.a:


وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا لَقِيَكَ الشَّيْطَانُ قَطُّ سَالِكًا فَجًّا، إِلَّا سَلَكَ فَجًّا غَيْرَ فَجِّكَ


Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah syaitan bertemu denganmu melalui satu jalan, melainkan syaitan akan melalui jalan yang lain daripada jalanmu.


Hadis ini menunjukkan betapa kuatnya iman, ketegasan dan kewibawaan Saidina Umar r.a sehingga syaitan menjauh daripada jalannya.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah ﷺ juga pernah bermimpi melihat manusia memakai pakaian dengan kadar yang berbeza-beza. Kemudian Baginda melihat Saidina Umar r.a memakai pakaian yang labuh hingga terseret. Apabila para sahabat bertanya tentang tafsirnya, Baginda ﷺ menjawab:

الدِّينُ

“Ia adalah agama.”


Maksudnya, Saidina Umar r.a memiliki kekuatan agama yang besar. Beliau bukan tokoh yang hidup menurut hawa nafsu seperti yang dituduh, apatah lagi wajar dikaitkan dengan tuduhan keji seperti zina. Beliau ialah insan yang kuat agamanya, tegas menjaga kebenaran, dan sangat takut kepada hisab Allah.


Maka amat biadab apabila nama Saidina Umar r.a digunakan dalam retorik politik secara longgar, apatah lagi dikaitkan dengan tuduhan yang mencemarkan maruah beliau. Lidah politik jangan sampai melampaui batas adab terhadap sahabat Saidina  Rasulullah ﷺ.


Inilah wajah Saidina Umar r.a dalam sirah adil, tegas, amanah dan takut kepada hisab Allah. Bukan seperti gambaran buruk yang dilemparkan oleh lidah politik yang hilang cermat.


==================================


Kepada ahli politik, berhati-hatilah apabila menyebut nama sahabat Nabi ﷺ. Jangan kerana mahu menyerang lawan, mahu menarik sorakan penyokong atau mahu kelihatan berani, kita terlanjur merendahkan manusia yang Allah muliakan.


Kepada penyokong pula, jangan kerana terlalu sayang kepada tokoh politik, semua ucapan dipertahankan secara membabi buta. Dalam Islam, cinta mesti bersama ilmu. Wala’ mesti tunduk kepada adab. Politik mesti dipandu syarak, bukan emosi kepartian.


Kaji sirah menurut kacamata ulama, bukan menurut kacamata politik.


Ahli politik, siapa pun orangnya, apabila bercakap tentang sirah tanpa ilmu dan adab, bunyinya hanya seperti tin kosong. Gedegang lebih, isi kurang.


Jangan melaungkan “politik Islam” jika lidah sendiri tidak menjaga adab dengan sahabat Saidina  Rasulullah ﷺ.


Ini bukan isu picisan. Ini isu adab terhadap mereka yang dijanjikan Syurga.


Jika politik boleh menjadi jalan menuju Syurga, politik juga boleh menjadi jambatan ke neraka apabila lidah melanggar panduan syarak.


✍️ Nuaim Ishak

Tukang Buku

No comments:

Post a Comment

S Abu Bakar dan S Umar

 Sebagai tukang buku yang menjual kitab sirah para sahabat r.a, saya melihat tuduhan dan gelaran yang dilemparkan terhadap sahabat besar Sai...