Wednesday, 31 May 2023

Hakikat habib omar

HAKIKAT HABIB UMAR

Ada yang berpandangan bahawa Habib Umar Muhammad Hafiz bukan calang-calang tokoh tetapi seorang ilmuwan yang sangat istimewa kerana beliau merupakan ulama pilihan Allah yang menjadi mujaddid pada zaman ini. 

Malah beliau sampai dinobatkan sebagai ‘wakil Rasulullah’ buat manusia hari ini. 

Pujian melambung diberikan kepada beliau.

Tinggal lagi adakah ia benar? 

Hakikatnya mungkin ramai tidak tahu bahawa Habib Umar sangat bermasalah dari sudut akidah dan pegangan kerana membawa banyak ajaran yang menyalahi akidah Ahli Sunah Wal Jemaah seperti mengharuskan perbuatan meminta tolong daripada guru-guru yang sudah meninggal dunia, pergi ke kubur melakukan ritual-ritual tertentu yang banyak berlaku di negara asal beliau, Yaman, menggantung potret-potret syeikh di dinding dengan tujuan mengambil berkat dan supaya dapat khusyuk dalam solat di samping banyak penyimpangan lagi. 

Malah dalam satu video beliau dikatakan telah melihat Rasulullah ﷺ hadir secara jaga (bukan dalam mimpi) dalam majlis semasa beliau sedang membaca doa di hadapan khalayak sampai mata beliau terbeliak. 

Cuma peliknya dalam kejadian itu hanya beliau seorang yang dapat melihat Rasulullah walhal ramai orang lain yang turut berada dalam majlis itu.  

Pegangan beliau jelas boleh merosakkan akidah. 

Dr. Idris bin Sulaiman 
Kajang 
@everyone
07 Zulkaedah 1444H 
27 Mei 2023

Sunday, 28 May 2023

PCR: sejadah

YANG SEHELAI INI

Yang sehelai ini
menghamparkan kenangan seorang guru
akan wajah-wajah harapan yang naif
kolek-kolek kecil yang dihempas gelombang
rimbun-rimbun cantik di lahan gersang
bertumbesar menjadi pohon-pohon

Yang sehelai ini
menghidangkan kebahagiaan seorang guru
akan wajah-wajah cemerlang di pelangi kelangsungan
bahtera-bahtera bahagia di lautan tenang
pohon-pohon yang mengubah gurun
menjadi dusun

Yang sehelai ini
mengalaskan sujud seorang guru
akan segala kurnia dan limpah anugerah-Nya
dan melembutkan sila sejuta doa
untuk jari-jari ikhlas yang menghulurkan
sejadah kasih

280523

Thursday, 25 May 2023

PCR: warga rukun

WARGA RUKUN
(untuk renungan cucu-cucu)

Bermata fajar, berwajah kamar
Bertingkah seni, pekertinya murni
Kata-katanya berbahasa merangkai budi
Meriah penjanaan pemikiran
Dari jiwa intelektualisme dunia
Seribu mesra bersila
Menghadap pendeta

Hormatnya diam kala mendengar
Berbicara bermadah benar
Berhujah bernas dan segar
Cepat menamatkan tengkar

Malunya memupuk keikhlasan
Pohon-pohon padi di huma
Ketrampilan dibajai setia dan cinta

Tertibnya turutan peraturan
Melangkah cergas ke tingkat teratas
Menjunjung maruah ke mercu keinsanan

Dia juga percayakan Tuhan
Menjunjung duli Raja dan Negara
Beriltizam meluhurkan perlembagaan
Menunjangi kedaulatan undang-undang.

250523

Wednesday, 24 May 2023

PCR: Agan2

ANGAN-ANGAN

Kata ku
angan-angan adalah idam-idaman
dalam khayalan
keinginan yang dikarya naluri
dalam berahi

maka dalam kamar alpa
angan-angan adalah malam
bergelumang di ranjang
sampai dibakar fajar

tetapi bersama pelita dan peta
inilah nyala di dada panglima
mara merealisasikan rezeki
di tangan takdirnya

kerana rezeki adalah diri
yang digemilangkan
sepenuh kesungguhan dan tawakal
dalam lahan perjuangan kelangsungan
meraih nikmat di sisi Tuhan

Wallahuaklam.

Saturday, 20 May 2023

PCR: khusyuk

KHUSYUK

Khusyuk atau tidak aku beribadah
Apakah Tuhan akan ambil endah?

Yang pasti aku sendiri yang mesti peduli
Aku yang meminta sepenuh hati
Tuhan memberi dan memberi

Kalau ku tunaikan setiap kewajiban
Dengan penuh kepatuhan dan keikhlasan
Maka kepatuhan dan keikhlasan itu
Kembali kepada ku
Sebagai keselesaan dan keyakinan diredhai-Nya
Tiada yang lebih bermakna selain itu

Kalau ku laksanakan setiap perintah dan peringatan
Dengan penuh kesedaran dan kejujuran
Maka kesedaran dan kejujuran itu
Kembali kepada ku
Sebagai kepastian dan kepuasan direstui-Nya
Tiada yang lebih bermakna selain itu

Kalau kutunaikan setiap seruan dan amanah
Dengan penuh ketakwaan dan ketulusan
Maka ketakwaan dan ketulusan itu
Kembali kepada ku
Sebagai kelegaan dan kebahagiaan dihargai-Nya
Tiada yang lebih bermakna selain itu

Kalau ku hadapi setiap dugaan dan ujian
Dengan penuh kerelaan dan kesyukuran
Maka kerelaan dan kesyukuran itu
Kembali keoada ku
Sebagai kenikmatan dan kegirangan dirahmati-Nya
Tiada yang lebih bermakna selain itu

Tiada yang lebih bermakna
Pada jantung yang berdegup
Pada nadi yang berdenyut
Pada nafas yang dihela
Pada tubuh yang kian kecut
Semua kerana-Nya untuk ku

Shah Alam
20523

Thursday, 18 May 2023

PCR: Cinta

DIA CINTA

Aku masih tidak lupa guru bertanya
Mahu jadi apa apabila dewasa
Maka ku jawab mahu jadi peraih
Beroda tiga
Semua yang ada pecah ketawa

Tidak mengapa
Mereka tidak peka
Aku tinggal sebatang kara
Tiada harapan ke Menara

Tetapi ada seseorang bertanya
Kalau itu cita-cita mu
Apa sudahnya
Dan bagaimana dengan saya?

Bagaimana dengan dia?
Tiba-tiba jadi hantu soalan itu
Ku bawa ke mana-mana rasuknya
Sampai seorang kawannya memberitahu
Dia cinta kepada mu
Tetapi tidak mungkin suaminya
Berjualan dan makan di kaki lima
Aduhai, takkanlah begitu...

Aku jadi baru selepas itu
Cita-cita menjadi arwah ayah
Harapan menjadi arwah ibu
Hanya dia tidak menunggu

Sesudah ku perolehi seratus roda
Aku masih mencari dia.

Wednesday, 17 May 2023

PCR: Durian

DURIAN

aku seorang-seorang
pada usia durian desa belajar berbunga
maka belum sesiapa pun mengetahui
apa yang akan menjelma
tembaga atau biasa-biasa

durian itu ditanam abah
di lahan keringat dan cinta
lima pohon semuanya
sepohon seorang di antara kami
dua lagi yang direncana

takdir-Nya sempat sepuluh tahun
saat rimbunnya sarat
darah abah manis di jerangkap komunis
trauma dahsyat membawa emak bersama
dan durian belajar berbuah
dua tahun berikutnya

takdirnya bukan tembaga
bukan juga biasa-biasa
tetapi mengajar ku menjadi penjual
kemudian peraih berbasikal

aku muda dengan aroma dan rasanya
aku dewasa dengan harganya
aku tua dengan kenangan padanya
kini kami bukan lagi berlima

Ulu Beranang
180524

CPR takwa

CINTA IMAN

setiap saat
ada pelita tiba-tiba padam
walau pun jendela di tutup
dan deru tidak menyusup

nyatalah
dikurung kebal sekali pun
nyala itu fana

inilah ku redakan
aku tak perlukan cahaya baru
menerangi malam ku
walau pun dihasut sejuta mahu

kepada ku 
telah dikurniakan cinta
kunamakan takwa
bernurkan iman di jiwa

Monday, 15 May 2023

PCR: bagus kalau dikenali

BAGUS KALAU DIKENALI

Bagus kalau dikenali
Selesa berkomunikasi
Sejahtera didampingi
Bahagia rapat ke sisi
Muafakat cepat menyusuli
Diplomasi mudah dikongsi

Hanya tiada keakraban
Pada sekadar nama dan gelaran
Pada sekadar kuasa dan jawatan
Tetapi aspirasi disembunyi
Prinsip dan gagasan dikunci
Bergelumang kronisme dan hipokrasi
Dalam peti berkelahi

Senyuman adalah permulaan
Dan salam mesra keikhlasan
Lalu membukakan hati
Seperti membentangkan peta
Kepada pengembara
Dan jiwa dihampar seperti taman
Di bawahnya sungai-sungai

Tetapi perkenalan menjadi duri
Setelah dipikat dengan sensasi
Menjadi api
Setelah dicurah dengan janji
Menjadi belati setelah dikhianati

Tidak perlu pun menunjuk-nunjuk
Dan berkali-kali memujuk
Komitmen dan integriti
Wibawa dan intelektualiti
Tiada galang ganti

Bagus kalau dikenali
Bagus lagi kalau dihormati
Dan dipercayai

150523

PCR: pelangi

AKU INI PELANGI

genetik ku bebas
daripada titik-titik rebas
menjadi molekul-molekul bias
tatkala suria menyuluh
dari jauh
dan tirai jernih berlabuh

mereka memberi ku jiwa
tujuh warna
melengkung di atas rawa
menggoda nostalgia
bercerita

aku bertambah gemilang
ditatang bendang
digerakkan oleh pandang
berjalan pulang

tetapi matahari akan teduh
dan aku akan luluh
di lautan keruh

Sunday, 14 May 2023

PCR: tiada beza

TIADA BEZANYA

Yang benar sebenar-benarnya di pihak yang benar
Dan yang sabar sesabar-sabarnya di pihak yang sabar
Tiada bezanya
Lelaki dan perempuan muslim
Lelaki dan perempuan mukmin

Yang khusyuk sekhusyuk-khusyuknya
Dan yang ikhlas seikhlas-ikhlasnya
Tiada bezanya
Lelaki dan perempuan muslim
Lelaki dan perempuan mukmin

Yang taat setaat-taatnya
Dan yang tulus setulus-tulusnya
Tiada bezanya
Lelaki dan perempuan muslim
Lelaki dan perempuan mukmin

Tiada bezanya sama-sama berpuasa
Tiada bezanya sama-sama bersedekah
Tiada bezanya sama-sama beribadah
Dengan tekun mencari redha-Nya
Dengan setia memulihara takwa
Lelaki dan perempuan muslim
Lelaki dan perempuan mukmin

Tiada bezanya
Yang tetap teguh pada ketetapan-Nya
Dan banyak menyebut nama-Nya
Lelaki dan perempuan muslim
Lelaki dan perempuan mukmin

Tiada bezanya 
Pada menerima ampunan dan balasan
Pada menerima pahala yang besar
Pada penempatan di tingkat yang mulia
Yang mengalir sungai-sungai di bawahnya
Lelaki dan perempuan muslim
Lelaki dan perempuan mukmin

(daripada ayat ke-35 Surah Al-Ahzab)

Wallahuaklam

Shah Alam
Q20523

Saturday, 13 May 2023

Refleksi RPK praktikum

Berikut 21 penulisan refleksi RPH untuk panduan warga pendidik.

1) Sesi PdP telah mencapai objektif atau target yang diingini.

2) Murid-murid dapat menguasai kesemua aras PdP.

3) Murid-murud dapat menguasai kesemua kemahiran yang dipelajari.

4) Murid-murid dapat menguasai kemahiran pembelajaran secara intensif.

5) Murid-murid dapat menguasai objektif pembelajaran dengan 10 daripadanya mencapai target.

6) Murid-murid dapat menguasai aras satu dan dua daripada hasil pembelajaran.

7) Lima daripada 30 murid-murid tidak menguasai hasil pembelajaran.

8) 10 daripada 30 murid-murid tidak mencapai objektif pengajaran.

9) Lima daripada 30 murid-murid tidak menguasai aras tiga daripada hasil pembelajaran.

10) 10 daripada 30 murid-murid tidak menguasai aras dua daripada hasil pembelajaran.

11) Murid-murid telah menyertai aktiviti PdP dengan jayanya.

12) Sebahagian murid-murid tidak terlibat dalam aktiviti PdP kerana kesuntukan masa.

13) Keseluruhan murid-murid kelihatan tidak seronok kerana ketiadaan BBM yang menarik dan bersesuaian.

14) Sebahagian murid-murid kelihatan tidak seronok kerana ketiadaan BBM yang menarik dan bersesuaian.

15) Hanya sebahagian murid-murid yang mengikuti PdP, manakala bakinya tidak bersungguh-sungguh dalam PdP.

16) Sebahagian pelajar tiada di dalam kelas kerana menghadiri aktiviti luar kelas.

17) PdP ditangguhkan kerana menghadiri mesyuarat atau mesyuarat guru.

18) PdP ditangguhkan kerana menghadiri program luar kelas.

19) PdP ditangguhkan kerana menghadiri program luar sekolah.

20) Aktiviti PdP tidak dapat berjalan dengan sempurna pada tempoh yang ditetapkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

21) Sebahagian aktiviti PdP perlu diulang semula kerana murid-murid tidak menguasai objektif pembelajaran.

Wednesday, 10 May 2023

PCR: seberapa daya

DENGAN SEBERAPA DAYA

Kalau boleh mendaki, mendakilah
Sampai tegak megah di puncak
Jangan terlalu tamak mendongak
Atau memandang hina ke bawah
Tetapi mentafsir segala yang nampak
Hingga ikhlas merafakkan pengakuan
DIA yang menciptakan

Kalau hanya boleh berlari, berlarilah
Usah pedulikan siapa yang mengejar
Sampai jauh meredah lembah
Mentafsir segala yang rendah
Memikir mereka yang patah
Mencari hidayah di celah-celah
Onak dan duri

Kalau hanya boleh berjalan, berjalanlah
Tabah menyelusuri iradah
Mencari tamadun-tamadun mewah yabg musnah
Perumpamaan-perumpamaan durhakanya ummah
Menodai perintah mendustai amanah

Kalau hanya boleh merangkak, merangkaklah
Meski pun di gurun pamah
Mentafsir rezeki di celah-celah rekah
Biar pun sebesar zarah
Tetapi janji Allah...

Wallahuaklam.

Shah Alam.

Tuesday, 9 May 2023

PCR: pada hari itu

YANG DIBERITAHU PADA HARI ITU

Pada hari itu bumi akan memberi tahu
Gegaran yang sebenar-benarnya gegaran
Goncangan yang sesungguh-sungguhnya goncangan
Gempa yang sebetul-betulnya gempa
Sedemikian yang dahsyat sedahsyat-dahsyatnya

Hanya dengan menyemburkan isi kandungannya
Hanya dengan melemparkan samudera dan semua ancala 
Hanya dengan meranapkan benua dan rimba
Dan segala yang sebenar-benarnya segala
Padanya

Hanya dengan meletuskan api yang sebenar-benarnya api
Hanya dengan menyerakkan ngeri yabg sebenar-benarnya ngeri
Hanya dengan melambakkan segala kehancuran yang sebenar-benarnya kehancuran
Maka hancurlah atas perintah Tuhan

Lalu kau mabuk tetapi tidak mabuk
Kau sesat tetapi tidak sesat
Kau telanjang tetapi tidak telanjang
Kau berselerak tetapi tidak berselerak

Kau berada pada jalan kebajikan mu
Atau merangkak pada jalan kezaliman mu
Sezarah kebaikan berkilau di amal mu
Sezarah kejahatan terpalit hitam di amal mu
Cukuplah DIA sebagai penghitung

Di tangan mu keinsafan
Di tangan-Nya kemaafan

Wallahuaklam

Shah Alam.

PCR, sorcopenia

SARCOPENIA

Sedar-sedar tubuh jadi bebanan
Pergerakan jadi seksaan

Bangun tidak mudah dikiamkan
Sila tidak berlipat
Langkah begitu payah ke hadapan
Lutut terbenam dalam jerlus hitam
Dan bah datang menerkam

Yang longgar berselisih ketat
Yang ringan terdampar berat

Semuanya semasa perbaringan
Saat sarira mohon dimanjakan
Jisim otot-otot larut
Yang kuat menyusut
Yang liat mereput
Yang lancar berengsot

Tua pun menjalar dari kaki
Memanjat rangka ke dada
Luluh datang perlahan-lahan
Disambut osteoporosis dan kemalangan

Sesuatu yang tidak mungkin dielak
Boleh diurus dengan azam gunung
Senaman dan makanan terpilih
Semangat dan keimanan jernih

Selebihnya semoga yang terbaik
Dari sisi-Nya

Shah Alam.

Friday, 5 May 2023

PCR: Huthamah

YANG TERBAKAR DI HUTHAMAH

semakin kau hitung
semakin teruja menambah untung
semakin kau ghairah memecah ruyung
dengan segala cara segala kesempatan
biar pun terpaksa kau buka pintu-pintu umpatan

semakin kau kira
semakin kau berasa tidak seberapa
semakin kau berasa tidak berharta
semakin terangsang mendapatkan semua
berasa abadi mendakapinya

semakin kau bilang
semakin kau bimbang akan hilang
semakin kau risau akan kurang
semakin jauh kau seorang
di dalam lubang

hanya kau bukan raja di hadapan nyala
apinya membakar ke hati
kau terikat pada tiang-tiang
yang panjang

wallahuaklam

552023.

Wednesday, 3 May 2023

PCR iman

KEIMANAN ITU LEBIH KURANG BEGINILAH...

kita tidak berlindung di bawah payung
daripada hujan dan terik di tanjung
kita berlindung pada Dia yang Maha Berkuasa
payung di tangan adalah rahmat yang nyata

kita tidak berharap pada nasi yang disuap
untuk menghapuskan cabaran kelaparan
kira berharap pada Dia yang Maha Pemurah
nasi di tangan adalah rahmat yang nyata

kita tidak mendambakan malam
untuk menebarkan tikar istirehat
kita mendambakan Dia yang Maha Pengasih
malam di mata adalah rahmat yang nyata

kita tidak mengejar masa
untuk berjaya
kita mengejar Dia yang Maha Pemurah
masa hanyalah rahmat yang nyata

dan demikianlah segalanya
hanya Dia
sampai bila-bila...

Wallahuaklam...

Tuesday, 2 May 2023

W Mahusin: Lori air

Ya Allah, kenapa baru aku tahu?. Rupa-rupanya mereka suka rakyatnya dalam kesulitan kerana mereka boleh mengaut keuntungan.

Lori yang mengangkut air dibayar RM500- RM700 sehari.

Jika 1 Parlimen ada 20 buah lori, kita ada 14 parlimen= 240 lori.

Sehari

1 lori= RM 700
280  Lori = RM 196,000

Sebulan=  RM 5. 88 Juta

Setahun = RM 705.56 Juta

Syarikat mana yang mendapat tender LORI?...... Tunggu saya bongkar

Allahuakbar, begitu mudah duit rakyat mengalir😭😭😭

Falsafah hari raya

 Min copy dari posting Ustaz Luqmanulhakim Muhammad Jamil __ [Fahami tujuan dan falsafah hari raya] Jangan lupa perbaharui niat dan kesedara...