Tuesday, 15 October 2019

Hukum lantik kafir sebagai pemimpin

MELANTIK KAFIR SEBAGAI PEMIMPIN ORANG ISLAM - SURAH AL-MAIDAH : 51

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ۞

Terjemahannya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat (wali, auliya’), kerana setengah mereka menjadi teman rapat (auliya’) kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapat (auliya’) nya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.”

Makna perkataan: Auliya’ (plural) atau wali (singular) bermakna, [1] teman rapat, [2] dipercayai [3] pelindung dan [4] pemimpin, bersesuaian dengan struktur ayat dan hukum.

Hukum dan status ayat: Ayat larangan mengambil Yahudi dan Nasrani ini, berserta ayat-ayat lain yang apabila digabungkan akan menjadi satu prinsip umum secara nas (Kulliyāt al-Nāssiah). Sekiranya digabungkan pula dengan nas-nas yang secara makna (maknawi) seperti larangan mengambil mereka yang memperolok-olokkan agama atau ayat-ayat suruhan memerangi orang-orang kafir maka ianya menjadi prinsip umum secara induktif (Kulliyāt al-Istiqrā-iyyah).

Maksudnya ayat ini secara khusus melarang mengambil Yahudi dan Nasrani sebagai wali atau auliya' (rakan, pakatan, pemimpin) dalam apa-apa hal sekalipun. Terutama sekali memberi wala’ atau janji setia, ketaatan, kepercayaan sebagai pemimpin ke atas orang Islam. Secara induktif dan menjadi prinsip umum bahawa Islam mengharamkan memberi wala’ atau melantik bukan Islam sebagai pemimpin orang Islam. 

Qadhi ʿAyyad [m544h] mengatakan: “Telah sepakat (ijma) ulama Muslimin bahawa Imamah (pemimpim umum dan yang mempunyai kuasa mutlak seperti peguam negara, kewangan dan seumpamanya) tidak boleh dilantik di kalangan Kafir. Kalau pemimpin yang ada menjadi kafir maka hendaklah dilucutkan.”

Imam al-Nawawi [m1277h] semasa mentafsir ayat, (وَلَن يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلً) yang bermaksud, “dan Allah tidak sekali-kali memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasa orang-orang yang beriman” mengatakan, “apakah jalan yang paling besar daripada melantik bukan Islam untuk mengendali urusan agama dan dunia orang-orang Islam.”

Kata-kata masyhur di kalangan pemimpin Islam moden ialah daripada Abdul Qadir Audah (Mesir) dan Muhammad Abu Faris (Jordan) yang mengatakan “barangsiapa yang diharamkan mengambilnya sebagai wali (teman atau pemimpin) maka haram jugalah melantiknya sebagai pemimpin.”

Sebab-sebab larangan (ʿillah) ialah orang-orang kafir sudah tidak lagi lurus agama mereka atau seperti kata-kata Tahir ibn Asyhur [m1393h] sudah berkecelaru (it-thirab). Mereka tidak percaya pada hari akhirat atau pembalasan, tidak ada neraca yang betul mengenai buruk dan baik dan mereka pengamal rasuah, menipu dan ganas dalam urusan hidup mereka.

Maqasid atau tujuan larangan ialah agar umat Islam tidak ditipu oleh golongan yang suka menipu yang boleh menyusahkan kehidupan (dunia) dan agama mereka. Dalam bahasa ilmunya, Allah swt sentiasa mengkehendaki maslahah (kebaikan) semaksimanya kepada orang-orang beriman dan menjauhkan mereka daripada mafsadah (keburukan) semaksimanya.

Terdapat 2 kenyataan berkaitan yang menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat kita hari ini dan saya cuba menjawabnya:

Pertama, terdapat seorang tokoh pemegang Phd yang memutar-belit ayat di atas dengan mengatakan bahawa kalimah “auliya” ada beratus-ratus maknanya. Beliau sebenarnya tidak cerdik sebab auliya’ memang sudah dimaklumi tidak lari maknanya sepertimana yang saya terangkan di atas. Tetapi jelas, bahawa tujuannya adalah untuk mewujudkan kekeliruan dengan menonjolkan ihtimalāt (kebarangkalian) terhadap kalimah tersebut agar boleh diberi takwilan (tafsiran) yang baru daripada apa yang telah dipersetujui oleh ulama muktabar sepanjang zaman.

Maka yang haram itu dihalalkannya bagi melantik si kafir sebagai pemimpin. Ini menghalal yang sudah menjadi prinsip haramnya ke atas umat Islam. Ini menyeleweng ayat Allah dan sungguh besar dosanya. Beliau kemudian menyelang-seli dengan istilah maqasid, illah hukum, fiqh al-siyasi dan berbagai lagi bagi menampakkan beliau seperti seorang yang ada autoriti untuk menukar hukum Allah. Saya melihatnya sebagai oportunis, penipu, munafik dan sesat. Istilah yang diulang-ulangnya itu tidak kena pada tempat dan maksud hukum yang diberi. Saya tidak menyebut namanya di sini agar dia insaf dan bertaubat.

Kedua, seorang yang bernama Imran Hossein telah mentafsir ayat di atas dengan mengatakan bahawa tidak semua Yahudi dan Nasara itu tidak boleh dijadikan kawan atau pemimpin. Beliau mengatakan “not all Jews and Christians” iaitu bukan semua Yahudi dan Nasrani sebagai maksud ayat di atas. Ini bagi saya amat jahil dan keliru dari perspektif ilmu bahasa Arab, tafsir dan hukum. Saya tertanya-tanya seorang yang migrasi ke Amerika kemudian memilih Malaysia sebagai tempat bermastautin boleh memberi tafsir al-Quran kepada umat Islam Malaysia?

Kalimah Yahudi dan Nasrani dibentang oleh Allah dalam banyak ayat al-Quran bermula dengan “al”. “Al” atau (ال) makrifah, kalau bahasa Inggeris seperti “the”. “Al makrifah” dalam kaedahnya membawa erti umum bukan khusus kepada orang tertentu (seperti dakwaan Imran Hossein). Maksudnya, semua Yahudi dan Nasrani adalah haram dilantik menjadi pemimpin. Sekiranya kita berpegang kepada kata-kata Imran Hossein siapa pula di antara mereka atau apa kriterianya yang boleh dikecualikan?

Mudah-mudahan umat Islam terlindung daripada segala bentuk kesesatan dan penyelewengan.

No comments:

Post a Comment

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...