Friday, 15 November 2024

PCR: Takziah

SELAMAT BERANGKAT SAHABAT
(mengenang Allahyarhamah Ustazah Nik Mahizan)

kalau selalunya mudah dilafazkan
dengan lidah dibasahi zikir dan firman
sekali ini begitu sukar
terkunci dalam debar dan ketar

debar kerana tiada ribut memupuh
saat daun gemilang itu jatuh
musim pula rendang
dusun terbentang

ketar kerana takdir
bukan sekadar air mengalir
tetapi janji
setepat pasti

maka berangkatlah dahulu sahabat
walaupun tidak terlafazkan selamat jalan

kugubah segala budi menjadi doa
segala kenangan menjadi matahari dan bulan
menerangi hari-hari kehilangan

Shah Alam
1501124

Monday, 4 November 2024

PCR: Dysautonomia

DYSAUTONOMIA

setelah kujawab tiga puluh soalan
sambil diperhati gerak dan geri
lalu diketuk refleks di setiap sendi
akhirnya ditetapkan temujanji

tidak boleh tidak
sebelum Dysautonomia ini merebak

tiada lagi tapi-tapi
Autonomic neuropathy itu pasti

sebelum tubuh lusuh dan luruh
tumbang dan melayang
pitam dan pengsan
lemas dan letih berpanjangan

sebelum denyutan jantung menjadi gelombang
atau terlalu perlahan
dan nafas tersumbat di kerongkongan
dyspnea menyongsong

sebelum migrain menjadi semalu
dan jemala dihempap batu
segala jadi kelabu dan kaku

sebelum tekanan memecah kaca
dan muntah berselerakan di meja
vertigo jadi gelora di samudera
dan yang tiada tiba-tiba ada

sebelum sistem demi sistem tidak terselenggara
bercucuran airmata...

Ya Allah
aku tak akan mungkir janji

041124

Sunday, 3 November 2024

PCR: lupa

LUPA

wajah-wajah dahulu
yang selalu kuingat
tidak lagi tersemat

seperti tangan-tangan
yang menziarahkan jabat
entah bila kami bersahabat

lalu berhiba
dalam riuh rendah ketawa
majlis pertemuan semula

apa yang sebelum semalam
pun tidak lagi bercerita
kenangan menjadi sehitam kopi
di dalam secawan senja

betapa telah kubakar diari
untuk memadamkan kekalahan
sedang di dalamnya ada piala dan anugerah juga
dan pohon-pohon ukhwah kita

031124

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...