ROS BIRU
Kata Rudyard Kipling, inilah kematian
atau cinta yang tidak akan kesampaian
Kata James Tarr, inilah dendam
atau penaka revolusi bara di dalam sekam
begitulah, setelah ditunggu begitu lama
dengan puluhan tahun kajian
dan pembaikbiakan berterusan
tiada siapa berjaya menghasilkan
daripada pemasukan dan pengklonan baka
dengan teknologi gangguan DNA
malah tiada secebis biru pun termodifikasi
di hujung jari teknologi
di makmal inovasi
kecuali harapan yang berkobar-kobar
bernilai pasaran dua puluh lima bilion dolar
tetapi tidak semurah itu
ciptaan Tuhan ku
(Nota: Dua pigmen asli yang tidak terdapat secara semulajadi pada pokok bunga ros adalah biru dan hitam. Lantas sehingga kini belum ada lagi sesiapa yang menemui kuntum ros berwarna biru atau hitam.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menghasilkan baka ros biru terutamanya. Pada tahun 2004 misalnya, usaha yang lebih sistematik telah dimulakan, melibatkan pelbagai proses modifikasi genetik, termasuklah pemadanan dan penambahan bibit baka klon yang menzahirkan pigmen biru sebenar, delphinidin.
Di antara teknologi genetik yang digembleng adalah RNA interference technology (RNAi) untuk memanipulasi pemunculan dan pemfungsian dihydroflavorol 4-reductase.
Semasa menulis artikel berkaitan, saya begitu optimis bahawa usaha itu akan membuahkan hasil. Tetapi sampai sekarang ternyata masih lagi angan-angan.
Kalaulah ada sesiapa berjaya menghasil dan membiakkannya, dia pasti akan kaya raya, kerana pasaran ros biru di seluruh dunia diramalkan bernilai US25 bilion.)
No comments:
Post a Comment