Wednesday, 31 August 2022

PCR siapa Fudzail

SIAPA FUDZAIL?
(sekilas setelah membaca Kumpulan Puisi "Aku OKU")

Siapa Fudzail?
katanya yang berjalan tempang
tetapi aku melihat semangatnya garang
fikirannya panjang

Siapa Fudzail?
katanya yang terabai dan terpencil
tetapi aku melihat hatinya besar
kegigihannya berjangkar
jiwanya tak gentar

Benar katanya, dia bukan bangsawan
tetapi ku baca dia kaya pengetahuan
dia teguh pendirian
dan seperti kita adakalanya memihak
pada prinsip yang dia anuti
pada ideologi yang dia senangi
tanpa apologi

Benar katanya, dia ada kekurangan
tetapi kesungguhannya seribu pahlawan
tekunnya pada meneroka idea
cekalnya pada mencipta karya
caknanya berbunga-bunga

Siapa Fudzail?
katanya yang bersyukur dan redha
aku melihat dia pasrah
tetapi pantas melangkah

Doa ku, semoga selamat sampai
ke puncak...

310822

PCR Gorbachev

MIKHAIL SERGEYEVICH GORBACHEV

yang menamatkan dominasi kesatuan
dan meleraikan kedaulatan Soviet
yang menamatkan "Perang Dingin"
dan menganjurkan pengharaman senjata nuklear
yang mendemokrasikan totalitarianisme
dan menghapuskan doktrin perhambaan
yang yakin kepada kuasa idea
dan kebebasan individu warga
yang menyemarakkan keterbukaan (glasnost)
dan merangsangkan penstrukturan semula (perestroika)
yang mempromosikan kedamaian antarabangsa
dan kemakmuran dunia
akhirnya telah pergi
dan tidak akan kembali lagi

demikianlah Mikhail Sergeyevich Gorbachev
setelah sembilan puluh satu tahun
pergi meninggalkan belang
meski pun legasinya diselubungi walang
transformasi yang kurang menjadi
reformasi yang menjadi api
membakar mimpi

betapa sebuah empayar
dileraikan oleh kebebasan melampau
menjadi lima belas republik merdeka
betapa sebuah kuasa besar
dilemahkan oleh liberalisasi
kelam fajar modenisasi

betapa dunia mengagunginya
dengan Hadiah Nobel Keamanan
dan segala sanjungan tertinggi
tetapi rakyat sendiri tidak mengerti
akan roh kebaratan yang dihembuskan
lalu menafikan sokongan

betapa duka kematian isteri
dan sakit yang berulang-ulang panjang 
membawanya pulang.

310822

Thursday, 25 August 2022

PCR al marhum

MENGENANG ALLAHYARHAM USTAZ MARZUKI YOB

Aku mengenali dan menghafal nama mu
tetapi jika bertemu empat mata di mana-mana
aku tidak akan yakin menyapa
empat puluh tahun terlalu lama
bagi seorang tua

Tetapi sapaan mu selalu datang
ke muka buku ku
memberi pujian dan doa-doa sejahtera
mengungkapkan kata-kata bangga
mengembalikan nostalgia
menukilkan harapan dan rangsangan

Betapa dari komen-komen mu ku nikmati kejujuran
dari doa-doa mu ku nikmati keikhlasan insan
dari puji-pujian mu ku nikmati rasa kesyukuran
dari kenang-kenangan yang kau terakan
sampai ku tatap senyuman

Dan setiap kali akan membalas hantaran mu
aku jadi keliru untuk memanggil mu
apakah dengan gelaran anakanda
kerana aku pernah mengajar mu sepatah dua perkara
apakah dengan gelaran ustaz
kerana kaulah yang lebih banyak mengajar
dan memimpin jemaah ke jalan yang benar
apakah dengan gelaran sahabat
kerana ingatan kepada mu seperti mengikat berkat

Tetapi kini kau hanya ada satu gelaran
ku lafazkan dengan penuh kesedihan
ku iringi dengan doa dan 
keinsafan yang tidak akan padam 
setiap kali ku panggil nama mu, Allahyarham.

Al-Fatihah....

250822

Bacaan al quran kepada di mati

Antara penipuan yg paling dahsyat dari golongan pemuja kubur atas imam As-Syafie adalah kata mereka: pahala baca Quraan sampai kepada orang mati !
Kemudia bila tanya dalil, mereka akan dakwa: imam Syafie kata boleh !
Betapa kuat menipu puak² ni...

Tapi yg sahihnya pahala baca Quran atas si mati TIDAK sampai seperti mana kata imam An-Nawawi !

Kata imam An-Nawawi:
وأما قراءة القرآن فالمشهور من مذهب الشافعي أنه لا يصل ثوابها إلى الميت.
Mengenai baca Quran, maka yang termasyhur dari mazhab As-Syafie bahawa TIDAK sampai pahalanya kepada si mati.

Saya ambil dari syarahan imam An-Nawawi atas muqaddimah kitab sahih imam Muslim.
Jilid 1, muka surat 12.

Friday, 19 August 2022

PCR lepas solat

SELEPAS SOLAT JUMAAT

Hujan marah
lambat melangkah
seluruh tubuh basah

bukan sengaja menafikan 
hitamnya gumpalan awan
tetapi jauhnya kereta tidak beratus ela di hadapan musyolla
dan isteri di rumah hanya berdua
lalu terlupa 
tongkat bukan untuk cepat berlari

sampai di pintu kereta
aku tak berlari atau berdiri
aku mencium besi

Aduhai
malunya lupa diri

Monday, 15 August 2022

PCR penangguhan

Beribu penangguhan
memberi ku kereta terpakai
tua dan bangsai
seribu remuk terangguk-angguk
tertinggal jauh di ceruk

peluang-peluang menunggang masa
melintas lalu

dari belakang
tempikan tsunami mendekat

150822

Wednesday, 10 August 2022

PCR katil

KATIL

Di rumah lama
hanya ada satu
di bilik ibu

lalu kami menyangka
semuanya begitu
bertiang dan berkerangka besi
dinding berkerawang di kepala dan kaki
bergalang di kanan kiri
berlantaikan papan meranti

tetapi yang ku temui di asrama
bertingkat dua
gandarnya spring heliks
tanpa apa-apa yang artistik

maka ku pilih yang di bawah
supaya ramai singgah
membawa meriah

sementara dengan bahasa diamnya
perlahan-lahan dia ajarkan
autoriti dan obligasi peribadi
dia pupuk disiplin kendiri
dia pujuk rajuk kami di sini

di rumah agam
dia peragakan cinta
orang berada

PCR Tilam

TILAM KAMI

Yang kami bentangkan setiap malam
nipis dan kusam
tiada yang lain selain ini
di hujung serambi rumah kami

Bukan hak mutlak sesiapa
kecuali kami berlima
tidak pula menjadi rebutan
selagi patuh kepada peraturan

yang cepat melaksanakan tugasan
yang cepat menamatkan bacaan
yang mendapat bulat keizinan
akan selesa mengalaskan lena

Kami yang mahukan kemahiran tambahan
memurnikan lagi kefahaman
mendapatkan jernih daripada putih
terpaksa rela mencari mimpi
di tikar mengkuang

Sebelum subuh kami bersama menggulungnya
melapangkan ruang sembahyang
menyusun sila dan cerita
sebelum melangkah mengutip cahaya

Kini kami mempunyai tilam sendiri
tebal berteknologi

Thursday, 4 August 2022

PCR bantal

BANTAL

Ramai kanak-kanak
memindahkan bau kepadanya
hingga tidak lepas dari rangkulan

Ramai kekasih 
menyembunyikan rindu di bucu-bucu
sambil berangan-angan
duduk di pelamin
dan memanjakan ingin

Yang tua-tua di desa
menggantikannya dengan lengan
supaya tidur anak dan cucu selesa
di malam raya

Tetapi pagi tadi
ada yang terburai di luar kamar
yang datang tergesa-gesa pulang

Yang tua-tua juga yang mengutipnya
membungkus semula dengan perca
pelbagai warna

Monday, 1 August 2022

PCR gebar

GEBAR

Tidak mengapa hanya selembar
asalkan lebar
cukup menutup sekujur tidur

Tidak mengapa tanpa warna
kalau harumnya segar sekamar
tidak perlu menabur mawar

Usah tukarkan yang lain
kalau tebalnya menebat dingin
memerangkap haba sarira
dari kudusnya cinta

Jangan biarkan reput di dada
kalau fabriknya kalis mimpi
sampai ke pagi

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...