Monday, 14 September 2020

Puisi cikgu Ramlan Sg Kelang

Sungai Klang

dari ain ancala
kau alirkan alam ke desa
sejernih air mata

tetapi kau pun tahu
nostalgia tidak akan lama bertakung
di sini takdir mu curam

lalu pilu ku mengiringi mu
melintasi metropolitan
dihujani sampah dan kumbah

(kau dilihat meneroka sejarah
dan menyuburi khazanah
dari tingkap sekolah
tetapi dari tingkap menara
kau hamba)

aduhai, tangan ku pendek
dan kau dirampas gagak
Tetapi adakah tikus-tikus itu tahu
Kau akan menjadi gelombang
di lautan hitam?

Friday, 11 September 2020

Puisi Cikgu Ramlan Virus lagi..

Khabarnya di semua pasaran komoditi
urusniaga kaunter disiplin akhirnya terhenti
kerana produk yang ditawarkan berkajang-kajang
Dan para penjual berpusu-pusu panjang
tanpa sesiapa pun mahu memiliki
apatah lagi membeli

Para pelabur bertumpu pada kaunter kebebasan
produk yang berwadahkan "sesuka hati"
para pemborong pun ke situ bertaruh
seperti arus sungai di musim tengkujuh
tebing-tebing runtuh

Lalu di pasar-pasar runcit
para pembeli adalah kelekatu mengejar lampu
langsung melembagakan sesuka hati
menjadi diri berpesta mimpi

Khabarnya pada masa yang sama
virus terus bermaharajalela
serigala berburu ke kandang alpa

Monday, 7 September 2020

Puisi Cikgu Ramlan Sungai Selangor

Kalau mahu melihat warna khianat
janganlah datang ke Sungai Selangor
di sini arusnya teramatlah laju
cepat menghanyutkan hitam yang tepu

tetapi lihatlah pada wajah-wajah rakyatnya
yang tiba-tiba ketandusan kolam tanpa amaran
ada nyala yang membakar sabar
ada tengkujuh yang membawa keruh
ada rona dendam sejuta geram
ada kecewa yang muram
malah lebih daripada itu

Kalau mahu menghidu kesumat
janganlah datang ke Sungai Selangor
Di sini anginnya amatlah kencang
dan musim bunganya tiba-tiba datang
cepat melenyapkan hapak petualang

tetapi hidulah nafas rakyatnya
yang mengah melilau mencari telaga
yang tercungap-cungap turun naik pangsa
menghela baldi keperluan satu demi satu
dengan paru-paru layu
ada bibit barah yang bakal bercambah
ada retak-retak yang bakal patah
ada sembilu yang menjana nanah
ada hama durhaka yang menjarah
malah lebih dari itu

Kalau mahu menilai citra laknat
janganlah datang ke Sungai Selangor
di sini fajarnya segera menyerlah
menyinari yang gelap dan yang tersembunyi
sebelum ada yang mencari

tetapi nilailah di tubuh rakyatnya 
yang resah dan gelisah
rusuh dan gemuruh
memujuk sakit di kaki-kaki lima
bergelimpangan di ladang-ladang gersang
disurami hujan perang
disinari pancaran jalang...

Tentera Dajjal Isfahan

TENTERA DAJJAL ISFAHAN MEMAKAI SELENDANG ALTAYALISAH (PERSIAN SHAWL) 

 Jumlah penduduk Yahudi di Iran sebelum terjadinya Revolusi Islam adalah seramai 150,000 pada tahun 1948 dan sebaik sahaja revolusi yang tinggal hanyalah 80,000 orang, iaitu seramai 70,000 orang telah keluar berhijrah ke Israel! Yang tinggal sekarang ini hanyalah sekitar 25,000 orang sahaja Yahudi di Iran, sebahagian besarnya dalam wilayah Isfahan.

Beberapa hadis Rasulullah ada menceritakan kedatangan Dajjal pada akhir zaman. Selain itu, ada dimaklumkan tentang keluarnya Dajjal adalah ia dikuti oleh Yahudi Isfahan yang menjadi anggota pasukan tentera Dajjal.

Daripada Abi Bakr al-Siddiq r.a, sabda Baginda SAW :

"Dajjal akan muncul ke bumi dari arah timur bernama Khurasan."- Hadis riwayat al-Tirmizi.

Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Baginda SAW :

"Dajjal akan diikuti oleh 70,000 Yahudi dari kota Isfahan, mereka memakai Al-Tayalisah ". Hadis riwayat Muslim.

Hadis ini memberi panduan untuk mengetahui bahawa Dajjal telah muncul ialah dengan mengenal pasti pengikutnya secara khusus iaitu Yahudi Isfahan. Kaum Yahudi pada asasnya terdiri dari 12 suku dan Yahudi Isfahan merupakan salah suku tergolong dalam suku Ephraim.

"Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-golongan besar,..."(Al-A'raaf 7:160)

Berbeza dengan puak-puak yang lain Yahudi Isfahan ini mempunyai ciri-ciri tersendiri yang jelas dapat dibezakan dari puak-puak lain.

Rasulullah s.a.w menjelaskan secara khusus bahawa Yahudi Isfahan ini memakai Al-Tayalisah (Persian Shawl) yang merupakan pakaiannya tersendiri membezakan dari puak-puak yang lain. Pengenalan yang khusus ini membolehkan kita mengetahui peristiwa kemunculan Dajjal seperti yang diberitahu dalam hadis tersebut.

Gambar-gambar yang dipaparkan ini menunjukkan selendang Al-Tayalisah tersebut dengan ciri-cirinya kain berwarna putih dan mempunyai corak jalur biru tua secara memanjang.

Tentera Dajjal bersamanya Yahudi Isfahan memakai Al-Tayalisah
siap sedia kah kita ????

#hidayahmilikAllah
#mogaAllahredha





Thursday, 3 September 2020

Puisi Cikgu Ramlan Tanah air

Khabarnya bukan sekangkang kera
Seperti dusun kami di desa
Tersembunyi di sebalik rimba
Tetapi selebar Singapura digandakan tiga
Dan terus merebak seperti pekung
Di bumi perwira merdeka dihukum pancung

Durian pun bukan berbuah 
Selepas sehari bercambah
Tetapi bertahun-tahun
Selepas semua tanaman kontan
Dituai bertan-tan

Dan kini terbentang
Siapa petualang
Siapa yang sengaja menutup pandang

Tuesday, 1 September 2020

Puisi cikgu ramlan GORD

GORD

sepatutnya terus ke duodenum dan ileum
selepas dibancuh dan digaul
seperti perahu berlayar ke hilir
bersama arus surut

tentunya bukan menyongsang ke esofagus
melanggar sfinkter melawan peristalsis
seperti kapal mudik ke hulu
merempuh empangan menongkah arus

tetapi itulah yang terjadi berulang kali
selepas menjamu seribu selera
dan seribu mimpi

lalu membuak loya itu
melimpah ke farinks
dan sedu menderu bertalu-talu

tidak berdaya menahankan gelombang
menentang penelanan
seperti pertembungan para militan
dan pemerintah
banyak keselesaan musnah dan darah tumpah

dan pedihnya amat menusuk
di belakang tulang dada
sesekali berdenyut ke kepala

apakah cukup dengan antiasid ini
dan Zantac atau yang sefungsi dengannya
di samping sujud berdoa?

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...