Kalau mahu melihat warna khianat
janganlah datang ke Sungai Selangor
di sini arusnya teramatlah laju
cepat menghanyutkan hitam yang tepu
tetapi lihatlah pada wajah-wajah rakyatnya
yang tiba-tiba ketandusan kolam tanpa amaran
ada nyala yang membakar sabar
ada tengkujuh yang membawa keruh
ada rona dendam sejuta geram
ada kecewa yang muram
malah lebih daripada itu
Kalau mahu menghidu kesumat
janganlah datang ke Sungai Selangor
Di sini anginnya amatlah kencang
dan musim bunganya tiba-tiba datang
cepat melenyapkan hapak petualang
tetapi hidulah nafas rakyatnya
yang mengah melilau mencari telaga
yang tercungap-cungap turun naik pangsa
menghela baldi keperluan satu demi satu
dengan paru-paru layu
ada bibit barah yang bakal bercambah
ada retak-retak yang bakal patah
ada sembilu yang menjana nanah
ada hama durhaka yang menjarah
malah lebih dari itu
Kalau mahu menilai citra laknat
janganlah datang ke Sungai Selangor
di sini fajarnya segera menyerlah
menyinari yang gelap dan yang tersembunyi
sebelum ada yang mencari
tetapi nilailah di tubuh rakyatnya
yang resah dan gelisah
rusuh dan gemuruh
memujuk sakit di kaki-kaki lima
bergelimpangan di ladang-ladang gersang
disurami hujan perang
disinari pancaran jalang...
No comments:
Post a Comment