Wednesday, 21 August 2019

Islam dan demokrasi

ISLAM DAN DEMOKRASI

1. Islam adalah aqidah dan syariah. Aqidah pula ialah satu set kepercayaan yang terikat kukuh dalam diri seseorang yang akan memandunya bertindak bersesuaian dengan kepercayaan tersebut. Percaya kepada Allah merupakan tonggak aqidah yang mendorong diri seseorang itu mentaati segala perintah dan laranganNya. Peraturan dalam perintah dan larang ini dinamakan syariah. Aqidah dan syariah tidak boleh dipisah atau bercerai tanggal. Tujuan peraturan tersebut ialah sebagai petunjuk bagi mereka menjalani hidup agar sejahtera di dunia dan juga sejahtera di akhirat.

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ۞

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”  [Al-'An`ām : 153]

2. Demokrasi ialah satu sistem politik ciptaan manusia yang melihat kehidupan bernegara bukan daripada petunjuk Allah. Allah berfirman:

أَوْ كَظُلُمَاتٍ فِي بَحْرٍ لُّجِّيٍّ يَغْشَاهُ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِ سَحَابٌ ۚ ظُلُمَاتٌ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَا أَخْرَجَ يَدَهُ لَمْ يَكَدْ يَرَاهَا ۗ وَمَن لَّمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِن نُّورٍ۞

“Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak menjadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya (bagi) mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).” [An Nur : 40]

Sepertimana sistem-sistem Barat yang lain, demokrasi juga berpaksi kepada akal semata-mata. Ibn khaldun menyifatkan politik yang tidak berasaskan wahyu Allah sebagai “siyasah ‘akliah” yang sentiasa berubah dan bergejolak bagi memenuhi nafsu kelompok atau pemimpin tertentu. [Muqaddimah Ibn Khaldun fasal 25] Kelemahan yang ketara dalam demokrasi ialah ia amat bergantung kepada persepsi masyarakat awam yang boleh dimanipulasi. Ini dapat dilihat daripada kenyataan bapa propaganda Edward Bernay yang mengatakan:

“Kesedaran dan kebijaksanaan dalam memanipulasi pendirian dan pandangan awam adalah elemen penting dalam masyarakat demokrasi. Mereka yang memanipulasi mekanisma tersembunyi ini, adalah kerajaan ghaib yang menjadi penguasa sebenar dalam negara kita.” [Propaganda: Bernay, ms. 9]

3. Bezanya demokrasi dengan sistem pemerintahan Islam ialah, ianya bertolak daripada falsafah bahawa kepemimpinan itu adalah amanah daripada Allah bukan anugerah atau hadiah. Maka tidak perlu diperebut kerana pelantikan adalah dari kalangan cerdik-pandai (ahlu halli wal‘aqdi) dan mereka semuanya berkongsi tanggungjawab atas tindakan pemimpin (imam) yang mereka pilih. Tindakan pula adalah melalui syura (perundingan) dan tugas mereka semua ini adalah ibadah. Ibadah dalam mentaati perintah Allah dan amanah dalam mengendali urusan rakyat. Tidak ada kelompok kepartian yang perlu bersaing seperti demokrasi.

4. Dalam sistem politik Islam, melantik pemimpin Islam (imam) yang ‘adil adalah wajib secara ijma’. Ijma’ adalah sumber hukum yang ketiga selepas al-Quran dan al-Sunnah yang disepakati oleh ahli sunnah wal jamaah. Al-Mawardi berkata:

“Kedudukan Imam adalah sebagai khalifah (pengganti) kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir dunia. ‘Aqad perlantikannya dilakukan oleh (wakil) ummah adalah wajib secara ijma’.”  [al-Ahkam al-Sulthaniah : al-Mawardi, ms.15]

Melantik pemimpin-pemimpin Islam yang bersih aqidah dan amanah terhadap Allah dan umatnya adalah satu tanggungjawab agama. Politik apa pun, ketua-ketua umat Islam mestilah mempunyai ciri-ciri ini. Al-Juwaini dalam melakar tugas pemimpin Islam berkata:

“Pemimpin (al-Imamah) adalah pengetuaan sepenuhnya, memimpin keseluruhannya (umum), berkaitan yang khusus dan umum dalam menjaga kepentingan agama (Islam) dan (hal-hal) keduniaan, memelihara kehormatan, menjaga urusan rakyat, menegakkan dakwah dengan hujah dan pedang (kuasa), mengawal daripada penyelewengan dan perpecahan, membezakan yang dizalimi dan penzalim, menyampaikan hak (daripada apa-apa kekangan) kepada mereka yang berhak.” [Ghiyas al-Umam: al-Juwaini, ms.22]

5.  Walaubagaimanapun kita sedang berada dalam sistem demokrasi yang dipaksa ke atas kita oleh penjajah. Itulah sistemnya. Namun begitu, mengenali perbezaan dan ciri-cirinya amat penting. Dengan harapan suatu ketika nanti satu demi satu unsur-unsur negatif yang menggugat maslahah syar’iah dapat dihapus dan diganti dengan yang lebih baik. Buat masa ini, kewajipan sebagai orang Islam ialah dengan menyesuaikan amalan demokrasi dengan perkara-perkara yang bertepatan dengan syarak. Elakkan permusuhan sesama Islam dan bekerjasama demi masa depan yang lebih baik untuk Islam dan umatnya. Penganut demokrasi mutlak akan meminda Islam sehingga menjadi liberal demi jawatan politik. Ini adalah sikap munafiq yang dijelaskan dalam banyak ayat al-Quran.

6. Demi langkah-langkah ke hadapan saya melihat perkara-perkara berikut perlu diberi penekanan.

Pertama, memurnikan tekad untuk terus menyeru kepada makruf dan mencegah mungkar. Dari melaksanakan dakwah fardiah sehinggalah menganjur program besar-besaran. Dari seruan mengikhlaskan diri untuk agama Allah sehinggalah menjulang syariat Allah ke tempat yang tinggi. Ini sesuai dengan janji kita lima kali sehari dalam solat dengan mengatakan:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ۞

"Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam." [ Al-'An`ām : 162]

Kedua, sentiasa memerhatikan bahawa langkah yang dilakukan sentiasa patuh syariah. Ini bererti bahawa kita tidak boleh mendahului syarak atau mengabaikan petunjuk syarak. Azab yang kita rasai sekarang ialah kerana orang-orang politik terlalu tamak akan kuasa sehingga memberi ruang kepada musuh Islam menguasai kita. Apakah ayat bersatu, jangan bertelingkah, atau bekerjasama baru turun semalam? Justeru, nasihat saya kepada pejuang-pejuang Islam hari ini kena ambil iktibar daripada apa yang telah berlaku. Sentiasalah mendengar pandangan orang lain, terutamanya daripada mereka yang bukan kelompok kita. Daripada orang awam yang berpengalaman serta ulama yang tidak mahu tersohor dan meminta upah. Perhatikan makna yang tersirat daripada firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ۞

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." [al-Hujurat : 1]

Ketiga, hendaklah saudara jangan berhenti daripada mengadakan majlis penerangan, seminar, kelas-kelas pengajian yang menerangkan akan hukum syarak terhadap perkara tertentu. Terutamanya mengenai kenegaraan dari perspektif Islam. Usaha hendaklah dibuat bagi mematahkan hujah puak-puak liberal dan ulama jahat yang memberi gambaran buruk terhadap syarak dan Islam. Ini dilakukan dengan membanjiri media sosial dengan channel-channel baru atau post-post yang memberi penerangan, pengajaran serta pendidikan kepada masyarakat awam yang rata-rata jahil dan mudah ditipu oleh media musuh. Bahan-bahan pengajaran berbahasa Arab untuk ustaz-ustaz boleh didapati daripada internet secara percuma seperti berikut:

1. تحكيم الشريعة ودعاوى الخصوم – د. صلاح الصاوي
2. سوالات تحكيم الشريعة – د. فهد صالح العجلان
3. مقالات في السياسة الشرعية – د.سعد بن مطر العتيبي
4. الدولة والسيادة في الفقه الإسلامي – د. فتحي عبد الكريم
5. النظرية العامة لنظام الحكم في الإسلام – د. عطية عدلان
6. الانتخابات واحكامها في الفقه الإسلامي – د. فهد صالح العجلان

Keempat, jangan tinggalkan remaja dan pelajar universiti. Mereka ini terlalu rapuh dan mudah tergoda. Sedikit wang sogokan sudah tergadai segala prinsip. Islamis perlu mendekati golongan ini dengan menganjurkan program kesedaran dan latihan dakwah. Buatlah lawatan, perhimpunan, kursus-kursus dengan bayaran yang minimal. Adakan program seperti ini diseluruh negara. Jangan berebut tarik ke jemaah nanti mereka keliru. Buat demi menyedarkan mereka bahawa agama mereka sedang diancam. Begitu juga kaum-kaum lain. Buat program pengenalan kepada Islam. Cari penceramah yang biasa kerja-kerja sebegini.

Kelima, di samping kerja-kerja yang saya sebut di atas, pendakwah perlu sedar bahawa Barat dan kuncu-kuncu mereka di Malaysia amat tidak menyenangi wujudnya kumpulan yang ingin mengembalikan syariah. Itu sudah menjadi sunnah alam. Agensi-agensi luar sanggup mengeluarkan wang berjuta dollar bagi membiayai usaha-usaha membanteras kumpulan ini. Tetapi jangan terbayang membanteras itu hanya dengan cara menangkap kader-kader tersebut. Tidak. Adakalanya menawarkan jawatan, pangkat dan wang atas nama kerjasama dan sebagainya. Justeru, perlu wujud kumpulan kajian dalam organisasi masing-masing yang mengkaji trend ini. Bahan bacaan yang saya cadangkan adalah seperti berikut;

1. Current Trends in Islamist Ideology V1-23 oleh Hudson Institute
2. Civil Democratic Islam – Cheryl Benard
3. Building Moderate Muslim Networks – Angel Rabasa ed.
4. Secret Affairs – Mark Curtis
5. The Lost Hegemon – F. William Engdahl

Kebanyakan buku di atas boleh didownload daripada internet kecuali no.4 dan 5 perlu dibeli di kinokuniya.

Sekian, semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...