Monday, 30 June 2025

PCR: aku pernah lupa

AKU PERNAH LUPA
(bersempena ulangtahun kelahiran)

aku pernah marah
pada semua mawar
setelah sebatang duri
menusuk jari

aku pernah berputus asa
dengan semua cita-cita
kerana berkali-kali kecewa

aku pernah hilang percaya
pada doa-doa
kerana berkali-kali menunggu hampa

aku pernah mencemuh
semua rakan
setelah seorang menikam belakang

aku pernah tidak percaya
pada cinta
setelah seseorang tidak setia

aku pernah melepaskan peluang
selepas yang pertama kecundang

aku pernah lupa 
semuanya fana
ada takdir beroda
untuk setiap penamat
akan ada permulaan baru 
demi matahari di pagi hari
demi bulan mengiringi
demi siang menampakkan
demi malam menutupi

aku pernah lupa
yang tidak terlihat di mata
tertera di hati
dan diriku sempurna
di dalam raga...

Shah Alam
270625

Friday, 6 June 2025

PCR, secangkir kopi

SECANGKIR KOPI ADHA

secangkir kopi adha
istemewa untuk semua
jemputlah seberapa ramai
menghirupnya

itulah perkongsian
meriah pengorbanan
nikmat takwa di arafah

untukku cukuplah setitis
di atas lembaran ini
kuserahkan ke sinar fajar

semoga yang jernih
kembali ke awan
yang serdak hitam setitik
memeta kenangan

050625

Thursday, 5 June 2025

PCR: Gaza terkini

TERKINI DI GAZA

khabarnya, dua puluh sembilan kanak-kanak
dan warga emas palestine
maut kebuluran di gaza
sementara ribuan tan bantuan
mereput di jalanan dendam
penakluk kejam

maka berapa ramaikah lagi
akan dikebumikan
dengan bekas ikatan batu di badan?

bagaimanakah lagi perlu digambarkan
di hadapan mata dunia
betapa lebih dua purnama sudah
kebuluran dijadikan peluru
pada senjata genosida

kini mereka melepaskan tembakan
kepada yang meluru ke pusat kemanusiaan
mengemis makanan di selatan rafah
lebih tiga puluh kelaparan tergadai nyawa
hampir dua ratus menderita luka

apakah darah tidak lagi merah
di sekujur gaza
sampai para hipokrit menutup mata?

apakah maruah tidak lagi berharga
di sekujur gaza
sampai takbir retorika berjuta gema?

050625

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...