Tuesday, 26 April 2022

PCR hadiah

HADIAH
(buat Dr Rojanah Kahar)

Bukan sekadar sekotak ingatan
tetapi dalam dakapan ku petang ini
seribu satu kenangan

Bandingannya bukan emas permata
tetapi sejuta mekar dalam sukma
menyemarakkan nostalgia
dan meriah raya

Nilainya bukan ringgit seraga
tetapi rasa dihargai yang menusuk jiwa
kerana yang diberi seada-adanya
yang diterima bagaikan bianglala
di gurun senja

Tiada balasan dari ku
kecuali air mata ini
dari ain keikhlasan yang dalam
dan doa kegemilangan
serta salam silaturahim
buat mu

Monday, 25 April 2022

PCR lidah

LIDAH

Lembut menyebut
sebaik tertikam sukar dicabut
kalau dalam tertusuk
ngilunya membusuk

Kalau manja memujuk
gelora masuk ke teluk
yang garang menerkam
sepenuh malunya membungkam

Di situlah juga berkumpulnya rasa
mengiurkan minda selera
yang tidak diredhai pun memaksa
menjadi hamba
sampai lalai sepenuh alpa

Ilmu dan intelektualisme
tidak selalu bertemu di hujungnya
kecuali nafsu dan rindu
tipu pun menderu dari situ

Ya, dia tidak panas
tetapi mencairkan besi
dia tidak bernyala
tetapi menghanguskan samudera
dia tidak perkasa
tetapi meruntuhkan ancala
dia bukan siapa-siapa
tetapi merubah dunia
(silakan disambung...)

Alhamdulillah, dijanjikan pahala
menjaganya...

260422

PCR sahur

SAHUR

Jari-jari kantuk
mengais-ngais hambar dalam mangkuk
kuah tak tumpah ke nasi
remah-remah selera bertaburan
di meja cinta

rungut mengunyah
pesan Rasulullah

rencah sahur menjadi sampah
di permulaan ibadah

Aku melihat para syaitan
menghamparkan alasan
di ranjang subuh

Sunday, 24 April 2022

PCR tangki

TANGKI

Demi selera yang hilang
ku cari mu dari kolam ke kolam
sampai ke rawa dan parit bendang
dan semua yang ku tanya
bertanya semula

Lalu ku katakan
daun mu berbau petai
dengan anak-anak mu bersusun melambai
seperti semalu
sebaik disentuh kuncup dan layu
dan batang mu dibaluti tisu
bagaikan gabus putih mengapungkan zahir mu
serta bunga mu meriah berwarna di-Raja

mereka menggelengkan kepala
tidak percaya kau pembuka selera
biarpun ku huraikan resipi pusaka
masak lemak cili api
campur puyu dan keli

Tetapi hari ini seperti bermimpi
ku temui kau di Lazada dan Shopee

Aduhai pandainya kau menyamar
dari tangki ke setangki
dari keman air ke kangkung puteri 
lalu ku beli induk mu sekali

(Neptunia oleracea)

250522

Saturday, 23 April 2022

PCR tiin

TIN 

Ku petik buahnya
dari Surah ke 95
dengan percuma
tetapi berhutang hakikat wujudnya
dengan Yang Maha Pencipta

kerana yang ku petik itu rahmat 
lemak dan manis yang lazat
adunan ramuan sihat
sekujur segar khasiat

kerana yang ku petik itu anugerah
wadah kasih seluas ranah
di mana embun cepat kering
dan tanah selalu garing

dan aku yang meratah
berkira-kira bersedekah

240422

Friday, 22 April 2022

PCR sangat bermakna

SANGAT BERMAKNA

Ada yang menjadi sangat bermakna
Selepas lama masa berlalu
Dan aku berada di situ

Seperti sendirian di pintu
Tidak berdaya lagi mencari
Dan mereka entah ke mana pergi
Tidak kunjung kembali

Seperti terbaring di ranjang
Hilang punca menghapuskan bimbang
Kebaikan apakah lagi mampu dibawa
Menambah timbang

Seperti sesat di simpang pulang
Sebaik lampu hijau bernyala
Setelah beribu kali melaluinya
Tanpa tanda

Seperti terketar lapar
Di tikar iftar
Setelah resipi peninggalan isteri
Habis hangus di kuali

210422

Monday, 18 April 2022

PCR pergi

PERGI

Pasti masih belum genap enam puluh
berbelas tahun di belakang ku
kau telah sampai
tetapi aku masih dilambai
kerap kali lupa
segala lalai
dan yang belum langsai

Setenang apakah kau sekarang?
tentunya bukan kekosongan
seperti yang menghantui ku
kotak-kotak masa yang tidak diisl
di sepanjang jalan
menunggu giliran mereka dalam perbicaraan
bersedia mensabitkan kesalahan

Sebahagia apakah kau sekarang?
tentunya bukan dibendung lara
mengutip amanah yang tercicir
di pasir alpa di pantai cela
setelah berjuta kali gelora dimurka
meragut hidup ke tengah laut

Sedamai apakah kau sekarang?
tentunya lebih daripada yang ku impikan
di sebalik pelangi 
atau cakerawala yang tinggi
dan di tangan tergenggam malam-malam Ramadan

Semoga digandakan beribu kali
amal bakti mu
sementara aku menunggu...

180422

Saturday, 16 April 2022

PCR dahaga

DAHAGA

Dahaga merebak di tekak
angan-angan dingin bertakung di benak
segala resah bergolak
segala nampak berkocak

Itu di kepala marga
dihalau kemarau ke lembah
tidak berhemah tidak berlengah
menjajah basah

Di jemala takwa
yang merebak itu cinta
dibawa berkejar oleh Siti Hajar
sampai zam-zam terpencar

Disinari iman
dahaga jadi telaga
di gurun pengorbanan
jadi pelita di madrasah Ramadhan.

16042022

Pcr, pesannya

 Pesannya... kau adalah lebih daripada sekadar kau adalah hati-hati yang kau sentuh adalah udara yang kau sedut kopi yang kau seduh dunia ya...